Kini Amdan Negara teguh berdiri seteguh-teguhnya. Keteguhannya membuat segolongan rakyat daripada kalangan lebih tua teringatkan kisah gemilang kerajaan Chi Tu atau Negeri Bumi Merah zaman silam. Angkatan daratnya dipanggil orang Rimau Bukit Panau, di bahagikan kepada Pasukan Berkuda yang menonggang kuda baka besar agam dan bengis bengkeng, dan Pasukan Pejalan Kaki yang dipecahkan pula kepada Ketumbukan Pelembing, Ketumbukan Pemedang dan Ketumbukan Pemanah.
Angkatan lautnya pula bergelar Naga Sakti Muna, mengambil sempena nama haiwan sakti yang mengikut bari orang tua-tua menjadi pelindung dan pembela seluruh bumi Langkasuka. Disusun begitu kemas, ia ditubuhkan terdiri daripada pelbagai jenis pahlawan. Selain pasukan laskar laut tetap, yang menjadi pasukan teras, diwujudkan juga ketumbukan tambahan yang dikerah ketika perlu. Bahteranya juga dimanfaatkan untuk mengangkut kelengkapan mahupun anggota angkatan darat jika bersesuaian keadaannya.
Sepasukan pahlawan dua alam ditubuhkan, daya tempurnya walau di laut atau di darat sama hebatnya, digunakan untuk pendaratan mengejut menggempur kubu musuh di kawasan pantai. Sekumpulan pahlawan Orang Mergui yang handal menyelam diambil berkhidmat sebagai pasukan pemusnah khas, tugas mereka merosakkan kemampuan musuh dengan menyelam lantas memusnahkan kemudi kapalnya.
Pengalaman Raja Sanjaya semasa berperang bersama orang Singhala menentang bala tentera Chola Mandalam di negeri mereka di manfaatkan sebaiknya. Seperti katanya, musuh ketat yang kuat amat perlu dituntut segala ilmunya. Maka semasa di Pulau Singhala, selain bertempur dengan mereka bila bertembung, tidak jemu juga dia belajar segala selok belok senjata dan kelengkapan bala tentera Chola Mandalam yang ditawan, juga segala macam rancang cara perang mereka.
Begitu juga pengalaman Raja Aryaputra yang bertahun-tahun memimpin Pasukan Pemusnah Lanun di perairan Semenanjung Goryeo. Ilmu dan muslihat yang diperoleh daripada sekian banyak bergomol dan bertibai dengan gerombolan lanun yang pelbagai kaum dan bangsanya di sana kini sungguh berguna.
Maka Naga Sakti Muna dibina sebegitu rupa supaya anggotanya bukan sahaja handal bertempur ketika perang, tetapi juga mampu melaksanakan tugas lain dalam suasana damai. Membanteras lanun, menggempur kubu musuh, serta menghalang laluan kapal musuh sudah memang tugas biasa. Kini meronda samudera dan mengiring kapal saudagar serta kapal kerajaan bersahabat juga menjadi tugas utama.
Sebagai negeri terkuat dalam seluruh Persekutuan Langkasuka Adhi Negara, teraju bala tentera gabungan seluruh persekutuan, Amdan Negara kini mendapat jolokan Perisai Langkasuka.

No comments:
Post a Comment