"Yeung Myo!” Wulan Sari bersuara nyaring. “Ke mana gerangan kau menghala? Kelihatannya begitu tergesa-gesa.”
"Ibu Wulan!" balas Yeung Myo. "Maaf, hamba tidak perasan tadi. Apa khabar, Ibu?”
"Khabar baik. Kau pula bagaimana?”
"Baik juga. Ibu, pesanan bapa hamba adalah supaya memberi bantuan sebaiknya kepada rakyat bumi Langkasuka dalam perjuangan mereka menuntut merdeka. Kini seluruh bumi Langkasuka sudah lepas bebas daripada belenggu penjajahan. Tugas hamba sudah selesai. Maka, tiada sebabnya lagi hamba perlu terus berada disini.”
"Semudah itu? Habis bagaimana dengan Aryaputra? Kau tekad meninggalkannya? Dan memisahkan di antara Nirmala Ratna dengan Ayahnya?”
"Ibu,” Nirmala Ratna, anak yang diberi nama memperingati neneknya arwah ibu Aryaputra, merintih manja. “Nana belum mahu pulang ke Goryeo ... Nana belum puas lagi ... tinggal sama Ayah. Jom lah kita ikut Ayah pulang ke Amdan Negara ... ke Bukit Panau. Nana nak jumpa Yangda Ratu ngan Yangda Ozalan lagi. Lama dah Nana tak tidur ngan mereka ... dan duduk ngan mereka dengar cerita mereka.”
Anak itu seperti dapat merasakan rasa serba salah di hati ibunya. Namun dia cuba memujuk Yeung Myo dengan caranya sendiri supaya mempertimbang semula keputusannya untuk kembali ke Goryeo dengan begitu tergesa-gesa.
"Habis, Ibu Wulan," Yeung Myo merenung jauh ke pantai, "bagaimana pula dengan Mardunisa? Aryaputra adalah milik Mardunisa. Kita tidak mahu mengganggu gugat kebahagiaan mereka berdua dengan kehadiran Kita di sini. Tambah lagi, pernikahan Kita dengan Aryaputra di Goryeo tidak berlangsung secara Islam. Maka tidak sah di sisi Islam.”
"Tidak, Yeung Myo,” Wulan Sari mengusap-usap muka dan rambut Nirmala Ratna. “Aryaputra juga milikmu. Memang dia begitu mencintai Mardunisa. Tapi dia juga amat mencintaimu dan menyayangi puterinya Nirmala Ratna. Dia menghadapi masalah amat besar. Dan dia benar-benar khuatir kalau-kalau ... masalahnya itu akan berakhir dengan kehilangan kedua wanita yang sungguh dicintainya, berserta puteri kesayangannya.”
Yeung Myo terdiam sejenak.
"Yeung Myo. Ibu juga memerlukan mu. Ibu mahukan kau terus berada di sini. Panglima Sanjaya juga begitu.”
"Untuk apa tu, Ibu Wulan?”
"Untuk menjadi pengapitku ... semasa perkahwinan kami berdua.”
"Oh??" wajah Yeung Myo kelihatan terperanjat. "Ibu Wulan akan bernikah dengan Panglima Sanjaya?? Bererti Ibu Wulan bakal menjadi seorang permaisuri, kerana Panglima Sanjaya bakal naik takhta Amdan Negara, sebagai pengganti ibunya Ratu Chinta Kirana, bila tiba masanya nanti. Ohhh!! Alangkah hebatnya itu, Ibu."
"Umm, Ibupun belum terfikir sejauh itu, Yeung Myo," sedikit bimbang menggugat hati Wulan Sari.
"Hamba sungguh teruja dengan berita terbaru ini. Alangkah bertuahnya Ibu. Tahniah hamba ucapkan kepada Ibu. Tapi ... tidakkah ... Mardunisa juga boleh melakukan tugas itu?”
"Benar. Memang dia boleh. Tapi Ibu dan Panglima Sanjaya memilihmu. Dan Mardunisa pula akan menjadi pengapitmu di majlis pernikahan semula kau dengan Aryaputra.”
"Hah?? Apa pulak yang Ibu katakan ini??”
"Dan Mardunisa pula ... dia mahu puterimu Nirmala Ratna menjadi pengapitnya di majlis pernikahannya dengan Aryaputra tiga purnama berikutnya.”
Sekali lagi Yeung Myo terdiam seketika dalam tercengang. Tak tahu apa yang nak dikata buat sementara. Hatinya diruntun kebingungan untuk seketika. Namun dia berusaha mententeramkan perasaannya supaya membolehkannya memahami segala perancangan terbaru Wulan Sari.
"Benar, Yeung Myo,” terdengar suara Panglima Sanjaya yang tiba dengan tak semena-mena entah dari mana. “Di antara kami berdua ... telah berbicara tentang perkara ini panjang lebar dan masak-masak. Mardunisa dan Aryaputra juga ... kedua mereka bersetuju dengan penyelesaian yang kami cadangkan ini."
"Tapi Datuk Panglima, ini semua sudah terlalu rumit," ujar Yeung Myo.
"Yeung Myo," Sanjaya meneruskan. "Biarkanlah semua kita sudi dan rela dengan pengorbanan ini. Demi mempertahankan hubungan kasih yang sedia ada di antara kalian berempat. Yakni dirimu sendiri sebagai menantuku, Aryaputra anakku, Nirmala Ratna cucuku dan juga puteri kalian berdua, serta Mardunisa anak Wulan Sari. Di samping mengekalkan kesejahteraan dan kesinambungan wangsa Dharma Kusuma ... serta dengannya nanti seluruh negeri Kelantan Amdan Negara.”
"Yeung Myo,” sambung Wulan Sari. “Seperti kata kalangan pendeta ... kita insan sekadar merancang ... namun Pencipta yang membuat penentuan. Redhalah kita semua dengan ketentuan Pencipta dan kenyataan yang diciptakanNya. Naluri Ibu seperti berkata ... mungkin ada hikmat terselindung daripada semua ini ... pasti akan terserlah suatu hari nanti di hari muka.”
"Bolehlah, ya Ibu?” Nirmala Ratna pula mencelah. “Ibu Madu tu pun baik orangnya. Nanti bolehlah Nana pergi jumpa dia selalu ... tinggal dengan dia ... tidur sama dia sekali sekala.” Demikian dia memujuk ibunya, sambil menyumbangkan hasil pertimbangan akal kecilnya.
"Yeung Myo,” ujar Wulan Sari lagi. “Jodoh pertemuan adalah ketentuan Pencipta. Hanya Dia yang mengetahui segala rahsia. Siapalah kita ini … hendak menyangkal kehendak dan kemahuanNya?”
"Tapi ... hairannya ... Aryaputra sendiri tiada pula menemui hamba berhubung perkara kami. Mungkin dia kini hanya punya waktu untuk Mardunisa seorang saja agaknya.”
"Tidaaak. Tidak begitu, Yeung Myo,” jelas Wulan Sari dengan nada lembut. "Aryaputra amat merinduimu ... dan juga puterinya Nirmala Ratna ... dia sentiasa bertanya khabar tentang kalian berdua. Dia juga masih tidak dapat bertemu Mardunisa. Kecederaan Aryaputra terlalu banyak dan parah. Ia kini memburat dan memudaratkan kesihatannya. Dia masih belum dapat bergerak ke sana ke mari dengan begitu baik. Pak Dukun sedang memberi rawatan rapi kepadanya.”
Jantung Yeung Myo tiba-tiba berdebar seketika mendengar berita keadaan Aryaputra. Namun dia berusaha menyembunyikan perasaannya supaya kebimbangannya tidak terlalu terserlah di wajahnya. Kerana dia tidak ingin kelihatan seperti begitu lemah atau terlalu mudah beralah dan termakan pujuk.
"Kalau begitu ...” dalam Yeung Myo masih terperangkap dalam serba salah, puterinya Nirmala Ratna mencelah lagi, “kita kena pergi tengok Ayah malam ini juga, Ibu. Dia amat memerlukan kita.”
Kebijaksanaan akal kecil anak itu sungguh mengagumkan Wulan Sari dan Sanjaya. Keduanya lalu mengamati wajah Yeung Myo dengan air muka yang terwarna oleh harapan semakin mendesak. Sambil menanti jawapan yang bakal terbit dari bibir Yeung Myo. Wanita itu hanya membisu. Namun diamnya kali ini terhias oleh wajah damai dan jernih, membayangkan jiwa yang mula beransur redha dan menerima.
§
Mereka sampai di kediaman Aryaputra. Suasananya sepi sekali. Wajah Pak Dukun kelihatan sugul.
"Pak Dukun!” Wulan Sari bersuara dengan nada cemas. “Apa yang telah terjadi?”
"Beritanya ... kurang baik, Puan Wulan Sari, Panglima Sanjaya. Panglima Aryaputra ... demamnya ... menjadi teruk dengan tiba-tiba. Tubuhnya ... menjadi panas membahang dengan begitu mendadak. Kulitnya dan mukanya ... terasa seperti api bila tersentuh. Hamba bimbang kalau-kalau, akibat kecederaannya yang banyak, dia kini mengalami kesan bisa daripada mata senjata musuh yang mungkin direndam racun.”
§
Demam Aryaputra semakin menjadi-jadi. Penawar yang diberi seperti tidak menghasilkan sebarang kesan. Akhirnya dia langsung pengsan tidak sedarkan diri.
"Sudah sepuluh hari dia terlantar begini, Pak Dukun,” ujar Wulan Sari. “Kita tidak boleh membiarkan dia seperti ini begitu saja. Kita mesti lakukan sesuatu yang luar biasa.”
"Begini, Puan. Hamba pernah terdengar cerita tentang seorang tabib. Kata orang dia agak hebat. Dengan kepandaiannya ... dia telah menyembuhkan beberapa orang daripada sakit berat yang sukar dirawat.”
"Dia ... rakyat asal Kedah Negara?”
"Kata orang ... dia orang Chera. Kumar namanya. Berasal dari negeri Kerala. Negeri yang bersempadan dengan Chola Mandalam. Datangnya dulu sebagai perantau. Namun dia sudah agak lama juga menetap di Kedah Negara. Berkahwin dan mempunyai anak dengan wanita tempatan. Kononnya ... ilmu perubatan yang dikuasainya itu bernama ... varma cuttiram.”
"Lalu di manakah dia tinggal?”
"Dulu Tabib Kumar tinggal berhampiran dengan tempat ini. Di Kampung Merbuk. Dekat Sungai Batu. Namun kata orang dia dan seisi keluarganya telah berpindah ke kampung asal isterinya.”
"Di manakah itu?”
"Kalau hamba tak silap ... di arah utara ... di Setul.”
"Terima kasih, Pak Dukun,” ujar Sanjaya.
§
Tabib Kerala itu menggeleng-geleng kepalanya.
"Demamnya sudah berkurangan. Tubuhnya tidak lagi sepanas dulu. Setelah hamba beri minum air rebusan campuran daun selasih, biji adas manis dan buah pelaga berulang kali. Juga direnjiskan ke muka dan kepalanya. Namun sakitnya terlalu berat. Seperti ... terlalu sukar untuk dia disedarkan kembali. Hambapun mati akal dibuatnya. Hanya satu lagi saja cara yang terfikirkan oleh hamba buat masa ini.”
"Apakah itu, Pak Tabib?” tanya Yeung Myo.
"Orang yang pengsan terlalu lama seperti ini ... tenaga dalamannya yang lumpuh itu perlu dirangsang secara berulang kali dan berterusan ... dengan sesuatu yang amat disukainya ... ataupun ... oleh seseorang yang amat disayanginya ... ketika dia dalam keadaan sedar dulu. Hanya dengan cara itu ... dan hanya andainya umurnya masih panjang ... dia akan dapat disedarkan kembali.”
"Kalau sesuatu yang amat disukainya ...” ujar Yeung Myo, “... mungkin Pedang Kambhujiya ... pedang warisan nenek moyangnya berusia ribuan tahun. Pedang itu masih miliknya.”
"Ataupun ...” sambung Mardunisa, “kuda perang kesayangannya ... Garuda.”
"Ummm ... kalau begitu ... geselkan hulu Pedang Kambujiya itu perlahan-lahan secara berterusan di tapak tangan kanannya. Tanpa menanggalkan sarung pedangnya agar tidak berbahaya. Dan ... bawakan Garuda … tambatkan berhampiran dengannya. Agar terdengar bunyi ringkik Garuda sekali sekala di telinganya."
"Akan kami lakukan itu segera," sambung Yeung Myo.
"Bagaimana pula dengan seseorang yang amat disayanginya? Bolehkah kiranya hamba tahu ... siapakah orang itu?”
Di antara Yeung Myo dan Mardunisa saling pandang memandang seketika. Mereka kemudiannya saling tersenyum tersipu-sipu. Seterusnya kedua mereka menoleh ke arah Nirmala Ratna, puteri sulung Aryaputra.
"Kami bertiga ini ... adalah tiga wanita yang paling disayanginya,” jawab Yeung Myo.
"Kira-kiranya, begitulah,” sambung Mardunisa menyokong.
"Kalau begitu ... nyawa Aryaputra mungkin bergantung pada kalian bertiga. Jagalah dia sepanjang masa. Seboleh-bolehnya jangan dibiarkan dia sendirian walau sedetik. Lakukan apa saja yang sesuai yang dirasakan boleh merangsang jiwanya yang lumpuh itu.”
"Contohnya?” tanya Mardunisa.
"Membelainya, mengurut dan memicitnya, bercakap-cakap dengannya, menyanyi-nyanyikan lagu kesukaannya ditelinganya, dan sebagainya,” jawab Tabib Kumar. "Apa saja yang boleh merangsang sebarang derianya.
"Mardunisa,” tingkah Yeung Myo. “Kita bertiga harus bekerja sama.”
Betul tu, Yeung Myo,” balas Mardunisa. “Kita mula sekarang juga. Mari, Nana. Kita bertiga bersama-sama merawat Ayahmu.”
Bermula malam itu, Yeung Myo, Mardunisa dan Nirmala Ratna, tiga wanita yang paling disayangi oleh Aryaputra dalam hidupnya, masing-masing menyanyi-nyanyikan beberapa buah lagu yang mereka tahu paling digemarinya. Bergilir-gilir mereka membisikkan alunan merdu suara mereka masing-masing ke dalam telinganya.
Mereka juga menggesel-geselkan hulu Pedang Kambujiya dalam keadaan bersarung perlahan-lahan di tapak tangan kanan Aryaputra. Seperti disarankan oleh Tabib Kumar. Manakala Sanjaya membawa Garuda, kuda perang kesayangan Aryaputra, dan menambatnya berhampiran tingkap yang terbuka luas tempat Aryaputra terbaring di atas tilam kekabu. Sekejap-sekejap kuda itu meringkik nyaring. Seperti dia juga memahami keadaan tuannya dan ingin membantu menyembuhkannya.
Di antara Yeung Myo dan Mardunisa bergilir-gilir untuk tidur atau berehat. Apapun, sekurang-kurangnya salah seorang daripada mereka pasti tetap berada di sisi Aryaputra dan tidak meninggalkannya sendirian walau sedetik jua. Nirmala Ratna yang kecil itupun kalau diikutkan mahu bercekang mata untuk menjaga Ayahnya. Namun ibunya memaksanya supaya tidur apabila sampai waktunya setiap malam agar tidak mudarat kesihatannya.
Manakala makan minum mereka pula diuruskan oleh Wulan Sari. Aryaputra hanya disuap air nasi, air kanji, air buah-buahan, air tebu, air kelapa muda, air nira, air buah kabung, air madu dan susu segar. Dia tidak diberi makanan pepejal kerana bimbang kalau-kalau dia tercekik dalam keadaannya yang tidak sedar itu.
Tujuh hari tujuh malam Aryaputra dirawat sedemikian. Satu ketika, pada malam kelapan, ketika kakinya sedang digosok-gosok oleh puterinya Nirmala Ratna, beberapa jari kaki kanan Aryaputra kelihatan bergerak-gerak. Anak itu menyedarinya lantas terus memanggil ibunya.
"Ibu!!! Ibu!!!” Nirmala Ratna berteriak nyaring dengan nada begitu teruja. “Jari kaki Ayah bergerak! Tengok ni, Ibu! Ibu Madu, tengok ni!”
Demikianlah terciptanya dengan cara yang tidak dirancang oleh sesiapa. Penyelesaian muktamad terhadap cinta tiga penjuru begitu rumit di antara Mardunisa, Yeung Myo dan Aryaputra. Cinta mencabar yang jika tidak terungkai kekusutannya berkemungkinan menghancurkan kebahagiaan seisi keluarga Dharma Kusuma. Kebahagiaan yang kini masih bersemarak selepas kejayaan perjuangan menuntut merdeka untuk seluruh bumi Langkasuka.














No comments:
Post a Comment