Raja negeri Bhanggala ketika itu bergelar Mahi Pala I. Baginda telah berusaha gigih untuk memperteguh kembali kekuasaan kerajaan Wangsa Pala yang telah menjurus ke arah perpecahan di zaman sebelumnya. Bala tentera Chola Mandalam hantaran Rajendra Chola telah mengalahkan kerajaan Rar (Bhanggala Barat) dan kerajaan Varendra (Bhanggala Utara). Bala tentera negeri raja-raja bawahan Mahipala di wilayah Rar, iaitu Deva Pala, Ranasur dan Govinda Chandra, terpukul teruk. Namun dengan pimpinan Mahipala bala tentera gabungan Seluruh Bhanggala bangkit semula hingga akhirnya berjaya menumpaskan bala tentera Chola Mandalam, lantas mengusir mereka dari seluruh bumi Bhanggala.
Maka, rumus Sanjaya, tidaklah begitu hebat atau kebal rupanya bala tentera Chola Mandalam, seperti yang dianggapnya selama ini. Mereka tidak mustahil ditewaskan, sebagaimana Mahipala telah membuktikannya.
Pasukan laskar berkuda bala tentera Bhanggala masih dianggotai kebanyakannya oleh pahlawan berketurunan Kambhoja. Ia kini dikepalai oleh Putera Shatrughna, seorang cicit kepada Putera Prapaksha, abang sulung kepada Putera Prabhava. Shatrughna serta seluruh kaum kerabatnya jelas sekali begitu gembira dengan kedatangan Sanjaya.
§
"Kamu pandai bersilat?" Divyanka, adik Shatrughna, merenung jitu.
"Umm, cukup untuk membela diri," jawab Sanjaya bersahaja. "Kau tahu tentang silat?"
"Sudah tentu. Perantau Bhanggala yang pulang dari berkembara di bumi Langkasuka pasti bercerita tentangnya. Mereka biasanya teramat kagum dengan kehebatannya. Terutamanya jika melibatkan main keris. Kamu sudi mengajarku?"
"Mengapa tidak? Aku akan bahagia untuk mengajar seorang sahabat. Lebih lagi kaum kerabat. Kau tidak takut sakit atau cedera?"
"Maaf, aku terlupa. Kita sesama keturunan Senapati Prakasha. Sesama titisan zuriat yang turun daripada dua orang ratu Kambhoja. Ratu pahlawan paling gemilang. Ratu Timmeya dan Ratu Kryppia."
Divyanka tersenyum.
"Dan dia boleh mengajarmu melontar chakram dengan cara yang paling hebat," terdengar suara garau seorang lelaki dari arah serimbun pokok semak.
"Shatrughna!" Sanjaya berpaling. "Kau rupanya. Kau sepatutnya memberitahuku lebih awal lagi."
"Ya, Sanjaya. Chakram lontaran Devi boleh mengena dan merobek sebiji buah labu yang dilambung ke udara pada jarak dua puluh lima depa darinya."
Kalau terkena kepala musuh, dan jika cukup padu pula hentakannya, akan robek jugalah ia. Amat sesuai untuk membuat serangan hendap di tengah hutan, fikir Sanjaya.






No comments:
Post a Comment