Monday, March 19, 2012

Bab 9: Kembara di Kediri


Aryaputra mengikuti Uthama pulang ke kampong halamannya di Kediri. Ingin benar dia berkunjung ke Gua Salo Mangleng, di Gunung Penanggungan, untuk menemui Dewi Kili Suci. Hasratnya hendak meminta nasihat dan mencungkil rahsia alam daripada pendeta wanita itu yang kini tersohor ke seluruh pelosok Pulau Jawa dan wilayah bersekitar bijaksananya, hinggakan para raja dan panglima pun begitu ramai yang datang mengunjunginya.

"Namanya agak aneh," Aryaputra bersuara di pertengahan perjalanan.

"Nama apa itu?" tanya Uthama.

"Gua itu," jawab Aryaputra. "Tempat bertapa Dewi Kili Suci."

"Oh, ia daripada istilah Jawa," balas Uthama. "Salo itu ertinya batu. Mangleng pula bermaksud menjorok keluar. Maka Salo Mangleng itu bermakna Batu Yang Menjorok Keluar. Ia bukannya gua semula jadi ... tapi buatan manusia."

"Oh. Sekarang baru aku faham."

Setibanya di tempat pertapaan Dewi Kili Suci, mereka melihat wanita itu sedang duduk bersila pada jurus bunga teratai, membelakangi mereka, begitu asyik kelihatan tafakurnya.

"Rang muda berdua!” Dewi Kili Suci bersuara lembut dan merdu namun jelas berkumandang tanpa sedikitpun menoleh ke arah kedua pengunjungnya. "Kalian datang dari begitu jauh untuk menemuiku. Seorang berasal dari Semenanjung Emas, seorang lagi anak tempatan yang pulang dari berkelana di Pulau Sumatra. Pasti kalian ada kemusykilan besar yang mencabar jiwa.”

Aryaputra dan Uthama di antara mereka saling toleh menoleh, sama-sama tercengang. "Hah? Dia tahu asal kita berdua … tanpa berpaling sedikitpun untuk melihat kita?” Aryaputra berbisik kepada Uthama.

"Entah,” Uthama berbisik balas. “Sungguh menakjubkan. Pasti begitu tinggi ilmunya.”

"Rang muda yang dari Semenanjung itu," pendeta  itu meneruskan. "Jiwamu terlalu gusar. Hinggakan dari jauh lagi aku dapat merasai kegoncangannya. Bertenanglah. Kau harus belajar mencipta damai dalam sukmamu."

"Maaf, Gusti Puteri Seri Dewi," jawab Aryaputra. "Hamba memang masih kekurangan dari segi itu. Andai diperkenankan ... hamba ingin belajar caranya daripada Gusti Puteri."

"Baiklah. Kamu punya banyak masa untuk itu. Aku pernah bertemu dengan bapamu sepuluh tahun yang lalu. Dia seorang pahlawan yang gagah perkasa. Kau bakal mewarisi kegagahan dan keperkasaannya. Iras wajahmu salin tak tumpah sepertinya. Cuma susuk tubuhmu yang sedikit berbeza. Kau juga akan menjadi seorang pahlawan sehebat dia suatu hari nanti. Akan tetapi ... kau harus sedia menghadapi beraneka cabaran dan pancaroba dalam hidupmu dulu."

"Be ... benarkah begitu ... Gusti Puteri?"

"Ya. Kau kesudahannya akan giat terlibat dalam memimpin seluruh rakyat di tanah airmu ... dalam usaha mereka memerangi penjajahan dan penindasan. Dan akhirnya ... kau akan naik takhta di negerimu ... sebagai pewaris raja-raja sebelumnya ... iaitu para leluhurmu sendiri."

"Gusti Puteri seperti begitu pasti,” semakin hairan Aryaputra, menoleh kepada Uthama sambil menggeleng-gelengkan kepalanya. “Memang ajaib.”

"Dan kamu, rang muda anak Kediri. Kamu juga tidak kurang hebatnya. Satu hari nanti, kerana sifat setia serta  gagah beranimu, kamu akan diberi percaya untuk menjadi seorang pembesar dan mentadbir sebuah wilayah di tanah seberang ... di Semenanjung Emas ... di kawasan yang berhampiran dengan pulau-pulau Sumatra dan Jawa."

"Aapaaa??? Adakah ini mimpi atau nyata?” Uthama separuh kebingungan mendengar kenyataan itu.

"Ilmu adalah ilmu. Sesiapapun boleh mempelajarinya. Dengan bertapak pada usaha gigih dan ketekunan. Hanya ... bagi mereka yang masih cetek dalam sesuatu ilmu itu ... sedikit kepandaianpun tampak seperti suatu keajaiban."

Setelah beberapa ketika Dewi Kili Suci perlahan-lahan berpaling untuk bertentang muka dengan Aryaputra dan Uthama.

Aryaputra dan Uthama kedua-duanya saling terbeliak mata dan terlopong mulut. Siulan kagum terkeluar tanpa disedari daripada mulut keduanya, disusuli dengan gelengan kepala masing-masing.

"Memang sah ilmunya amat tinggi," bisik Aryaputra kepada Uthama.

"Apa tidaknya," Uthama berbisik balas. "Usianya sudah melewati setengah abad. Tapi tubuhnya dan wajahnya masih seperti seorang gadis."

"Mengapa?” Dewi Kili Suci bertanya. “Kalian takjub dengan kejelitaan ku? Memang dasar laki-laki. Semuanya sama saja. Kaum kalian hanya tahu menilai seorang wanita menurut rupa parasnya. Bukankah itu satu perkara yang begitu bodoh?”

"Maafkan kami, Gusti Puteri Seri Dewi," Uthama menjawab. "Gusti Puteri ... umm ... terlalu mengagumkan bagi kami.”

"Aaahhh. Panggil saja aku Kili. Lalu kemusykilan apakah yang kalian berdua bawa dari begitu jauh?”

"Begini,” Uthama bermula. “Biarlah kami terus berbahasa dengan gelaran Gusti Puteri. Kerana Gusti Puteri sememangnya adalah daripada kerabat keraton. Maka terasa seperti lebih elok begitu bagi kami. Kan Yaya?"

"Benar, Tama,” Aryaputra menjawab sambil mengangguk bersetuju. “Adat sopan, budi bahasa, adalah perkara baik dalam budaya orang kita. Biarlah ia terus sentiasa diikuti.”

"Benarkan kami memperkenalkan diri, Gusti Puteri,” Uthama menyambung. "Hamba Uthama, anak Pendekar Waja Budi dari Kediri. Kini berkelana mengikut keluarga di Jambi. Dan … teman hamba ini …” Uthama berpaling ke arah Aryaputra.

"Aryaputra, anak Panglima Sanjaya, dari Kedah Negara, di wilayah utara Semenanjung Emas,” ujar Aryaputra. “Juga berkelana di Jambi. Menumpang tinggal bersama keluarga angkat di sana.”

"Jadi …” Uthama meneruskan. “Kami berdua ini sedang berkelana ke seluruh pelosok mencari pengetahuan dan pengalaman, menambah ilmu di dada, sambil mengharungi alam remaja yang penuh pancaroba. Manakala teman hamba ini … pada usia begitu muda … telah melalui perjalanan hidup yang amat perit dan getir … dia telah kehilangan keluarganya … dan … kehidupan bahagia yang diimpikannya di masa depan telah … telah hancur musnah dalam sekelip mata. Dialah yang begitu tekad dan beriya-iya untuk bertemu dengan Gusti Puteri. Hamba ini sekadar … sekadar menemaninya.”

Aryaputra tertunduk memandang ke lantai.

"Baiklah,” jawab Dewi Kili Suci. “Akan cuba ku bantu. Maka malang apakah yang telah menimpa kedua orang tuamu, Aryaputra?”

"Bapa hamba … Panglima Sanjaya … dia dikhianati … seorang sahabat karibnya. Dia diberi makan racun bisa semasa menikmati hidangan makan petang di rumah sahabat itu. Lalu dia seterusnya diserang ganas-seganasnya ... hingga mati … oleh segerombolan pembunuh upahan dalam perjalanannya pulang ke rumah. Ibu hamba … lalu diambil berkahwin paksa … oleh sahabatnya itu.”

"Kau pasti bapamu benar-benar mati? Dan ibumu benar-benar diambil berkahwin paksa?”

"Bapa hamba menghembuskan nafas terakhirnya di depan mata kepala hamba sendiri. Dia cedera parah di keseluruhan tubuhnya, disamping penangan racun bisa itu. Keris dan pedang ini adalah tinggalan pusakanya kepada hamba di saat terakhir. Hamba tidak berkesempatan untuk mempastikan nasib ibu hamba. Bapa hamba menyuruh hamba terus segera lari menyelamatkan diri. Katanya Ibu pasti tidak akan diapa-apakan, kecuali dikahwini secara paksa, itulah telahannya.”

"Unjukkan keris dan pedang itu kepadaku. Biar ku tilik, kiranya ada barang apa petanda yang boleh memberi pedoman.”

Dewi Kili Suci mengambil keris dan pedang Sanjaya yang dibawa Aryaputra, lalu meletakkan keduanya pada sebuah para tembaga. Dia mengasap-asapkan keduanya dengan asap kemenyan dan setanggi. Mulutnya kemudian berkumat-kamit membaca sesuatu dalam bahasa yang bercampur-campur, sesekali berbunyi seperti Jawa, sesekali seakan Sangsekerta. Kala lain pula entah apa bahasanya. Kemudian dia membelek-belek kedua senjata itu dengan teliti satu persatu.

"Semangat pemilik asalnya seperti masih terasakan," ujar pendeta itu. "Mungkin ..."

"Mungkin apa tu, Gusti Puteri?" Aryaputra bertanya segera.

"Umm ... tak mengapalah," Dewi Kili Suci berpaling semula kepada Aryaputra. "Kamu mahir ilmu pahlawan?"

"Hanya jurus-jurus yang paling asas, Gusti Puteri," jawab Aryaputra. "Selebihnya ... hamba tidak berkesempatan. Ayah hamba ... dia pergi meninggalkan hamba dalam keadaan yang langsung tidak terduga. Kiranya ... Gusti Puteri boleh membantu hamba dalam perkara ini ..."

"Maaf, rang muda. Diriku sekadar seorang petapa. Ilmu pahlawan hanya bisa dituntut dengan seorang pahlawan. Kamu masih punya banyak masa untuk itu. Janganlah terlalu khuatir. Mungkin kamu boleh menyambung semula pembelajaranmu yang tergendala itu dengan bapa sahabatmu, rang muda yang seorang lagi itu."

"Umm, bagus," sejurus kemudian Dewi Kili Suci meneruskan. "Kedua senjata ini ampuh sekali. Gunakanlah dengan sewajarnya. Kedua-duanya akan melindungi dirimu dan membantumu menyempurnakan perkelanaanmu. Hingga kamu kesudahannya bersedia untuk kembali ke tanah airmu semula.”

"Terima kasih, Gusti Puteri,” ucap Aryaputra.

"Lalu apakah matlamat besarmu datang menemuiku?”

"Pertama, hamba ingin mencari ilmu pahlawan yang cukup agar dapat menuntut bela ke atas penganiayaan terhadap kedua orang tua hamba."

"Perkara itu sudah terjawab tadi."

"Kedua, bapa hamba juga berpesan kepada hamba supaya menyambung perjuangannya menuntut kemerdekaan bagi seluruh Persekutuan Langkasuka.”

"Kau tahu tentang asal usulku? Nenek moyangku? Leluhurku?” tanya Dewi Kili Suci.

"Umm .. nenda hamba Ratu Chinta Kirana ada memberitahu hamba bahawa … Gusti Puteri Seri Dewi … adalah … puteri kepada Raja Airlangga … lalu dengan itu … cucunda kepada Raja Dharmavamsa Tguh Ananta Vikrama Deva, raja negeri Medang Mataram. Raja yang terbunuh di Istana Watu Galuh di Kota Turiyyan semasa serangan tentera gabungan Wurawari-Palembang, yang juga mendapat bantuan daripada segerombolan angkatan pejuang dari bumi Langkasuka.”

Terkebil-kebil mata Uthama mendengar penerangan sahabatnya Aryaputra. Dia pernah mendengar kisah tentang serangan hebat yang telah menghancurkan Medang Mataram daripada orang tua-tua di kampungnya, namun tidaklah dengan begitu terperinci hingga ke tahap itu.

"Gerombolan tentera bantuan Langkasuka yang dipimpin oleh moyangdamu, Panglima Shakranta, bukan?” Dewi Kili Suci menyampuk. “Maka kau masih ingin meminta bantuan daripadaku?”

"Begitupun, Gusti Puteri," Aryaputra menyambung, "Panglima Shakranta jugalah orang yang telah menasihatkan Maharaja Mara Vijaya supaya membebaskan Putera Airlangga yang masih muda belia ketika itu … bersama isterinya yang baru saja dinikahi ... Puteri Dyah Sri Lakshmi … berserta pengawal peribadi mereka Panglima Narothama. Walhal Panglima Shankara, timbalan panglima bala tentera Wura Wari, waktu itu lebih cenderung untuk menghabiskan riwayat ketiga mereka di situ juga.”

"Baiklah. Aku cuma mahu mengujimu, Aryaputra,” balas Kili Suci. “Memang belas ehsan Panglima Shakranta yang telah menyelamatkan kedua orang tuaku daripada kehilangan nyawa di tangan Panglima Shankara dan Maharaja Mara Vijaya. Tambah lagi, Panglima Shakranta berserta isterinya Isabelle juga yang akhirnya mengusahakan perdamaian di antara ayahandaku dengan Sang Rama Vijaya, putera dan pewaris Mara Vijaya."

Aryaputra terdiam sejurus.

 
"Nendamu juga, Ratu Chinta Kirana, hampir sebaya usia denganku," Dewi Kili Suci menyambung. "Dia lebih mengenaliku dengan nama asalku, Dyah Sri Giri Putri. Kami bertemu pertama kalinya di Kampung Mersing, di negeri Gelanggi Ayu, ketika kebetulan dibawa oleh keluarga masing-masing yang berkunjung ke sana. Di sana jugalah kami berdua selepas itu bertemu pula dengan Dharma Prasada Thungga Dewi, puteri sulung kepada Maharaja Sang Rama Vijaya Thungga Dewa, yang juga berkunjung bersama keluarganya ke sana. Antara kami bertiga, kemudiannya menjadi sahabat akrab yang sering kali saling berutus watikah.”

Semakin terkebil-kebil lagi mata Uthama. Kini mulutnya pula yang melopong luas.

"Maka hamba sekadar ingin menyempurnakan pesanan bapa hamba,” Aryaputra meneruskan. “Iaitu menebus martabat keluarga yang telah ternoda. Serta mengusir pihak penjajah dari seluruh bumi Langkasuka. Mengenangkan segala yang telah terjadi di antara keluarga kita, hamba pasrah dengan sebarang keputusan Gusti Puteri. Sama ada memperkenankan permintaan hamba, ataupun tidak,” sambung Aryaputra.

"Baiklah. Memandangkan kedua orang tuaku juga terhutang nyawa kepada moyangdamu, memang seharusnya aku membantumu.” ujar Dewi Kili Suci. "Mungkin juga, kalau tidak kerana Panglima Shakranta, maka diriku ini langsung tidak wujud hari ini di dunia ini. Sungguh menakjubkan, kitaran peristiwa di alam ini, kan? Hinggakan antara ayahandaku sendiri, Raja Air Langga, dan sahabatku Puteri Dharma Prasada, akhirnya bertemu lagi di istana kami di Kahuripan, apabila dia dilarikan ke sana untuk melindunginya daripada ancaman bala tentera Chola Mandalam yang menyerang dan menawan kota Palembang. Mereka berdua seterusnya saling jatuh cinta, lalu mereka berkahwin. Kamu tahu kisah itu, Aryaputra?”

"Nenda hamba memang ada bercerita tentangnya. Ia kedengarannya seperti sebuah kisah percintaan yang sungguh hebat."

"Ya. Ia juga membantu merapatkan semula hubungan yang renggang di antara ayahandaku dengan kerabat istana Srivijaya. Sungguh bijaksana rancang cara damai yang diusahakan oleh kedua moyangdamu suami isteri, Raja Shakranta dan Ratu Isabelle. Sungguhpun Sang Rama Vijaya begitu cepat melupakan jasa baik mereka berdua di suatu masa apabila terlalu terangsang oleh cita-cita besarnya untuk menjadi raja terhebat dalam sejarah Rantau Tenggara. Lalu apakah permintaanmu itu, Aryaputra?"

"Hajat hamba ... agar Gusti Puteri dapat memberi … sedikit nasihat serta tunjuk ajar yang bijaksana kepada hamba … tentang cara-cara atau petua-petua yang terbaik ... bagi hamba. Untuk hamba mendapatkan segala yang akan hamba perlukan untuk menunaikan kedua-dua hasrat hamba.”

§
"Malam ini ada keramaian di kota," Dewi Kili Suci bersuara. "Kalian berdua ikut serta?"

Uthama dan Aryaputra diam membisu.

"Mengapa? Kalian tidak gemar berpesta temasya? Di sana akan ada beraneka pertunjukan dan tarian."

"Tarian?" balas Uthama.

"Ya. Tarian adalah bunga budaya. Budaya adalah wajah bangsa. Setiap orang harus belajar mengenali dan menikmati tarian asli bangsanya sendiri. Tambah lagi ... pasti ramai gadis cantik yang keluar berkunjung. Kalian tidak suka mereka?"

"Tapi ... hamba orang asing di sini," Aryaputra tunduk merenung lantai.

"Hamba pula ... sudah agak lama meninggalkan wilayah ini," Uthama memandang ke luar. "Kami ... umm ..."

"Malu? Segan? Aaah, kalian berdua ni. Tidak pantas bagi pemuda remaja seperti kalian terlalu malu dan segan. Nanti sukar bagi kalian untuk mendapat isteri di hari muka. Baiklah, kalau begitu, apa kata kalau kalian ku bawa ikut bersamaku? Sudah lama aku tidak berkunjung ke pesta."
§
"Tama,” sapa Aryaputra kepada sahabatnya, anak muda Jawa yang kini paling akrab dengannya di kalangan kumpulan sahabat baiknya yang tujuh serangkai itu.

"Ada apa, Yaya?” jawab Uthama.

"Sebagai sahabatku yang paling rapat, aku beharap … sepanjang peninggalanku nanti … dapat kiranya kau berkunjung menjenguk-jenguk Ibu Wulan dan Madu dua beranak di rumah mereka barang sekali sekala dan bertanyakan khabar mereka. Kau boleh mengajak Mayang Sari (Purnama Ratna) pergi bersamamu jika kau tidak selesa untuk pergi seorang diri.”

"Ohhh. Itu tidak langsung menjadi masalah bagiku, Yaya. Janganlah kau bimbangkan itu. Seperti kau juga, aku sudah menganggap Ibu Wulan sebagai ibu angkatku di Jambi ini. Aku pasti akan sentiasa memerhatikan mereka berdua untukmu. Kau pun tahu, Mayang Sari (Purnama Ratna) juga agak rapat dengan Madu. Aku percaya dia akan bahagia untuk melakukan itu. Ku rasa, Surya serta Manja juga tidak keberatan untuk bersama kami.”


"Seperkara lagi, Tama. Perantauanku kali ini mungkin agak jauh dan lama. Aku serahkan Gupta dan Pradhana kepadamu. Jagalah kedua-duanya dengan sebaiknya. Seolah-olah kedua mereka milikmu sendiri. Sehingga aku kembali. Jika mereka menghasilkan sebarang baka yang hebat sepanjang kepergianku ... semuanya adalah milikmu."

"Baiklah, Yaya. Akan kutunaikan pesananmu sebaik upayaku. Tapi separuh daripada keturunan mereka tetap milikmu. Tidak wajar kalau aku mengambil semuanya. Akanku tunggu kepulanganmu. Moga kau kembali sebagai seorang pahlawan gemilang."

§
Hari berganti hari. Minggu silih berganti. Bulan menjadi tahun. Tiga tahun berlalu, terasa hanya seperti tiga bulan.

Surya kini tidak lagi seperti dulu. Dia agak kurang datang ke bangsal tempat sahabat tujuh serangkai itu dahulu sering bersantai di masa lapang. Hanya sekali-sekala kelihatan kelibatnya di situ. Dia mula lebih banyak menghabiskan waktunya berfoya-foya dengan gadis-gadis muda dan cantik di sekitar kawasan pelabuhan.

Namanya mula terkenal sebagai jejaka hebat di kalangan mereka, yang rata-rata menjadi gadis penghibur kepada para kelasi, anak kapal, saudagar, pengembara dan sebagainya yang berkunjung ke Jambi, ataupun singgah seketika di sana dalam perjalanan ke tempat lain.

Satu hari …

"Manja,” Surya menyapa Manjakini, antara teman baik Mardunisa yang diketahui umum sebagai gadis yang paling rapat dengan Surya.

"Ada apa, Abang Surya”.

"Kau ada rancangan apa-apa hari ini?”

"Tidak. Manja lapang sepanjang hari,” jawab Manjakini. “Mengapa?”

"Apa kata … apa kata kalau … kalau kita pergi … berjalan-jalan ke dusun ibuku?”

"Umm …apa yang ada di sana?”

"Ada udara yang segar dan nyaman. Sekarang musim buah-buahan. Rambutan dan manggis masak ranum. Dan … ada anak sungai yang jernih … untuk kita mandi manda …”

"Lalu siapa lagi yang ikuti bersama?”

"Umm ,,, hanya kita berdua. Sahabat-sahabatku semuanya punya rancangan sendiri. Habis bagaimana … kau … kau setuju?”

"Tapi … Manja rasa … kan kurang manis begitu?”

"Aaah, kau ni Manja. Masih begitu kolot dengan sikap desa mu itu. Kan kita ini berada di Jambi, kota kedua terbesar dan terhebat di seluruh Pulau Sumatra ini? Dan tidak lama lagi harusnya menaiki tangga pertama, mengatasi kota Palembang.”

"Umm … bagaimana kalau Manja ajak Madu dan Mayang ikut bersama?”

"Mereka kan juga ada tugas yang harus disempurnakan untuk keluarga mereka? Lalu mengapakah kita harus mengganggu mereka? Kau masih sentiasa mencurigaiku, bukan? Walaupun setelah sekian lama kita saling kenal mengenali.”

"Ti … tidak,” Manjakini menafikan telahan Surya dengan nada gugup. Memangnya sebagai seorang gadis dia merasai sedikit kebimbangan, namun dia juga tidak ingin mengecewakan harapan Surya yang kelihatannya beriya-iya benar. “Bukan begitu maksud Manja.”

"Habis apa lagi?”

§
"Manja!” Mak Embun ibu Manjakini memanggil anaknya dengan nada lantang. “Ke mana kau menghilang sehari suntuk dari pagi tadi? Ke sana ke mari aku mencarimu untuk membantuku. Adikmu itu juga hebat benar kerenahnya sepanjang petang.”

"Manja ke dusun, Ibu. Bersama teman-teman.”

"Teman yang mana? Dusun siapa?”

"Madu dan Mayang, Bu,” Manja terpaksa berbohong supaya tidak dimarahi ibunya. "Dusun ibu Abang Surya.”

"Ohhh. Dusun Mak Bunga rupanya. Baiklah. Jangan sekali-sekali kau pergi ke mana-mana hanya berdua bersama sebarang jejaka. Tak manis kalau dilihat orang. Nanti nama keluarga kita juga yang rosak. Eh eh! Mengapa pulak kau kelihatan gugup dan pucat ni? Seperti ada berlaku sesuatu.”

"Er … Manja tergelincir ke kawasan air yang dalam dan mengalami sedikit masalah. Tapi Abang Surya membantu Manja,” Manjakini terpaksa berbohong lagi.

No comments:

Post a Comment