Monday, March 19, 2012

Ringkasan Kisah

Dharma Kusuma, Pembela Langkasuka 3

PAHLAWAN 7 KERAJAAN
Sebuah Kisah Perjuangan Murni Anak-Anak Pertiwi Menentang Penjajahan

 

Ringkasan kisah

Amdan Negara kini merdeka sepenuhnya. Memimpin Pakatan Pantai Timur serta bala tentera gabungan mereka, Angkatan Pantai Timur, sebagai negeri ketua. Namun negeri anggota pakatan yang lain, berserta negeri-negeri lain di bumi Langkasuka, masih belum cukup kuat untuk membebaskan diri daripada pertuanan kerajaan seberang yang lebih gagah.

Sanjaya, kini Panglima Agung bala tentera negeri Kedah Negara Dalam Buangan, sekaligus Putera Mahkota Amdan Negara, hancur berkecai seisi keluarganya akibat pengkhianatan Daman Lela, sahabat akrab zaman remaja. Kerana iri hati, hasad dengki serta cemburu kasih tidak bersahut, Sanjaya diracun kemudian diserang ganas oleh berpuluh pembunuh upahan untuk menamatkan riwayatnya. Ditinggalkan oleh puteranya sesudah disangka mati, namun selepas itu mayatnya tidak ditemui.

Nyatanya, ular yang menyusur akar tetap tidak hilang bisanya. Saki-baki penyerang-penyerangnya membuka langkah seribu, lari memecut-mecut sederas ribut selepas berbelas orang daripada mereka melayang nyawanya diamuk oleh Sanjaya. Sempat berpesan kepada puteranya supaya segera lari menyelamatkan diri, cederanya yang begitu banyak dan parah berserta penangan racun bisa kemudian membuatnya pengsan hingga hampir tidak berdenyut nadi. Nyaris maut, mujurnya dia dapat diselamatkan oleh sepuak Orang Darat yang membawanya bersembunyi di Gua Kerbau, di Bukit Kepelu, untuk terus dirawat dan diperubat.

Menyamar diri sebagai seorang petapa tua selepas cukup sembuh untuk berjalan dengan bertongkat, suatu hari Sanjaya tersilap anggap bahawa bekas isterinya sudah beralih kasih kepada Daman Lela yang telah mengahwininya secara paksa. Dia membawa diri merantau jauh ke negeri Bhanggala, kemudian ke Pulau Singhala, seterusnya ke bumi Antalya, demi menambah ilmu di dada sambil membantu kerabat dan sahabat menentang penindasan dan penjajahan di tanah air mereka.

Aryaputra, putera Sanjaya yang merasa hidupnya hancur lebur dalam sekelip mata, berkelana ke Sumatra, Jawa, Kemboja Negara dan Goryeo. Hasrat hatinya ingin mencari dan menuntut ilmu pahlawan sedalam yang mungkin, buat menebus kembali mertabat dan maruah keluarga yang ternoda.

Azamnya kini berkobar hendak menjadi seorang kesatria, bukan sahaja mampu melindung diri, kerabat dan sahabat, tetapi biar boleh mengepalai pasukan pahlawan di medan perang. Ingin juga dia menemukan Pedang Kambhujiya, pedang sakti ribuan tahun usia, demi menunaikan janji Wangsa Dharma Kusuma untuk memimpin seluruh Persekutuan Langkasuka Adhi Negara bangkit menentang penakluk dan penjajah.

Di negeri Kediri di Pulau Jawa, Aryaputra bertemu dengan Dewi Kili Suci, petapa wanita tersohor yang berjaya memulihkan semula semangatnya serta membuat ramalan hebat tentang masa hadapannya. Di Goryeo pula, Aryaputra berguru di Biara Shinson di Gunung Tansok, menuntut ilmu pahlawan luar biasa hwa rang do, ilmu adiwira terhebat di seluruh Rantau Utara. Di sana juga dia akhirnya terdengar khabar terbaru tentang Pedang Kambhujiya.

Wulan Sari, janda muda berjiwa serikandi, mempertaruh sejahtera diri dan keluarga demi melindungi putera seorang sahabat daripada menjadi mangsa pengkhianatan seorang panglima pembelot yang berdendam kusumat dan mabuk kuasa serta konco-konconya.

Yeung Myo, puteri kerabat raja Goryeo, hatinya tertawan oleh pemuda perantau dari Amdan Negara, akhirnya berjaya memenangi hati si dia lalu mengahwininya. Kerana rasa ehsan serta tanggungjawab kepada sesama insan, dia bersetuju untuk membantu saudaranya memimpin angkatan bahtera bantuan dari Goryeo ke bumi Langkasuka.

Mardunisa, buah hati Aryaputra di zaman kanak-kanak, tetap utuh dan mantap cintanya kepada insan tersayang sungguhpun sudah berbelas tahun terpisah. Kini jiwanya tercabar hebat oleh keadaan yang langsung tidak pernah terduga. Dalam keadaan serba bercelaru, suatu hari dia kehilangan dari rumahnya, hanya ditemui semula beberapa bulan kemudian sebagai anggota gerombolan lanun Orang Laut yang liar ganas.

Rae Shim, putera bongsu raja Goryeo, jiwanya teruja terpesona oleh kisah-kisah mengagumkan yang didengarinya daripada perantau dan pedagang tentang bumi Langkasuka di Semenanjung Emas. Peluang keemasan yang ditawarkan kepadanya untuk memimpin bala tentera bantuan Goryeo ke sana ibarat pucuk dicita ulam mendatang, diterimanya bagai bulan jatuh ke riba.

 

Menyahut panggilan ketentuan, mereka mengembara merentas benua dan samudera, menghadap bermacam cabaran dan pancaroba. Demi kesetiaan, persahabatan, cinta dan kasih sayang, mereka membuat pengorbanan teragung. Kerana maruah dan mertabat nusa dan bangsa, mereka berjuang menyabung jiwa dan raga menentang penjajah gagah.

 

Di zaman ketika perdagangan, ajaran agama serta siasah negeri saling menuntut perhatian para pemerintah, persepakatan dan janji damai di antara negeri tiba-tiba dibelakangi, bertukar menjadi perang besar yang menggoncang benua serta samudera. Setelah berabad terjajah, terhina dan tertindas, angkatan adiwangsa bangkit menentang bala tentera penakluk. Pertempuran agung di antara pahlawan 7 kerajaan menjadi penentu segala-galanya.

 

Demikian, seribu tahun di zaman silam, wirawan dan wirawati pribumi berdiri megah berani, bersama sahabat dari dekat dan jauh yang memahami tuntutan hati nurani, menghadapi ancaman terhebat demi membela pertiwi dikasihi.

 

Dharma Kusuma, Pembela Langkasuka 3
PAHLAWAN 7 KERAJAAN

Inilah senandung tersanjung
Kisah pembelaan pertiwiku Langkasuka
Nusa sejahtera di semenanjung nan agung

No comments:

Post a Comment