Semenanjung Emas, 1068 Masihi.
Hampir tiga abad yang lalu, Maharaja Balaputra Warma Dewa, maharaja seluruh Persekutuan Palembang Srivijaya, menyerang lalu menakluki negeri Gangga Negara, negeri terakhir di Semenanjung Emas yang belum dapat ditewaskannya. Balaputra lalu menggabungkan seluruh wilayah Persekutuan Langkasuka, yang sedia berada dalam pertuanan Palembang Srivijaya, dengan wilayah Gangga Negara lalu menggelar kerajaan yang lebih besar lagi itu Kadaram.
Namun serangan kedua Chola Mandalam ke atas Semenanjung Emas, empat puluh tiga tahun yang lalu, melenyapkan pertuanan Srivijaya ke atas seluruh Persekutuan Kadaram. Tiga pasukan bala tentera Chola Mandalam masing-masing menyerang wilayah Segenting Emas, Semenanjung Emas serta Pulau Sumatra semasa pemerintahan Maharaja Sang Rama Vijaya Thungga Varman sebagai maharaja seluruh Persekutuan Agung Palembang Srivijaya. Sebagai sebahagian syarat janji damai selepas perang, seorang adik kepada Gangga Shah Johan, raja negeri Gangga Negara, Puteri Sedara Gangga namanya, dikahwinkan dengan Rajendra Chola, raja negeri Chola Mandalam. Perkahwinan yang menghasilkan seorang putera bernama Suran Padshah.
Namun ketika bumi Chola Mandalam kemudiannya bergolak oleh tekanan musuh di setiap sisi sempadan wilayahnya di Benua Hindi, Raja Samara Vijaya Thungga Varman, putera kepada Raja Air Langga melalui permaisuri keduanya Puteri Dharma Prasada Thungga Dewi, puteri tunggal kepada Sang Rama Vijaya, menyerang dan menewaskan Suran Padshah, raja baru negeri Gangga Negara sekaligus raja agung seluruh Persekutuan Kadaram. Samara Vijaya, sungguhpun lebih dikenali sebagai seorang raja Jawa yang bersemayam di Kediri, sebenarnya seorang pewaris Wangsa Srivijaya melalui ibunya. Maka kejayaannya menumbangkan Suran Padshah dirai gemilang oleh sesetengah pihak yang mendokong pertuanan Palembang Srivijaya di Semenanjung Emas.
Namun bagi kebanyakan rakyat asal bumi Langkasuka, di antara Suran Padshah dan Samara Vijaya tiada bezanya. Mereka keduanya mewakili kerajaan penjajah dari bumi asing, sungguhpun Suran Padshah itu ibunya seorang puteri Gangga Negara.
Dua puluh tahun lamanya bumi Kadaram kembali daripada pemilikan Chola Mandalam kepada pertuanan Wangsa Srivijaya. Namun serangan ketiga bala tentera Chola Mandalam ke atas bumi Semenanjung Emas, dua bulan berlalu, kini melenyapkan semula pertuanan Wangsa Srivijaya di Semenanjung Emas. Serangan kali ini dikepalai oleh Vira Rajendra Chola, putera ketiga Rajendra Chola.
Rancang cara Vira Rajendra Chola terlalu bijak dan licik. Hasil perisikannya sekian lama membuahkan hasil menakjubkan. Dia mendapat maklum bahawa di antara Panglima Agung Sanjaya dan timbalannya Daman Lela mungkin ada sedikit keretakan yang agak halus namun tetap boleh dihunjam baji.
Daman Lela termakan umpan. Disogok dengan ganjaran emas yang lumayan dan dijanjikan dengan pangkat panglima agung dalam kerajaan Kadaram yang baru, ditambah pula dengan iri hatinya sekian lama terhadap Sanjaya yang dianggapnya telah merampas Nirmala Ratna daripadanya, dia akhirnya berjaya dibujuk supaya mengkhianati Sanjaya yang juga sahabat karibnya sejak zaman remaja.
Kekecohan akibat kepetualangan Daman Lela membuka ruang untuk bala tentera Chola Mandalam. Sesudah kepimpinan Sanjaya dapat dihapuskan, bala tentera Persekutuan Kadaram kini bercelaru bagaikan anak ayam kehilangan ibu. Bala tentera Chola Mandalam pimpinan Vira Rajendra mengalahkan bala tentera Persekutuan dengan agak mudah. Lalu Raja Ayudhika, raja Kedah Negara yang dilantik oleh Samara Vijaya sebagai raja bawahan untuk memerintah seluruh Persekutuan Kadaram, terpaksa berundur lebih jauh ke utara, menumpang negeri orang buat sementara.
§
Sehari suntuk Wulan Sari, Mak Tanjung, Aryaputra dan Mardunisa menaiki perahu panjang yang didayung menongkah arus dari Kampung Kuala Besar, berhampiran kota pelabuhan Tumpat, di muara Sungai Kelantan. Selepas itu berjalan kaki pula beberapa ketika dari tempat perahu bersadai. Sesampainya mereka di kaki Bukit Panau, haripun sudah menjelang senja. Manakala Anuyatha bermula dari muara lagi mengambil jalan darat dengan menonggang Gupta, kuda perang setia Sanjaya, kerana ia terlalu besar untuk dibawa dengan perahu. Dia juga membawa Pradhana bersamanya.
“Nah!” Aryaputra bersuara lantang dengan nada teruja sebaik sahaja mereka melewati pintu gerbang utama. “Itu dia … rumah Yangda Tata dan Yangda Bella.”
Terdengar ringkik nyaring seekor kuda jantan dari arah belakang rumah itu. "Wei! Tu Gupta!" sambung Aryaputra yang amat mengecam ringkik kuda bapanya. "Abang Ata dah sampai lebih dulu daripada kita rupanya."
Sejak berumur sepuluh tahun lagi, Anuyatha diambil bekerja sebagai pekerja berupah oleh Sanjaya, membantu keluarganya dengan tugas-tugas yang bersesuaian dengan kudrat kecil Anuyatha ketika itu. Bapanya orang Bhama, manakala ibunya wanita Mon. Mereka berdua merantau ke Kedah Negara dari negeri Tanah Seri semasa Anuyatha masih berumur lima tahun. Ketika itu Tanah Seri masih merupakan sebuah wilayah dalam kekuasaan Kedah Negara. Kini ia dipanggil Thanin Thanyi, setelah menjadi wilayah taklukan orang Bhama.
Sebaik mendapat khabar tentang pengkhianatan Daman Lela, Anuyatha membuat perancangan untuk melarikan Gupta dan Pradhana dari kandang mereka. Sudah beberapa tahun kedua kuda itu berada di bawah kendaliannya. Di sanubarinya, langsung tidak rela dia hendak membiarkan dua kuda kesayangan tuannya itu jatuh ke tangan orang yang telah mengkhianatinya.
Pada waktu lewat malam di hari Sanjaya diserang oleh penyerang yang diupah oleh Daman Lela, Anuyatha berjaya melaksanakan rancangannya. Ketika Daman Lela dan konco-konconya dalam kekecohan setelah mendengar berita bahawa Sanjaya yang mulanya mereka sangka mati mungkin telah diselamatkan orang. Dengan bunyian mulut paling lembut, Anuyatha mengajuk leretan kokok burung tekukur. Kemudian dia memanggil nama Gupta dan Pradhana dengan nada perlahan. Begitu dia merangsang Gupta dan Pradhana supaya menderap perlahan, kemudian meligas lantas melompat keluar melepasi pintu pagar kandang. Membuat telahan bahawa Aryaputra akan berada di rumah Wulan Sari, Anuyatha terus membawa Gupta dan Pradhana ke sana.
Wulan Sari berhenti berjalan dan merenung rumah besar itu seketika dari jauh. Rumah itu indah agam. Menakjubkan pula seni binanya. Tidak jauh daripadanya pula berdiri tersergam sebuah bangunan yang jauh lebih besar, seperti sebuah istana. Mahligai Dharma Kusuma, jangkanya. Seorang wanita agak berusia bertubuh tinggi lampai kelihatan sedang menyapu dedaun kering yang gugur di bahagian hadapan pekarangan rumah itu.
“Dan wanita itu?” Mak Tanjung mula bertanya. Wanita itu kelihatan … agak berlainan sedikit gayanya daripada kebanyakan wanita tempatan, fikirnya.
“Itulah dia Yangda Bella,” Aryaputra tersenyum riang. “Moyang Yaya yang perempuan.”
Wanita berusia itu seperti dapat mendengari suara mereka. Dia berhenti menyapu seketika dan berpaling perlahan-lahan ke arah mereka.
“Wei lah!” tingkahnya terperanjat bercampur teruja. “Kau ka Yaya?”
Aryaputra terus meluru ke arah wanita itu, membenam mukanya ke dada wanita itu, lantas memeluknya penuh mesra.
“Yangda Bella! Apa khabar, Yangda?”
“Khabar baik, Yaya,” wanita itu mengusap-usap muka dan kepala Aryaputra. “Kau pula bagaimana?”
Mata Aryaputra mula merah dan berair.
“Tenanglah Yaya," wanita itu meneruskan. "Nanti kita bercerita panjang. Dan teman-temanmu yang lagi tiga tu … kau tak nak perkenalkan ka?”
“Maaf, Yangda,” ujar Aryaputra. “Yaya terlupa. Yang ini, Ibu Wulan. Dialah orang yang telah membantu dan melindungi Yaya itu hari. Yang ini, Nek Tanjung, mak mertua Ibu Wulan. Dan … yang ini ... si kecil yang manis ni … Mardunisa, puteri tunggal Ibu Wulan. Nama ringkasnya Madu.”
“Ibu Wulan, Mak Tanjung, Madu. Yaya perkenalkan … ini Yangda Isabelle … moyang perempuan Yaya. Yaya panggil dia Yangda Bella sejak kecil lagi.”
“Apa khabar, Puan?” Wulan Sari dan Mak Tanjung memberi salam hampir serentak.
“Khabar baik. Mari. Jemput naik. Kita bercerita di atas rumah pulak.”
Mereka bersalaman.
“Cantik dan manis anak ini,” Isabelle mengusap-usap pipi dan rambut Mardunisa. “Memang kena dengan namanya.”
“Ehem!” kedengaran suara seorang lelaki yang menghampiri mereka dari arah belakang rumah. Mereka menoleh ke arahnya.
“Yangda Tata!” Aryaputra menyapanya. “Apa khabar, Yangda?”
“Yaya! Khabar baik. Kau macam mana?”
Sekali lagi mata Aryaputra mula merah dan berair.
“Baiklah Yaya. Nanti kita cerita lagi. Sekarang perkenalkan kawan-kawanmu kepadaku dulu.'
Aryaputra memperkenalkan mereka semua satu persatu dan mereka bersalaman dengan Shakranta.
§
Selepas selesai makan malam, mereka berhimpun di ruang tamu.
“Nasib baik ada Ibu Wulan,” ujar Aryaputra kepada kedua moyangnya. “Dialah yang melindungi Yaya. Seterusnya mententeramkan jiwa Yaya. Kalau tidak, Yayapun dah mati akal ... tak tahu apa nak buat. Kepala Yaya dah berserabut sangat, tak dapat nak berfikir lagi masa tu.”
“Terima kasihlah banyak-banyak, Wulan," tingkah Isabelle. "Yaya … dan juga kami semua … terhutang budi … lebih daripada itu … terhutang nyawa … denganmu.”
“Hamba sekadar melakukan yang sewajarnya, Nenda Bella,” ujar Wulan Sari. “Lagipun … Panglima Sanjaya itupun … dia pernah menyelamatkan nyawa hamba daripada sekumpulan bajingan liar beberapa ketika dulu.”
“Oh,” balas Isabelle. “Betul ka tu?”
“Memang betul, Nenda Bella,” jawab Wulan Sari. “Kalaulah dia tidak muncul dengan tak semena-mena untuk membantu hamba saat itu, tak tahulah. Mungkin diri hamba ini … sudah tiada lagi di dunia ini.”
“Itu sekadar sesuatu yang wajar,” Shakranta menyelit. “Memang itulah tugas seorang pahlawan. Membela dan melindungi orang yang memerlukan pembelaan dan perlindungan.”
“Maka ...” Isabelle mencelah, “naluri pembela dalam diri Nenda Tata mu inilah … yang telah mempertemukan cinta di antara kami berdua … hingga Nenda kini berada di sini … separuh dunia daripada negeri asal Nenda … menjadi orang Langkasuka... orang Kelantan Amdan Negara. Beranak, bercucu, dan bercicit di sini,” Isabelle berceloteh sambil mengusap pipi suaminya dengan manja. Shakranta membelai tangan isterinya lantas mengucupnya dengan penuh kasih sayang. Ternyata, walaupun sudah agak lanjut usia, rasa cinta di antara mereka berdua tetap segar bugar seperti orang muda. Jelasnya, mereka masih kelihatan seperti sepasang kekasih yang sungguh bahagia, fikir Wulan Sari. Entah apa sebabnya, Wulan Sari turut terasa senang hati.
“Oh!” ujar Shakranta. “Sekarang baru Nenda ingat. Sanjaya memang ada bercerita kepadaku tentang peristiwa itu. Katanya seorang wanita cantik yang telah merawatnya sehingga sembuh sepenuhnya daripada kecederaannya yang agak parah. Katanya lagi, wanita itu bukan saja cantik, tetapi juga hebat ketika bertempur. Seperti seorang serikandi.”
“Panglima Sanjaya terlalu memuji,” Wulan Sari tersenyum bersahaja.
Isabelle muncul keluar daripada ruang dapur bersama Mak Utih. Mereka membawa beberapa jenis juadah.
“Nah,” ujar Isabelle. “Ambil ini … sedikit pencuci mulut. Sambil bercerita, kita menjamu selera.”
“Habis tu, dia tinggal di rumahmu sepanjang tempoh itu?” Shakranta mengusul.
“Oh, tidak,” ujar Wulan Sari. “Hamba membawanya tinggal di rumah abang hamba yang berhampiran dengan rumah hamba. Kebetulan ketika itu dia sekeluarga pulang berkunjung ke kampung isterinya … sementara menunggu padi masak. Hanya seorang anak lelakinya yang tinggal … Anjang ... anak saudara hamba.”
§
“Sungguh tidakku duga … si Daman Lela itu … mengapakah sanggup dia menganiaya sahabat baiknya hingga sebegitu rupa," Isabelle mengeluh panjang.
“Entahlah, Yangda,” jawab Aryaputra. “Memang tiada seorangpun yang menyangka. Kata Ayah, mungkin dia sudah lama berdendam kusumat kepada Ayah. Kerana sering alah kepada Ayah dalam segala perkara … termasuk perkara cinta.”
“Maksud mu?”
“Cinta Ibu,” jawab Aryaputra. “Kerana Daman Lela menganggap dia lebih dulu mencintai Ibu … maka dialah yang lebih layak … mengikut penilaiannya sendiri.”
“Tapi Nirmala Ratna tidak pernah mencintainya," balas Isabelle. "Hanya Daman Lela yang perasan seorang diri. Seronok sendiri. Nirmala Ratna yang memberi tahu ku serta Sanjaya sendiri. Kalau tidak, masa kan pula sanggup Sanjaya merampas kekasih seorang sahabat karibnya.”
Semua terdiam sejenak.
“Nendamu Ozalan seperti mahu mengamuk ketika mendengar berita itu,” Shakranta menyelit. “Dia ingin terus berkejar ke Kedah Negara untuk membuat perhitungan dengan Daman Lela. Tapi aku yang menghalangnya. Ozalan bukannya lagi seorang pahlawan muda. Aku tidak mahu Daman Lela berbuat ulam dengannya. Nanti siapa pula yang akan tinggal untuk melindungi Chinta Kirana. Biarlah kita tunggu dulu. Aku pasti .. Daman Lela akan mendapat pembalasannya suatu hari nanti.”
“Tapi Nenda,” sampuk Wulan Sari. “Hamba ada mendengar … semasa di kota Patani … bahawa … mayat Sanjaya tidak ditemui orang."
“Nenda juga ada mendapat berita begitu,” ujar Shakranta.
“Maka itu bererti … belum sahih yang Sanjaya telah meninggal dunia,” Isabelle mencelah. “Aku tahu cucu ku itu … sejak sedari kecilnya lagi … dia seorang budak yang amat lasak. Babil ... gedeber ... kalau mengikut pelat orang di sini. Jauh lebih babil dan gedeber daripada teman-temannya yang lain. Tidak terbilang olehku berapa kali dia terjatuh dari pokok dan terlambung dari belakang kuda … terkehel dan terseliuh tangan dan kakinya. Disondol babi hutan … ditanduk lembu … dan pelbagai lagi. Namun dia tidak pernah alah dengan sakit dan tetap dengan cara lasaknya. Naluriku seperti berkata … bahawa dia masih hidup lagi. Cuma … mungkin dia bersembunyi di mana-mana … sementara mengubati dirinya hingga sembuh sepenuhnya.”
"Sanjaya tidak mati!" tiba-tiba terdengar suara Ratu Agung Chinta Kirana yang datang menjenguk mereka. "Aku pasti. Dia puteraku. Suatu hari nanti, tiba masanya yang paling sesuai, dia akan kembali ke Kedah Negara untuk menghancurkan Daman Lela durjana itu!"
"Tenanglah, Dinda," Panglima Agung Ozalan bersuara. "Memang benar seperti kata Ayahanda. Walau apa perkembangannya, keutamaan kita sekeluarga di waktu mencabar sebegini adalah menjaga keutuhan negeri. Musuh-musuh kita pasti sentiasa memerhatikan kita. Jika mereka menduga sebarang kecoh dan celaru dipihak kita, mereka mungkin melayani angan-angan untuk mengambil kesempatan ke atas keadaan seperti ini."
Wajah Aryaputra seperti kembali cerah semula dengan tiba-tiba mendengar hujah Isabelle, serta keyakinan Chinta Kirana dan juga Ozalan. Ada benarnya juga kata mereka berdua itu, fikirnya. Apapun, dia berharap begitulah. Namun, apabila terkenang semula keadaan teruk Ayahnya ketika ditinggalkannya kali terakhir di kawasan dusun itu, hatinya beransur runtun semula.
§
“Yaya,” Shakranta menyapa cicitnya Aryaputra.
“Ya, Yangda Tata,” sahut Aryaputra.
“Mari ke sini, dekat Yangda” ujar Shakranta. “Kita bercerita sedikit.”
“Baik, Yangda.”
“Kau masih bersedih ... dan berpilu ... dengan malang yang menimpa kedua orang tuamu, kan?”
“Ya, Yangda. Yaya masih belum dapat melupakannya. Ia terasa masih segar benar dalam ingatan.”
“Baiklah, Yaya. Itu bererti Yaya amat menyayangi mereka. Dan itu suatu perkara yang baik. Sedih dan pilu ... adalah perasaan yang memang perlu kita rasai ... pengalaman yang perlu kita lalui ... bila malang datang menimpa tanpa dijangka. Kita tidak harus menentang atau menafikannya. Diri kita dan jiwa kita memang memerlukan sedih dan pilu itu. Ia sebenarya suatu penawar yang akan beransur-ansur menyingkirkan segala racun dan bisa yang memudaratkan kita akibat sesuatu musibah. Dan dengan itu mengubati diri kita.”
“Tapi, Yangda ... si pendurjana yang membuat angkara ... si Daman Lela yang jahat itu ... tidakkah dia sepatutnya menerima balasan yang setimpal dengan perbuatan jahatnya?”
“Memang begitulah, Yaya,” jawab Shakranta. “Malah, Nendamu, Ozalan, tempoh hari naik geramnya meluap-luap ... dia hendak terus pergi ke Kedah Negara untuk mencari dan membunuh Daman Lela. Namun, Yangda yang terpaksa meredakan kemarahannya dan melarangnya daripada bertindak melulu mengikut hawa nafsu.”
“Mengapa pula, Yangda?” soal Aryaputra. “Bukankah adat orang kita ... hutang darah dibayar darah?”
“Itu benar, Yaya,” jawab Shakranta. “Tapi kita juga mesti melihat keadaan dan suasana keseluruhan. Bagaimana jika Ozalan yang sedang dalam keadaan panas baran ... termasuk perangkap orang-orang Daman Lela ... musuh-musuh Sanjaya ... di Kedah Negara ... dan terbunuh oleh mereka di sana. Siapa pula yang akan melindungi nendamu Ratu Chinta Kirana sebagai ratu memerintah di Amdan Negara? Kiranya Ozalan dapat mereka musnahkan ... siapakah lagi yang mampu melindungi Amdan Negara jika diserang lagi oleh orang-orang Palembang Srivijaya atau Chola Mandalam? Kerana Yangda sendiripun sudah terlalu lanjut usia ... tidak lagi punya kudrat seorang pahlawan seperti dulu.”
“Umm ... betul juga seperti kata Yangda,” ujar Aryaputra. “Habis bilakah boleh kita menuntut bela ke atas perbuatan si Daman Lela durjana itu?”
“Yangda tidak pasti apa jawapan yang paling tepat bagi soalan kau tu," jawab Shakranta. “Namun buat masa terdekat ini, kita mesti menganggap bahawa kepentingan Amdan Negara sebagai sebuah negeri merdeka dan berdaulat mengatasi sebarang keinginan peribadi untuk membalas dendam dan menuntut bela.”
“Walaupun nanti ada orang yang menuduh kita dayus dan pengecut?”
“Yaya. Orang boleh berkata apa saja yang mereka mahu. Namun, kita ada sebuah negeri dengan seluruh rakyat jelatanya yang harus kita jaga dan lindungi. Soal menuntut bela ... itu boleh kita tunda buat sementara. Bila tiba waktunya nanti ... bila cukup lengkap segala persediaannya ... satu hari nanti kita bukan sahaja boleh memusnahkan Daman Lela ... malah menumpaskan Palembang Srivijaya dan Chola Mandalam ... lalu memerdekakan bukan sahaja Kedah Negara ... tetapi juga ... seluruh bumi Langkasuka.”
“Wah! Besar benar cita-cita Yangda,” ujar Aryaputra. “Tapi ... mungkinkah itu tercapai?”
“Yaya,” sambung Shakranta. “Di dunia ini ... tiada apa yang mustahil. Dalam banyak perkara ... hanya diri kita sendiri ... keraguan dan kesangsian kita ... yang kerap kali menjadi batu penghalang.”
“Tapi, Yangda,” tingkah Aryaputra lagi. “Siapakah orangnya yang akan memimpin usaha sehebat itu? Siapakah yang akan mampu menggalas tanggungjawab sebesar itu?”
“Bagaimana dengan kau sendiri?”
“Yaya sendiri?”
“Ya, kau sendiri. Mengapa pula tidak? Bukankah kau zuriat Wangsa Dharma Kusuma? Bukankah keturunan kita semua bernasab daripada keturunan para raja dan panglima yang terhebat dalam sejarah Rantau Tenggara ini?”
“Umm ...” Aryaputra seperti mahu bertanya lagi. Namun dia terdiam sejenak. Memang terdapat sedikit sebanyak kebenaran pada hujah-hujah moyangnya itu.
“Yaya. Janganlah sekali-kali kau lupa. Wangsa Dharma Kusuma ... talian zuriat keluarga kita ... nasabnya melanjut kepada Wan Sri Mara raja Funan, Rama Unibha raja Kedah Negara, Bhaga Datta raja agung Persekutuan Langkasuka dan Buddha Gupta raja negeri Chi Tu. Tidak lupa juga, Yazdegerd I raja Parsi wangsa Sassan, dan seorang anaknya, Putera Ardavaz, yang mengiringi Putera Buddha Gupta ke semenanjung ini dan membantunya membina negeri Chi Tu. Serta cuci cicit mereka berdua, Raja Nayaka dan Raja Espandiyar.”
“Tapi, Yangda ...”
“Tiada tapinya lagi, Yaya. Suatu hari nanti ... dengan izin Pencipta ... kau akan mewarisi takhta Amdan Negara. Dan ... jika kau dapat membuktikan kemampuanmu ... kau juga berkemungkinan dilantik menjadi Panglima Agung Angkatan Pantai Timur. Sebagaimana telah berlaku dengan Yangda sendiri dan juga datukmu Ozalan. Yangda benar-benar menaruh harapan bahawa ... kaulah putera Wangsa Dharma Kusuma yang akan satu hari nanti ... berjaya memimpin Amdan Negara dan seluruh Angkatan Pantai Timur ... untuk membantu membebaskan seluruh bumi Langkasuka daripada belenggu penjajah.”
Aryaputra terdiam lagi.
“Maka, sebagai persediaan awal," sambung Shakranta, "sebelum kau belayar merantau ke negeri orang ... Yangda dan datukmu Ozalan akan mengajarkan kepadamu segala gaya ilmu seni tempur yang kami miliki. Kerana tidak wajar kau pergi berkelana jauh tanpa sedikit sebanyak ilmu di dada.”
“Baiklah, Yangda," jawab Aryaputra. “Yaya akan belajar dengan sehabis tekun dan bersungguh-sungguh. Kerana Yaya mahu menjadi ... satu hari nanti ... seorang ... Pembela Langkasuka.”
“Syabas, Yaya. Itulah semangat yang sewajarnya bagi seorang putera ... daripada ... Wangsa Dharma Kusuma.”
§
Keesokan harinya …
“Yaya!” Ozalan memanggil cucunya.
“Ya, Nenda Oja,” jawab Aryaputra.
“Kemari. Nenda nak pergi ke dusun. Dah lama Nenda tak ke sana. Mari ikut Nenda.”
“Baik Nenda,” jawab Aryaputra.
“Abang Yaya!” kedengaran suara Mardunisa. “Nak ikut. Madu nak ikut.”
“Tapi Madu,” ujar Aryaputra. “Di sana banyak semut, pacat, kerengga, nyamuk dan agas. Nanti habis Madu dikerjakan mereka.”
“Tak usahlah Madu,” tingkah Wulan Sari. “Madu tinggal di rumah aja sama Ibu. Nanti kita nak dengar cerita Yangda Bella lagi.”
“Tak nak,” Mardunisa berdegil. “Madu nak ikut Nenda Oja ngan Abang Yaya. Madu dah bosan duk kat rumah aja.” Dia mula kelihatan gedik dan nak naik berang.
“Ala, apa salahnya, Wulan,” ujar Isabelle. “Biarlah aja Madu mengikuti mereka. Lagipun, Oja tu memang suka melayan budak-budak. Biarlah mereka ke dusun bertiga. Kalau tak silap, Tata pun bercadang nak ke sana hari ni. Kata dia, nak menanam anak pokok pauh kacukan baka pauh Kemboja. Hah, biarlah mereka berempat berpuak di sana.”
“Baiklah, Madu,” ujar Wulan Sari. “Tapi janji, kau jangan nakal-nakal tau. Nanti kalau Nenda Oja kata kau nakal … Ibu rotan kau nanti.”
“Eleh, Ibu ni,” Mardunisa tersengih.
§
Isabelle, Wulan Sari, Mak Tanjung dan Mak Utih beramai-ramai menyibukkan diri masing-masing di dapur untuk menyediakan makan tengah hari. Sambil bekerja, sambil berceloteh.
“Begitulah si Madu tu, Nenda, kalau Abang Yayanya ada,” ujar Wulan Sari kepada Isabelle. “Macam tak boleh berenggang walau sekejap pun.”
“Ya lah, kan,” sampuk Mak Tanjung. “Mereka berdua tu macam saling melengkapi. Hah, si Madu tu … tak ada abang. Sementara si Yaya pula … tak punya adik. Mungkin kerana itulah di antara mereka begitu serasi.”
“Tak mengapalah,” balas Isabelle. “Biarlah mereka tu berkawan.”
“Seperkara yang ku hairan. Di antara wajahmu, Wulan Sari ... juga wajah anakmu … seperti hampir seiras dengan Shakranta … dan Sanjaya … juga Aryaputra. Seperti anggota sebuah keluarga yang sama. Entahlah. Mungkin ia suatu tanda kebesaran Sang Pencipta.”
Isabelle bercerita panjang tentang pertemuan pertamanya dengan Shakranta dan Ozalan di kota Konstantinople, disusuli dengan kisah-kisah lain sepanjang kehidupannya sejak bertemu mereka.
“Maka begitulah sifatnya Shakranta tu. Dia Melayu jati, anak bumi Langkasuka. Namun semangat keperwiraannya dan perwatakannya yang sungguh bahaduri tidak ubah seperti seorang pahlawan Sakhsun. Itulah perkara yang paling Nenda suka pada dirinya. Ozalan pula, lahirnya di negeri Bolgaria, anak campuran Oghuz-Bolgar, tapi membesarnya di sini, hidupnya sebagai anak jati Amdan Negara."
"Bonda Bella memeluk Islam sesudah tiba di sini?" Mak Tanjung tiba-tiba mengusul.
"Tidak, Tanjung," jawab Isabelle. "Bonda pertama kali mengenali sedikit sebanyak tentang Islam daripada Shamira, ibu kepada Ozalan dan sahabat baik Bonda semasa kami sama-sama menjadi abdi tawanan yang menunggu giliran untuk dijual oleh pemilik kami di Konstantinople. Kedua ibu bapanya memang dilahirkan Islam di negeri asal mereka, di kawasan hilir Lembah Sungai Volga. Keluarga mereka berhijrah ke negeri Bolgaria semasa mereka masih remaja. Maka Bonda seterusnya memeluk Islam semasa di Konstantinople."
“Nenda Bella … tidak rindukan … kampung halaman?” tanya Wulan Sari.
“Haaai,” jawab Isabelle. “Entahlah, Wulan Sari. Rindu tu memanglah rindu. Kata orang … tempat jatuh lagi dikenang. Inikan pula tempat bermain. Tapi sanak saudara Nenda kini entah di mana. Orang tua dan adik beradik pula … memang dah tiada lagi. Sudah hampir enam puluh tahun Nenda menetap di sini. Dah berkampung dan bercucu cicit di sini.”
§
“Wulan Sari,” Shakranta bersuara. “Janganlah harapnya Cunda pula yang terbeban dan tertekan kerana masalah keluarga kami.”
“Oh, itu tidak apa-apa, Nenda Shakranta,” jawab Wulan Sari. “Hamba akan berkorban apa saja untuk keluarga Panglima Sanjaya. Kerana dia jugalah yang telah menyelamatkan nyawa hamba sedikit masa dulu. Kalau tidak kerana pertolongannya, tak tahulah apa yang sudah terjadi kepada hamba.”
“Perkara ini kini membuat hamba terkenang kisah lama suatu ketika dulu,” Ozalan menyelit. “Kisah ketika Sanjaya masih seorang anak muda, sebelum dia pergi merantau ke Kedah Negara.”
“Kisah apakah itu, Ayahanda Ozalan? Kiranya boleh hamba tahu.”
“Sebenarnya ... kami pernah ... berura-ura untuk ... menjodohkan Sanjaya dengan ... Anakanda Wulan. Kerana ... pada Ayahanda ... ia akan merapatkan dan memperkukuh hubungan sedia ada di antara Ayahanda dan sahabat Ayahanda ... iaitu saudagar Mehrdad.
“Oh? Benarkah begitu?” Wulan Sari kelihatan teruja. Lantas di hatinya terbayang seketika bayangan menjalani hidup sebagai suami isteri bersama Panglima Sanjaya. Namun ia hanyalah sekadar suatu bayangan.
“Benar, Anakanda Wulan,” Chinta Kirana pula menyampuk. “Di antara Nila Kurnia, iaitu ibu Anakanda, dan Bunda sendiri, kami berdua juga bersahabat akrab. Namun, Sanjaya ketika itu terlalu tergesa-gesa hendak meninggalkan Bukit Panau untuk berkelana ke Kedah Negara ... sebelum hasrat kami itu dapat diusahakan sepenuhnya.”
“Namun, kalaulah usaha itu telah menjadi, akan bermakna Sanjaya tidak akan mendapat Aryaputra sebagai anak lelakinya,” Isabelle pula mencelah. “Manakala, Cunda Wulan pula, tidak akan dikurniakan Mardunisa sebagai anak perempuan. Bukankah ini semua ... bayangan kebesaran dan kebijaksanaan Sang Pencipta?”
"Kata orang, ajal dan jodoh di tangan Pencipta," Ozalan pula menyambung. "Maka, tidak mustahil Sanjaya tidak menemui maut akibat diracun dan seterusnya diserang. Dan, jika dihendaki Pencipta, tidak mustahil juga, di antara Sanjaya dan Anakanda Wulan bakal bertemu jodoh di hari muka."
"Alangkah indahnya kalau demikian yang berlaku," ujar Chinta Kirana.