Monday, March 19, 2012

Bab 36: Perantauan di Goryeo


Di suatu tempat yang tinggi di sebuah lembah berhutan tebal, terpencil dan tersembunyi di Gunung Tansok, terletak sebuah candi bernama Shinson, membawa maksud Semangat Sakti.

Tidak jauh dari pinggir kota Gyeong Ju, melewati kampong kecil Ujunggok, mereka menuruni cerun ke arah anak sungai dan terus berjalan melalui tanur-tanur pasu kampong itu. Menyusuri denai ke arah tebing kanan anak sungai itu seterusnya melalui deretan sawah padi. Berhampiran beberapa luncuran batu besar, denai itu melintasi anak sungai dan mula memanjat lereng kiri gunung dengan curamnya.

Laluan itu membawa ke sebuah lagi lembah yang lebih tinggi daripada lembah utama tadi. Dari dinihari hingga ke awal pagi mereka berjalan barulah tiba di pekarangan candi Shinson. Ia dikatakan mula masyhur namanya apabila seorang panglima Shilla bernama Kim Yushin menggunakan banjaran gunung itu sebagai pangkalan tempat berlatih bagi pahlawan Hwa Rang.

Maka Perguruan Hwa Rang itu dan pahlawannya, mengikut kata orang Goryeo, amatlah hebat sekali. Para panglima serta pembesar di zaman kerajaan Shilla, kerajaan terunggul dalam sejarah semenanjung Goryeo yang bertahan selama 900 tahun, dikatakan berguru di sana. Malah, pengasas kerajaan Shilla itu sendiri, Raja Hyok Go Soi, dipercayai mendapat pendidikan asas di Perguruan Hwa Rang. Maka oleh itu perguruan itu juga kadang kala digelar orang Perguruan Pahlawan Shilla.


Dahulu Shilla, kini Goryeo
Setibanya Aryaputra di kota Gyeong Ju, kota tepian pantai yang menjadi ibu kota kedua negeri Goryeo, rakyat di sana ketika itu sedang mengalami peringkat peralihan tampuk pemerintahan. Sekian lama berada di bawah pemerintahan kerajaan Shilla, kerajaan pertama yang telah berjaya membina sebuah negeri bersatu yang teguh dan kukuh di bumi mereka yang mampu bertahan selama hampir seribu tahun.

Kini mereka mendapat sebuah kerajaan baru bernama Goryeo. Namun begitu, kerajaan Shilla telah meninggalkan banyak adat resam serta cara hidup yang utuh dan mantap, maka dijangka masih tetap akan diamalkan oleh umum untuk tempoh yang lama ke waktu mendatang.
 
Kerajaan Goryeo tetap meneruskan adat perguruan Hwa Rang yang bermula pada zaman kerajaan Silla. Ajaran Hwa Rang keseluruhannya menggabungkan ilmu kepahlawanan, rancang cara dan tipu muslihat perang, serta ilmu falsafah melalui corak latihan yang mengadunkan unsur jasmani dengan ruhani.

Antara latihan jasmani yang diutamakan ialah memanah, menonggang kuda, tempur bersenjata seperti bermain pedang dan melontar lembing, serta tempur tanpa senjata. Ini kerana matlamat utama Hwa Rang ialah melindungi kedaulatan nusa dan bangsa serta keutuhan pertiwi. Hwa Rang juga menerapkan tata-tertib berhubung perilaku diri dan khidmat bakti kepada masyarakat seluruh.

Golongan Hwa Rang bermula di zaman Shilla sebagai sepuak pemuda bangsawan yang berkumpul bersama-sama untuk belajar, bermain-main dan menuntut pelbagai seni dan ilmu perang. Namun demikian, dengan berlalunya masa, Hwa Rang membuka pintu kepada anak-anak rakyat golongan biasa.

Apapun, Hwa Rang tetap menerima sokongan padu daripada pihak pemerintah kerana golongan raja sendiripun turut menyertai perguruan Hwa Rang dan berkhidmat sebagai pahlawan Hwa Rang sebelum mereka ditabalkan menjadi raja dan menaiki takhta Shilla.

Istilah Hwa Rang itu boleh dikatakan membawa maksud Semarak Pemuda. Sungguhpun anggota Hwa Rang tidak membentuk sebahagian daripada bala tentera tetap kerajaan Shilla, namun semangat kepahlawanan mereka, sifat setianusa dan setiabangsa mereka, serta gagah berani mereka di medan perang telah memberi sumbangan amat besar kepada kehebatan bala tentera Shilla.

Dengan itu, Aryaputra merasakan bahawa ilmu Hwarang itu sememangnya tepat sekali merupakan apa yang dicari-carinya sekian lama sebagai sesuatu yang akan membantunya menyelesaikan masalah yang merundung bumi Langkasuka, tanah air tumpah darahnya. Tambah lagi, sejarah hebat Shilla yang dapat menumbangkan dua kerajaan yang lebih besar dan gagah daripadanya, iaitu Koguryo dan Baekche, di samping berjaya mengekang ancaman kerajaan China Wangsa Tang, meningkatkan lagi keyakinan Aryaputra terhadap ajaran Hwa Rang.

Sungguhpun Hwa Rang bersandarkan gabungan nilai-nilai fahaman Buddha dan Tao, serta aliran menyembah semangat leluhur, bagi Aryaputra itu tidak menjadi masalah. Dia hanya berminat mempelajari, mengkaji dan menerapkan ilmu Hwarang dari segi jasmaniahnya.

Manakala dari segi ruhaniah dia hanya mengambil terap bahagian yang tidak bertentang dengan Islam. Unsur lain yang tidak bersesuaian ditinggalkannya, dan dianggapnya cuma sebagai memenuhi keperluan ruhaniah kaum yang masih belum menemui unsur ruhaniah sebenar yang berpusatkan pada Pencipta Yang Esa.

Bagi Aryaputra, imannya tetap Islam. Di samping itu, Aryaputra pula mengajar mereka sedikit sebanyak ilmu silat yang diperolehinya daripada bapanya Sanjaya dan guru-guru lain semasa perantauannya di Jambi dan Kediri. Juga sedikit sebanyak ilmu seni tempur lain yang diperolehinya di Kemboja Negara dan Champa Negara.

Rata-rata teman-temannya di Kyong Ju mengagumi bakat semula jadi dan kemampuan luar biasa yang ada pada Aryaputra. Kata mereka, Aryaputra memang hebat dan amat sesuai menjadi murid Hwa Rang. Manakala ajaran Hwa Rang pula bagi Aryaputra terasa paling kena benar dengan dirinya.

Hwa Rang juga mendidik murid perguruannya dengan nilai-nilai murni dan mulia seperti kasih sayang, belas ehsan, keihklasan dan kejujuran, keberanian dan pengorbanan. Adat perguruan ini dengan itu menghasilkan para bijak pandai, ahli fikir, ahli siasah dan pakar tadbir mantap untuk memenuhi keperluan biasa di zaman aman.

Sekaligus, ia juga melahirkan para panglima berwibawa yang diperlukan untuk membela pertiwi di zaman perang. Setiap murid Hwa Rang dididik supaya menjunjung dan mengagungi matlamat utamanya, iaitu melindungi dan membela nusa dan bangsa, dan dia diasuh supaya rela berkorban seluruh jiwa raga dalam menuju ke matlamat itu.

Pahlawan lepasan perguruan Hwa Rang sering menjadi pemimpin bala tentera dan mengangkat sumpah setia kepada raja, nusa dan bangsa. Maka di kalangan banyak-banyak seni tempur Hwa Rang yang diajar kepada murid-muridnya ialah suatu jenis kaedah tempur tanpa senjata yang di panggil Tae Gyon.

Yang paling menarik pada seni Tae Gyon ini ialah sepakan dan tendangannya yang amat tinggi, tepat, padu dan kencang. Dengan hanya satu sepakan yang tepat ke kepala musuh boleh menumbangkannya lalu membuat ia pengsan.

§
Byoung Han meninjau-ninjau kawasan perguruan di pinggir Chandi Shinson. Paling pakar dalam jang bong, seni main tongkat panjang, dan muk gum, seni main pedang, dirinya kini bertaraf Do Joo Nim, Mahaguru Agung dalam Hwa Rang. Dia memerhati dua murid Hwa Rang di bawah penyeliaannya itu dari agak jauh tanpa disedari mereka.

Dua anak muda itu masing-masing sedang membuka langkah sambil melompat-lompat dan keliling-mengeliling antara satu sama lain. Gerak-geri mereka seakan dua ayam jantan juara yang hendak berlaga.

Mengorak pelbagai langkah sendiri, sambil mata masing-masing tidak lepas daripada memerhati gerak-geri lawan. Sekali sekala mereka bertempik lantang, lalu kedengaranlah bunyi heiiisshhh, zaazzz, haaiiit, buukkhhh, cesshh, haksss, dushhh, hyaaahh, baahhh, zenk, shiaaat dan pelbagai lagi pekik tempur pahlawan yang sedang sengit bertarung. Kerana pelatih tae gyon memang dididik supaya bertempik pekik sebanyak mungkin, agar membangkitkan semangat juang semula jadi dalam diri. Kadang kala salah seorang dari mereka bersuara lantang dan garau seolah-olah mengaum bagaikan seekor harimau jantan garang yang sedang berjuang sengit menentang musuhnya.

Antara Aryaputra dan Rae Shim tidak banyak bezanya susuk tubuh mereka. Sama tinggi, sama besar. Memang wajar sekali menjadi rakan latih.

Aryaputra meluru dengan sepakan sisi kaki kanan sepantas kilat ke arah muka Rae Shim. Pemuda Goryeo itu dengan tangkas berundur seketika untuk mengelak, lalu segera menendang balas dengan tendakan tusuk terbalik gaya kuda ke dada Aryaputra.

Aryaputra mengelak ke sisi, sekaligus melompat sambil membuat sepakan berputar terbalik kaki kanan ke sisi kiri kepala Rae Shim. Rae Shim mengelak dengan berundur pantas ke belakang. Sebaik sahaja mendarat Aryaputra berputar sekali lagi sambil merendahkan aras badannya menghampiri bumi, kali ini membuat sepakan putar terbalik ke arah kaki Rae Shim bertujuan menjatuhkannya.

Namun Rae Shim juga sama tangkasnya lalu melompat ke atas sambil membuat tendangan putar terbalik kaki kanan ke sisi kiri kepala Aryaputra. Kini giliran Aryaputra pula yang mengelak dengan berundur ke belakang. Mereka kedua kemudian berhenti seketika mengambil nafas sambil kelihatan tercungap-cungap sedikit.

"Hah! Baru bermain sedikitpun dah tercungap-cungap," terdengar suara panglima tua itu, separuh mengherdik separuh menyindir. "Macam mana ni? Nanti kalau dah bertempur betul-betul habislah dibantai musuh."

"Hah! Bagus, bagus," sambungnya lagi sambil bertepuk tangan tanda memberi perangsang. "Macam tu barulah betul. Yang pentingnya kamu berdua tidak kurang dari segi semangat. Itu yang paling utama pada seorang pahlawan. Semangat juang yang mustahil dikekang. Ketahanan dan kecergasan pasti menyusul jika sentiasa berlatih dengan bersungguh-sungguh."

§
"Yaya," Byoung Han duduk mencangkung, memerhatikan Aryaputra yang terlepok di atas sebongkah tunggul kayu besar. "Matamu merenung begitu jauh."

"Panglima!" Aryaputra tersentak sedikit. "Maaf … hamba tidak menyedari kehadiran Panglima tadi."

"Ada sesuatu yang mengganggu fikiranmu?"

"Ummm … tidak, Panglima. Hamba cuma terkenangkan kampung halaman dan …"

"Dan tugas besar yang kau tanggungi … untuk membela pertiwimu … kan?"

"Panglima memang selalu bijak meneka."

"Aku ini orang lama … sudah begitu jauh berjalan … sudah begitu banyak pengalaman."

"Memang fikiran hamba selalu terganggu oleh kebimbangan."

"Kebimbangan apa itu … nyatakanlah kepadaku … biar kita kongsi bersama."

"Penjajah yang menduduki tanah air hamba … iaitu bumi Langkasuka … mereka terlalu perkasa … bala tentera mereka terlalu besar jumlahnya … membuat hamba sering terasa bahawa … cita-cita hamba mustahil akan tercapai sepenuhnya. Hamba khuatir bahawa … hamba nanti tidak dapat menunaikan janji yang hamba lafazkan … kepada bapa, datuk dan nenek hamba."

"Yaya," ujar Byoung Han. "Jangan dibiarkan jiwamu selalu terbantut atau tergugat oleh bimbang dan resah. Setiap insan punya cukup kudrat dan upaya di dalam dirinya untuk membuat ia perkasa. Yang perlu sentiasa dipersegar serta disemarakkan adalah azam dan tekad. Gagal atau berjaya itu adalah diluar jangkaan kita. Hanya ketentuan yang menetapkannya. Yang utama adalah … kita merancang dan membuat persediaaan yang sebaiknya."

Aryaputra tunduk, memerhatikan rumput kering di tanah berbatu, cuba ia memusatkan fikirannya pada kata-kata Byoung Han.

"Musuh itu hanya kelihatan seperti begitu perkasa dan begitu kebal selama kita tidak mencabarnya … apatah lagi menggoncang keutuhannya … janganlah disebut pula sesudah kita menewaskannya."

"Moyang hambapun pernah berkata begitu ... ketika hamba masih kecil. Baru kini hamba teringat kembali."

"Hamba tidak hairan. Kerana dia seorang panglima yang paling hebat."

"Panglima tahu tentang dia?"

"Sudah tentu! Siapa yang tidah kenal dengan Panglima Shakranta? Kehebatannya menewaskan bala tentera Chola Mandalam di Amdan Negara menjadi buah mulut para panglima di seluruh Rantau Utara. Rancang cara ciptaannya menjadi salah satu bahan latihan di perguruan ini. Malah, hamba sendiri pernah berkunjung ke Amdan Negara beberapa ketika untuk berguru dengannya. Datukmu, Panglima Ozalan, adalah rakan latih hamba semasa di sana."

"Oh? hamba tidak tahu itu."

"Memang betul seperti kata Panglima Shakranta. Musuh yang menggerunkan itu ... apabila kita pula yang membuat mereka cuak atau gentar dengan kita … mereka tidak lagi akan terasa seperti begitu hebat. Mari … mari ku ceritakan kepadamu kisah Dae Jo Young."

"Dae Jo Young? Namanya … kedengaran seperti seorang wira."

"Memang dia seorang wira. Di antara wira teragung dalam sejarah bumi Goryeo ini."

"Dia anak bangsawan? Atau daripada kerabat panglima?"

"Tidak. Dae Jo Young asalnya cuma seorang anak desa. Seorang insan biasa. Malah dia daripada kalangan kaum nomad yang sentiasa berpindah-randah dari suatu tempat ke suatu tempat yang lain tempat. Hidup mereka tidak pernah menetap lama di mana-mana."

"Sahabat-sahabat hamba di perguruan ini juga ada menyebut-nyebut namanya. Kata mereka Dae Jo Young memimpin 10,000 pahlawan Goryeo menumpaskan 200,000 bala tentera penceroboh daripada kerajaan Tang. Benarkah begitu?"

"Memang benar itu, Yaya. Maka, kalau seseorang seperti Dae Jo Young boleh melakukan sesuatu kejutan seperti itu, mengapa pula seseorang seperti kau tidak boleh?"

§
Sudah beberapa bulan Puteri Yeung Myo berada di kota Gyeong Ju. Mulanya, hasratnya hanya ingin meninggalkan suasana istana utama di Gae Gyeong, ibu kota utama Goryeo, untuk seketika, sekadar menikmati angin pantai yang nyaman di Gyeong Ju, sambil menziarahi saudaranya Rae Shim yang berguru di biara Shinson, di Gunung Tansok. Kebetulan keluarganya punya istana kedua di Gyeong Ju. Namun, entah mengapa, hatinya terpaut dengan keindahan kawasan pergunungan yang aman damai dan mententeramkan jiwa.

Dia juga merasa agak tertarik dengan pemuda perantau berasal dari sebuah negeri yang jauh, yang kebetulan menjadi rakan latih Rae Shim. Perkenalan yang singkat tanpa terjangka membuat dirinya semakin lama semakin kagum dengan pemuda itu. Dia akhirnya merayu kepada Panglima Byoung Han supaya membenarkannya menyertai Perguruan Hwa Rang sebagai murid, agar berpeluang untuk mengenali hati budi pemuda berkenaan dengan lebih mendalam. Demikian, sedikit demi sedikit, hari demi hari, rasa cinta yang tidak terhindarkan beransur membibit di kalbunya, terhadap pemuda yang bernama Aryaputra.

Suatu hari, dia tidak dapat mengekang perasaan yang terbuku di sukmanya lagi. Terpaksa akhirnya dia meluahkan isi hatinya kepada insan yang seolah-olah masih cuba menepis cinta tulusnya.

 
"Tapi hatiku hanya terusikkan olehmu, Yaya. Hanya punya perasaan terhadapmu," ujar Yeung Myo. "Tiada lelaki lain yang mampu melakukan itu bagiku. Salahkah aku kalau punya perasaan sebegitu?"

"Yeung Myo," balas Aryaputra. "Aku hanya dagang senteri. Aku di Goryeo hanya buat sementara waktu. Aku menganggap kau seperti seorang adik. Seorang adik yang amat ku sayangi. Namun aku tidak mahu … kemungkinan hatimu terluka di hari muka."

"Kau punya buah hati di kampung halamanmu?"

"Aku mula merantau jauh ketika usiaku baru empat belas tahun. Belum cukup matang ketika itu untuk punya sebarang kekasih."

"Habis mengapakah kau begitu keberatan untuk menerimaku? Ummm, mungkin diriku ini tidak cukup baik, tidak cukup elok, untukmu."

"Tidak begitu, Yeung Myo. Kau seorang gadis yang ayu jelita. Tambah lagi seorang puteri. Sopan santun dan tinggi budi pekerti pula. Aku yakin begitu ramai jejaka yang mengidam untuk memilikimu."

"Kecuali kau, bukan? Bijaknya kau melebur hati wanita. Namun hatimu sendiri keras tak terbujukkan. Hai, entahlah Yaya. Mungkin Pencipta tidak sukakan diriku, hinggakan membuat hidup ini begitu sukar bagiku."

"Yeung Myo," Aryaputra bersuara selepas mereka berdua terdiam sejenak.

"Ada apa, Yaya?"

"Ada sesuatu di sini yang mengingatkanku kepada kampung halamanku."

"Apakah itu?"

"Wanitanya."

"Bagaimana pula begitu?"

"Mereka bebas bersuara, berpegang kepada pendapat dan pendirian sendiri, berusaha mencapai keinginan sendiri, berbanding dengan tempat-tempat lain yang pernah ku kunjungi."

"Aah, kau menyindir aku pula. Maklumlah, diriku ini seperti perigi menagih timba, kan?"

"Tidak, Yeung Myo. Aku berkata sesuatu yang memang sudah lama ku perhatikan."

"Umm. Mungkin kerana antara kedua negeri kita, masing-masing mempunyai ramai penduduk yang berasal dari tempat lain yang jauh. Itulah lazimnya negeri berdagang. Golongan saudagar, pedagang dan perantau menokok tambah budaya tempatan dengan budaya asal negeri mereka, yang mereka bawa bersama mereka. Membuat rakyat asal negeri menjadi berfikiran lebih terbuka."

"Barangkali betul juga seperti katamu."

§
"Nenekku sering bercerita, tentang neneknya, seorang ratu negeriku bernama Kembang Seri Wangi. Betapa dia seorang pemanah begitu hebat, hingga mendapat keyakinan bapanya sendiri, seorang panglima bernama Adhi Vira, untuk memimpin pasukan pemanah yang ditugaskan membuat serangan mengejut yang pertama ke atas pihak musuh yang berkubu di Mahligai Dharmakusuma, mahligai warisan keluarga kami." Demikian Aryaputra memulakan cerita tentang zaman kecilnya kepada guru tempurnya, Panglima Byoung Han."

"Apa yang berlaku seterusnya?" panglima Goryeo itu mengusul."

"Pasukan pejuang Adhi Vira mencatat kejayaan cemerlang, menewaskan bala tentera musuh yang jauh lebih besar bilangannya, lalu merampas kembali Mahligai Dharmakusuma."

"Sebuah kisah amat menarik. Ya. Di tangan seorang pemanah yang ampuh, panah adalah senjata amat perkasa bagi pasukan pejuang adiwangsa dalam menentang bala tentera penakluk yang biasanya lebih besar dan gagah."

"Mengapa begitu?"

"Kerana ia ringan dan ringkas. Agak mudah diperbuat dan dibawa ke sana sini. Selesa diguna sungguhpun dalam keadaan yang rumit dan mencabar, seperti di waktu malam, di musim hujan, atau di rimba belantara misalnya. Boleh pula memusnah musuh yang ramai dan gagah dari jarak yang jauh tanpa perlu berdepan dengan mereka."

"Bagus tu."

"Sepasukan pahlawan pemanah yang cukup handal mampu menewaskan bala tentera musuh yang lengkap bersenjata dan berjumlah hingga lima kali ganda lebih ramai daripadanya. Hanya, menguasai panah sebagai senjata utama akan memerlukan usaha amat gigih, serta mengambil masa yang agak lama."

"Hamba dengar, pemanah Goryeo juga antara pemanah terhandal di kalangan segala pahlawan di Rantau Utara."

"Daripada manakah kamu dengar itu?"

"Daripada seorang sahabat. Dia orang Goryeo. Bum Keun namanya."

"Saudagar yang membawamu ke Goryeo itu?"

"Ya. Sudikah Guru mengajar hamba ilmu memanah, agar hamba mampu menjadi seorang pemanah hebat, sehebat Kembang Seri Wangi? Kerana hamba tidak berkesempatan untuk belajar daripada keluarga sendiri."

"Aku boleh mengajarmu. Namun, sama ada kamu berjaya atau tidak menjadi seorang pemanah berwibawa, akan lebih banyak bergantung kepada kesungguhan dan iltizammu sendiri."

§
Manusia hanya merancang. Namun ketentuan pencipta tiada sesiapapun yang mampu menduga. Ajal maut, jodoh pertemuan, hanya Dia yang menentukan. Dua tahun kemudian, hasrat hati Yeung Myo tercapai jua. Jodohnya dipertemukan dengan Aryaputra, dan mereka disatukan mengikut adat dan budaya orang Goryeo, dalam upacara perkahwinan gilang-gemilang yang lengkap mengikut adat istiadat kerabat raja Goryeo. Manakala upacara purba disempurnakan di biara Bulguksa, di lereng bukit Tohamsan, di Gyeong Ju. Setahun selepasnya, Yeung Myo melahirkan seorang puteri, diberi nama Nirmala Ratna sebagai memperingati ibu Aryaputra.

Masa berlalu begitu cepat. Lapan tahun terasa seakan hanya lapan bulan. Suatu hari ...

"Jae Sung," Raja Seon Jeong merenung Panglima Agung Goryeo.

"Ampun, Tuanku. Ada apa gerangan perkara, Tuanku?" balas panglima itu.

"Beta baru menerima watikah utusan daripada sahabat Beta, Sri Harivarman, raja negeri Champa Negara." ujar Raja Seonjeong. "Negeri baginda menerima serangan hebat oleh bala tentera Kemboja Negara. Pejuang-pejuang Khmer kini sedang sengit mengasak kota Vijaya di wilayah utara Champa Negara. Baginda memohon bantuan daripada Goryeo."

"Tuanku berhasrat mempertimbangkan permohonannya itu?"

"Beta rasa … seharusnya begitulah. Champa Negara sebuah negeri sahabat bagi Goryeo. Di samping itu juga … ia rakan dagangan yang penting bagi Goryeo. Selain itu, bala tentera Champa Negara sentiasa memberi perlindungan kepada kapal-kapal dagang Goryeo daripada ancaman lanun ketika berada di perairan negeri mereka. Para saudagar dan pedagang Goryeo juga selalu menerima layanan yang baik setiap kali mereka singgah di Champa Negara untuk berurusan di sana. Apa pendapatmu, Panglima?"

"Patik bersetuju dengan pandangan Tuanku. Goryeo harus memberi bantuan setakat yang termampu kepada Champa Negara. Mereka sahabat kita. Juga antara rakan dagang utama kita."

"Kalau begitu … pada fikiranmu … siapakah orang yang paling sesuai untuk memimpin angkatan bantuan dari Goryeo?"

"Ampun, Tuanku. Tugas ini sebaiknya diberikan kepada seorang panglima yang handal bertempur baik di laut mahupun di darat. Firasat hamba … juga mengambil kira kedudukan negeri Champa Negara … orang yang paling sesuai untuk tujuan ini adalah … Panglima Aryaputra. Kerana dia orang Langkasuka. Sementelah pula … dia berasal dari Kelantan Amdan Negara. Di antara negeri-negeri dalam Persekutuan Langkasuka dan Champa Negara mempunyai hubungan yang baik. Terutama sekali di antara Kelantan Amdan Negara dan Champa Negara, di antara keduanya mempunyai pertalian saudara yang amat rapat."

"Beta juga merasakan ini kesempatan yang baik untuk memberi pengalaman berperang dan memimpin rombongan kepada putera bongsu Beta … Rae Shim. Apa penilaianmu?"

"Patik rasa itu suatu buah fikiran yang baik. Putera Rae Shim memang seorang pahlawan berbakat. Dia juga menujukkan kepimpinan yang kemas ketika mengepalai rombongan dagang Goryeo ke kota Dazaifu, di Pulau Kyushu, untuk memberi kunjung hormat kepada Shogun di Dazaifu sebagai wakil kerajaan Goryeo."

"Ya. Beta masih ingat itu. Pembawaan Rae Shim mendapat puji-pujian yang memberangsangkan daripada pihak Shogun di Dazaifu."

"Hamba percaya Rae Shim memang punya ketokohan untuk pergi jauh sebagai seorang panglima. Justeru harus diberi pendedahan sebanyak mungkin terhadap suasana tempur yang sebenar di medan perang. Kebetulan pula dia juga rakan latih tempur Aryaputra yang paling rapat semasa berguru seni tempur di perguruan Hwarang. Di antara begitu ramai para pahlawan pelatih di sana … hanya Rae Shim sahaja satu-satunya pahlawan pelatih yang mampu menandingi kehandalan Aryaputra dalam pelbagai jenis seni tempur dan main senjata, serta kepintaran Aryaputra dalam mengatur rancang cara perang."

§
Beberapa tahun kemudian ...
Aryaputra mendapat perutusan daripada datuknya Panglima Ozalan, panglima agung Amdan Negara, yang memberi khabar tentang kemungkinan hampir pasti akan berlaku perang besar menentang bala tentera penjajah di bumi Langkasuka dalam sedikit masa. Bapanya Panglima Sanjaya dikatakan sudah mula mengumpul dan melatih Angkatan Utara, di sebuah tempat yang tidak dapat dipastikan, ke arah utara dari Kedah Negara.

Perisik-perisik Ozalan di seberang pula melaporkan kepadanya khabar angin tentang ketegangan yang semakin hari semakin memburuk di antara kerajaan Palembang, teraju Persekutuan Agung Srivijaya, dengan kerajaan Jambi yang masih menjadi salah sebuah negeri naungannya. Mungkinkah juga bakal berlaku peperangan di Pulau Sumatra? Maka Aryaputrapun berbuat persiapan untuk kembali ke tanah air yang kini sudah berbelas tahun ditinggalkannya.

Suatu hari, Raja Seon Jeong sedang berbicara tentang perkembangan semasa dengan Panglima Jae Sung.

"Ayahanda," terdengar suara seorang wanita dari arah pintu, membuat Raja Seon Jeong berpaling.

"Yeung Myo! Jemput masuk, Anakanda. Kami sedang berbicara sesuatu yang mungkin Anakanda boleh menyumbang sedikit akal kepadanya."

"Oh? Apakah agaknya tajuk perkara, Ayahanda?"

"Persekutuan Langkasuka, Anakanda," jawab Seon Jeong. "Seperti permintaan Aryaputra sebelum kepulangannya ke tanah airnya, kami sedang mempertimbang kemungkinan menghantar angkatan bantuan kepada kerajaan itu. Ia sedang membuat persediaan untuk berperang dengan bala tentera Chola Mandalam yang sudah menjajahnya sekian lama."

"Terima kasih, Ayahanda," Yeung Myo meneruskan. "Pendapat Anakanda, kalau suatu masa dulu Goryeo boleh memutuskan dengan segera untuk menghantar bantuan kepada Champa Negara, maka bantuan serupa harus dipertimbangkan untuk Persekutuan Langkasuka. Kerana ia juga boleh menjadi kerajaan sahabat yang penting untuk Goryeo. Ia juga adalah kerajaan berdagang seperti Champa Negara. Kedudukannya pula lebih dekat dengan Benua Hindi dan Rantau Barat."

"Jadi siapakah yang Anakanda rasa paling sesuai untuk memimpin angkatan kita ke sana, kiranya kita bersetuju untuk memberikan bantuan itu?" Seon Jeong menguji puterinya.

"Siapa lagi selain Rae Shim?" Yeung Myo menjawab segera. "Dia punya pengalaman paling sesuai sebagai timbalan Aryaputra semasa berperang di Champa Negara. Dan Anakanda menawar diri untuk membantu Rae Shim."

"Anakanda punya sebab tertentu?" Seon Jeong menduga pula, sungguhpun dia maklum sangat tentang kasih yang amat mendalam di hati Yeung Myo terhadap Aryaputra.

"Kita harus membalas budi bakti Aryaputra kepada Goryeo selama dia berada di sini. Entah berapa kali dia menyabung nyawa demi kepentingan Goryeo, memimpin pahlawan Goryeo untuk membantai gerombolan lanun asing di perairan semenanjung kita. Kini dia inginkan bantuan kita demi membela tanah airnya sendiri, maka kita orang Goryeo sebagai bangsa yang budiman harus mempertimbang permintaannya."

"Anakanda merindui Aryaputra?" kali ini Seon Jeong memerangkap puterinya dengan soalan akhir yang jitu maka sukar hendak ditepis.

"Ayahanda sendiri tahu jawapannya," di wajah Yeung Myo sedikitpun tidak terbayang resah yang terasa jauh di lubuk hatinya. "Tetapi itu bukan soal utama dalam pertimbangan kita terhadap perkara ini."

"Baiklah, kalau begitu," Seon Jeong bersuara selepas terdiam sejenak. "Jae Sung, panggil Rae Shim ke mari untuk berjumpa denganku."

No comments:

Post a Comment