Monday, March 19, 2012

Bab 1: Bari Zannanza

Rantau Barat, 1325 sebelum Masihi.
Firaun Tut-ankh-amun, raja baru negeri Mesir yang masih muda remaja, semakin hari semakin tenat geringnya. Permaisurinya, Ratu Ankhe-sen-amun, diburu resah siang dan malam, bukan sahaja kerana keuzuran suaminya, tetapi juga kerana teramat bimbang akan muslihat jahat Wazir Ay yang jelas terlalu besar dan rakus cita-citanya. Tidak begitu disenanginya juga Panglima Agung Hor-em-heb yang, sungguhpun dianggap ramai sebagai taat setia selama ini, tidak mustahil mempunyai angan-angannya sendiri.

Tut-ankh-amun akhirnya mangkat sebelum mencecah lapan belas tahun usia. Terkial-kial Ankhe-sen-amun memeras otak mencari penyelesaian sesuai yang mampu menangkis perancangan Ay sekaligus mengekang hasrat gelojohnya. Kalaulah ibunya Nefertiti masih ada, pasti dia boleh memberi bantuan. Akhirnya dia meminta nasihat Nezem-mut, ibu saudaranya yang masih bujang sungguhpun sudah meningkat usia, wanita yang bersifat lembut sederhana namun cukup bijaksana orangnya.

Atas cadangan Nezem-mut, Ankhe-sen-amun mengutus watikah kepada Suppiluliuma, raja negeri Hattusa, sebuah kerajaan gagah di bumi Antalya yang setara dengan Mesir ketika itu, wilayah kekuasaannya meliputi hampir seluruh bumi Antalya. Ankhe-sen-amun memohon kepada Suppiluliuma supaya menghantar salah seorang puteranya ke Mesir untuk mengahwini Ankhe-sen-amun, seterusnya menjadi firaun yang baru.

Paling utama, pada perkiraan Nezem-mut serta Ankhe-sen-amun sendiri, ikatan perkahwinan dengan kerabat raja negeri Hattusa pasti menamatkan permusuhan tak kunjung padam di antara Mesir dan Hattusa. Ia juga mampu menjulang iktisad negeri Mesir sekaligus kekuatan bala tenteranya, memandangkan orang Hattusa memiliki di kalangan mereka golongan pandai besi serta pandai senjata paling hebat di Rantau Barat, fikirnya. Sementara di hari mendatang pula, apabila orang Mesir sendiri sudah memperoleh ilmu besi ke tahap secukupnya, Mesir juga boleh membeli bijih besi yang dilombong oleh orang Hattusa di kawasan pesisir Laut Hitam.

Suami Kita Tut-ankh-amun, firaun Mesir serta seluruh wilayah naungannya, sudah mangkat, dan diri Kita tidak punya sebarang putera. Kita dengar orang berkata, Tuan punya ramai putera. Apakah sudi kiranya Tuan menghantar kepada Kita seorang putera Tuan, untuk menjadi suami Kita? Tidak Kita ingin dikahwin paksa oleh sebarang pembesar Kita, mereka orang bawahan Kita. Kita takut ...

Demikian antara intipati kandungan watikah Ankhe-sen-amun kepada Suppiluliuma.

§
Tidak pernah terjadi dalam sejarah Mesir bahawa barang siapapun dari selain daripada negeri Mesir mengahwini seorang ratu Mesir. Ia sesuatu yang luar biasa, kerana ia akan melayakkan orang itu ditabal menjadi firaun Mesir.

Maka Suppiluliuma tidak begitu berminat dengan cadangan itu, sungguhpun dia tidak habis-habis dipujuk dan dirayu oleh isterinya, Ratu Henti, asalnya seorang puteri negeri Mitanni, yang kaum kerabatnya sendiri di Mitanni bersahabat baik dengan kerabat diraja Mesir. Memang ada mungkinnya ia menjadi suatu wadah yang boleh mempertingkat lagi kuasa dan pengaruh Hattusa di Rantau Barat, namun Suppiluliuma khuatir kalau-kalau ia merupakan suatu helah licik kalangan pembesar Mesir.

Tambah lagi, Suppiluliuma tidak punya sesiapa yang diyakininya cukup berwibawa untuk menggalas tugas mencabar mengiringi Zannanza, putera bongsunya yang masih muda belia, merentas laluan perjalanan yang jauh serta sering kali berkeliaran dengan bajingan, penyamun dan perompak yang liar ganas. Arnuanda, putera sulung Suppiluliuma, telah dilantik menjadi raja muda dan bakal pengganti Suppiluliuma sebagai raja agung di kota Hattusa, teraju seluruh persekutuan.

Telipinu, putera kedua pula, sudah ditabal menjadi ketua upacara di kota Kizzuwatna merangkap raja bawahan di kota Halab. Manakala Piyassili, putera ketiga, kini menjadi raja bawahan di kota Karkamis yang baru sahaja diserang dan ditakluki, memakai gelaran Sarri-Kushuh. Sementara Zida, Panglima Agung Hattusa sekaligus adik Suppiluliuma sendiri, kini berada di perbatasan, berjuang menundukkan pemberontakan di Armenia.

Begitupun, Suppiluliuma mengutus seorang pembesarnya, Hattusa-Ziti, selaku Menteri Utusan ke Mesir untuk mengesahkan jujur tidaknya permintaan Ankhe-sen-amun. Bimbang bukan sedikit Suppiluliuma akan ancaman terhadap puteranya daripada sebarang pihak di Mesir yang mungkin mengidami takhta firaun.

Hattusa-Ziti kembali ke kota Hattusa membawa khabar menguja, terutamanya bagi Ratu Henti. Permaisuri itu begitu ghairah dengan harapan bahawa suatu hari nanti Mesir bakal bergabung dengan Hattusa menjadi sebuah persekutuan agung yang gagah perkasa tiada tandingnya di Rantau Barat, atau lebih baik daripada itu lagi, menjadi negeri bawahan Hattusa, sebaik sahaja puteranya Zannanza ditabal menjadi firaun Mesir yang baru.

Ankhe-sen-amun pula mengutus pembesarnya, Hani, mengiringi Hattusa-Ziti sebagai utusan balas kepada Suppiluliuma. Watikah susulan daripada Ankhe-sen-amun yang dibawa oleh Hani mengandungi herdik yang jelas lagi pedas terhadap Suppiluliuma.

Mengapakah Tuan berkata 'mereka membohongiku' dengan cara sebegitu sekali? Andainya Kita punya seorang putera, mungkinkah kita menulis tentang keaiban diri dan negeri Kita kepada sebuah negeri asing? Tuan tidak mempercayai Kita, dan tuan menuturkan ragu tuan sebegitu kasar tanpa berlapik walau sedikitpun dengan Kita! Dia yang menjadi suami Kita kini telah mangkat. Kita tidak punya sebarang putera! Tiada Kita menulis kepada sebarang negeri lain. Hanya kepada Tuan Kita menulis. Mereka berkata Tuan punya ramai putera; lalu berikanlah seorang putera Tuan kepada Kita. Bagi Kita dia akan menjadi seorang suami. Bagi Mesir dia akan menjadi seorang raja!

Suppiluliuma anginnya belum cukup baik untuk menerima herdik Ankhe-sen-amun dengan begitu terbuka. Serangan Mesir ke atas kota Kadesh, di wilayah bawahan Hattusa di utara Syria masih membuatnya berang. Sungguhpun Suppiluliuma telah mengambil tindakan balas dengan menyerang dan menakluki kota Karkamis, manakala dua panglimanya Lupakki dan Teshub-Zalma dititah menyerang dan menghancurkan wilayah Amqa, marahnya masih terasa membuak.

Lalu Suppiluliuma pula meluahkan geramnya sedemikian dengan jelas sekali dalam watikah balasnya. Tidakkah dia punya sebab yang cukup kukuh untuk meragui hasrat Mesir? Tidakkah bala tentera Mesir baru sahaja menyerang tanpa bersebab sebuah kota utama di wilayah naungannya, maka melanggari syarat janji damai sebelumnya? Mengapakah dia harus masih mempercayai Mesir kini?

Kita sendiri tidak bermusuh dengan Mesir. Tetapi Mesir yang dengan tidak semena-mena berlaku buruk dengan Kita. Mesir menyerang Kadesh wilayah milik Kita. Dan apabila Kita dengari tentang itu, Kita hantar laskar, pedati perang dan para panglima Kita. Lalu mereka menyerang bumi milik Mesir, iaitu wilayah Amqa. Dan apabila mereka menjarah Amqa, kemungkinan besar Mesir merasa gentar. Lalu Puan kini terus merayu meminta daripada Kita seorang putera, seolah-olah  ia suatu tugas Kita. Dia akan entah bagaimana menjadi seorang tebusan. Mesir tidak mungkin menabalnya menjadi seorang raja!

Jawapan Suppiluliuma membuat kelihatan semakin pudar harapan Mesir untuk mencapai perdamaian melalui sebuah perkahwinan. Hingga akhirnya Hani yang begitu berpengalaman orangnya menyumbang bijaksananya.

Wahai Tuan! Inilah keaiban negeri kami! Kiranya kami punya seorang putera raja sama sekali, mungkinkah kami datang ke sebuah negeri asing dan merayu meminta seorang tuan untuk diri kami sendiri? Nibhururia, tuan kami, sudah mangkat. Dia tidak punya sebarang putera. Balunya kini sendirian. Kami memohon seorang putera Tuan untuk menjadi raja Mesir. Dan untuk ratu kami, kami ingin putera itu menjadi suaminya! Tambah lagi, tiada jua kami pergi ke sebarang negeri lain. Hanya ke sini kami datang. Sekarang, wahai Tuan, berikanlah kami seorang putera Tuan.   

§
Rombongan yang mengiringi Putera Zannanza ke Mesir untuk mengahwini Ratu Balu Ankhe-sen-amun, digelar juga oleh orang Hattusa Dakhamunzu yang bermaksud Isteri Raja, iaitu balu kepada Firaun Tut-ankh-amun, mengharungi pelbagai pancaroba dalam perjalanan mereka. Zannanza sendiri yang masih muda belia fikirannya sering berkecamuk memikirkan kehidupan masa mendatang yang bakal dilaluinya.

Mungkinkah orang Mesir, terutamanya kerabat istana serta golongan atasan mereka, akan menerimanya seikhlas hati sebagai raja mereka yang baru? Atau mungkinkah akan berlaku bermacam sandiwara serta tipu muslihat di belakang tabir, oleh pihak-pihak yang menentang kehadirannya,  untuk menjatuhkannya? Paling dibimbanginya adalah Wazir Ay dan Panglima Agung Hor-em-heb, dua orang yang didengarinya menjadi kuasa di belakang takhta di Mesir sudah sekian lama.

Zannanza juga mendapat maklum bahawa Firaun Tut-ankh-amun yang baru mangkat itu hampir sebaya usia dengannya, manakala permaisurinya pula yang kini seorang ratu balu hampir sepuluh tahun lebih tua daripadanya. Mungkinkah perkahwinan yang kini diatur untuk mereka berdua bakal membawa bahagia? Apapun, dirinya seorang putera raja, maka tuntutan siasah dan kepentingan negeri mengatasi sebarang perkara peribadi. Lalu Zannanza sedar dia tiada pilihan lain selain menurut sahaja perintah bapanya.

Rombongan Zannanza diserang hendap di pertengahan perjalanan mereka, oleh segerombolan penyerang berpakaian serba hitam, di wilayah selatan negeri Syria. Kawasan yang ketika itu kebanyakannya menjadi wilayah naungan Mesir.
Ada yang menjangka semua itu angkara durjana Wazir Ay yang ingin mengahwini Ankhe-sen-amun secara paksa lalu melayakkannya, mengikut adat Mesir, ditabal menjadi firaun yang baru. Itulah peristiwa hitam yang telah begitu mengeruhkan hubungan baik antara kerajaan Hattusa dan kerajaan Mesir ketika itu.

Sejurus sebelum rombongannya diserang hendap, Zannanza yang masih muda belia kala itu sedang bergurau seloroh dengan Huzziya, seorang sahabat baik yang juga turut mengiringinya. Di antara mereka berkejar-kejar, bergurau bergomol, juga saling bertukar-tukar pakaian dan peranan dalam berolok-olok selama beberapa ketika, sambil bergelak ketawa. Maklum sahajalah, orang muda mudah bosan semasa perjalanan yang jauh dan lama.

"Apa kata kalau kita hentikan perjalanan ini seketika?" cadang Huzziya. "Kita masuk hutan, kita berburu barang sehari kedua. Sekadar mempersegar angin. Sudah lama aku tidak menjamu Runda, Sang Dewa Pemburu."

"Umm," Zannanza berpaling kepada Panglima Kikuli, ketua pasukan pengiring yang mengiringinya. "Bagaimana, Panglima? Apa katamu?"

Hendak diikutkan rasa, memang dirinya juga teringin hendak berhenti seketika, fikir Kikuli. Namun tugas yang ditanggungnya belum tertunai, apatah lagi ia melibatkan perkara penting bagi dua kerajaan besar.

"Maaf, Tuan Putera," Kikuli akhirnya bersuara. "Hamba juga seperti Tuan berdua. Inginnya hendak bersantai dan beriadah seketika. Tapi kita semua memikul amanah raja. Hamba rasa, pekerjaan kita ini harus kita segerakan. Tidak wajar kalau ia ditangguh-tangguhkan."

Sejurus kemudian, Zannanza menghilang diri ke anak sungai untuk mandi dan berehat seketika. Semasa dia di sana, segerombolan pembunuh upahan muncul menyerang dan membunuh kejam Huzziya yang sedang terlena, menyangka bahawa pemuda yang ketika itu berpakaian seperti seorang putera itu adalah Zannanza, serta beberapa orang pengiring lain.

Setiap putera raja Hattusa lazimnya mendapat didikan keras lasak sejak kecil lagi dalam seni tempur dan ilmu perang. Mereka diasuh supaya mampu memimpin bala tentera sebagai panglima apabila dewasa. Namun Zannanza tidak begitu, dia diberi sedikit kelonggaran kerana dia putera bongsu yang punya ramai abang. Maka serangan tidak terduga ke atas rombongannya terasa seperti suatu kejutan besar kepadanya.

Zannanza dilindungi oleh beberapa orang panglima yang mengiringinya, tetapi mereka tidak dapat memberi tentangan sebaiknya kerana musuh terlalu ramai dan terlalu lengkap bersenjata. Zannanza diruntun sedih dan kecewa. Para panglimanya pula malu dan bimbang hendak pulang menghadap Singa Hattusa, iaitu raja mereka yang gedeber serta bengis bengkeng orangnya itu. Mereka terasakan seolah-olah diri mereka telah gagal menyempurnakan tugas yang dititahkan oleh Suppiluliuma.

"Tuan Putera, tekadkah Tuan dengan rancangan Tuan ini?" Panglima Kikuli menagih sedikit kepastian.

"Tiada ragunya lagi bagiku, Kikuli," nada suara Zannanza kini tenang namun tegas. "Wazir Ay dan Panglima Hor-em-heb mesti menanggung padahnya kerana kematian Huzziya yang tidak bersalah. Aku yakin mereka berdua yang punya angkara dalam hal ini. Kalau bapaku dan abang-abangku tahu aku terselamat, mungkin mereka tidak mengambil sebarang tindakan balas, demi menjaga hubungan siasah di antara Hattusa dan Mesir. Biarlah mereka menyangka aku terkorban, agar dengan itu mereka menyerang Mesir dan menghancurkan Ay dan Hor-em-heb."

Lalu mereka semua terus merantau mengembara jauh bersama Zannanza, begitu jauh hingga sampai ke kawasan utara Pergunungan Kavkaz, iaitu wilayah asal yang didiami oleh nenek moyang orang Khetta itu sendiri beberapa abad di zaman silam, sebelum penghijrahan mereka dari sana ke bumi Antalya.

§
Semua yang lain, di pihak Mesir mahupun Hattusa, menyangka bahawa Zannanza terkorban di perbatasan. Maka Zannanza sendiri berserta sekalian anggota rombongannya membiarkan keadaan begitu berterusan.

Suppiluliuma yang begitu murka serta merta mengisytihar perang terhadap Mesir. Wazir Ay segera mengahwini Ankhe-sen-amun dan memerintah Ketua Upacara menabalnya menjadi firaun yang baru, demi mencegah sebarang huru-hara di Mesir daripada merebak. Seterusnya, Firaun Ay mengutus surat kepada Suppiluliuma buat membela diri dan membersih nama daripada dikaitkan dengan pembunuhan Zannanza.

Namun Suppiluliuma murkanya terus membuak-buak, tidak terbendungkan lagi. Maka diutus oleh Firaun Ay watikah kedua untuk meredakan kemurkaan Suppiluliuma. Tuduhan Tuan tidak berasas. Tuan hanya mencari sebab hendak berperang dengan Mesir. Namun Kita ingin mencipta perdamaian dan persaudaraan dengan Tuan. Berhubung kematian putera Tuan, Kita sedikitpun tidak terlibat.

Suppiluliuma langsung tidak terbujuk. Bala tentera Hattusa yang dikepalai oleh Arnuanda, putera mahkotanya sendiri, mara hingga ke wilayah kekuasaan Mesir di selatan Syria mengikuti laluan darat dan juga laut, menyeberang masuk ke dalam negeri Mesir sendiri, lalu menyerang setiap kota di sekitar kawasan sempadan. Ribuan tawanan perang Mesir kemudiannya dibawa balik sebagai abdi ke kota Hattusa.

§
Mulanya, sangka Zannanza dan pengikut-pengikutnya bahawa mereka akan berada di Pergunungan Kavkaz hanya barang setahun dua. Sekadar menunggu hingga keadaan yang bergolak menjadi reda. Namun suasana alam yang aman damai, berserta sikap penduduk tempatan yang ramah mesra, membuat mereka kagum terpesona. Zannanza kemudiannya bertemu jodoh dengan anak gadis seorang panglima di wilayah yang disinggahinya lalu berkahwin dengannya.

Akhirnya rakyat di sana mendapat tahu bahawa Zannanza punya zuriat raja negeri Hattusa, lalu mereka yang masih tidak punya raja ketika itu meminta Zannanza menjadi raja mereka. Zannanza pula, dahulunya seorang putera remaja yang berjiwa lembut sopan dan sederhana, beransur berubah perwatakan menjadi seorang raja pahlawan yang gagah perkasa, mewarisi hebat gedeber Singa Hattusa.

Sebelas tahun kemudian, negeri Hattusa yang kini dirajai oleh Mursili, adik Zannanza, diserang oleh bala tentera negeri Arzawa, pimpinan Raja Egalpap. Tanpa memaklumkan siapakah dirinya yang sebenarnya, Zannanza yang mendapat berita tentangnya menghantar sepasukan bala tentera bantuan kepada Mursili.

Tiga bulan kemudian, negeri Hattusa diserang lagi, kali ini oleh bala tentera Mesir yang kini dirajai oleh Hor-em-heb, mantan panglima agungnya yang kini sudah naik takhta menjadi firaun yang baru, menggantikan Firaun Ay. Kali ini, Zannanza sendiri yang mengetuai pasukan bala tentera bantuan ke medan perang, membantu Mursili menangkis serangan musuh lama mereka berdua.

Di waktu-waktu terkemudian, cucu cicit Raja Zannanza dan para pengikutnya, yang sememangnya mewarisi jiwa kembara nenek moyang mereka, menyebar lebih jauh dari Pergunungan Kavkaz, berkembang biak ke pelbagai hala, hingga ke seluruh pelosok di sekitar Laut Hitam, Laut Kaspian dan Laut Aral. Sekumpulan daripada mereka akhirnya sampai ke Tasik Issyk-Kul di Pergunungan Tien Shan yang berhampiran dengan Pergunungan Altay, tempat mereka bertemu dan bersahabat dengan orang-orang Huna, Monggol dan Tatar yang sudah lama mendiami Pergunungan Altay.

No comments:

Post a Comment