§
Tentera gabungan Palembang-Chola Mandalam terdiri daripada sembilan ribu lima ratus orang pahlawan Tamil dari Chola Mandalam; sembilan ribu lima ratus orang pahlawan pelbagai suku bangsa dari Palembang, Jambi dan wilayah berhampiran di Pulau Sumatra; segerombolan pahlawan perantau Jawa dari Kediri, Jenggala, Kahuripan dan Mataram sejumlah seribu lima ratus pejuang; serta pelbagai gerombolan pahlawan perantau Bhama dari Pagan, pahlawan perantau Mon dari Thaton, serta pahlawan perantau Khmer dan Siam dari Angkor Kemboja. Menjadikan semuanya kira-kira dua puluh empat ribu orang pahlawan ramainya.
Perjalanan bala tentera gabungan Palembang-Chola Mandalam yang bergerak dari Gunung Jerai menuju ke kota Patani melalui jalan hutan agak sukar dan perlahan. Sebahagian daripadanya berpunca daripada kedegilan Putera Aditya untuk membawa sebanyak mungkin gajah perang kepunyaan tentera Chola Mandalam. Gajah-gajah itu sering berhenti bila keletihan. Itu kerap berlaku bila laluan yang diikuti lebih banyak mendaki bukit. Kadang-kadang pula gajah-gajah itu langsung tidak mahu bergerak jika anginnya tidak baik.
Tabiat Aditya dan panglima-panglima Chola Mandalam lain yang gemar membawa ramai dayang-dayang dan gadis-gadis penghibur bersama rombongan mereka juga membuat anggota bala tentera yang lain merasa gedik. Lebih-lebih lagi memandangkan mereka sendiri pula tidak di sediakan sebarang wanita untuk meredakan kebosanan mereka.
Bala tentera penjajah juga suka membawa bekalan makanan yang banyak semasa dalam perjalanan. Maka mereka sering menjadi mangsa serang hendap gerombolan angkatan pembela dari semasa ke semasa, yang membunuh anggota bala tenteraa penjajah itu dan merampas bekalan makanan mereka.
Manakala bala tentera pembela pula tidak langsung membawa sebarang benda yang membebankan mereka dan membantut pergerakan mereka. Mereka sudah biasa hidup dengan memakan ubi, sagu, pisang dan pelbagai kekacang serta buah-buahan hutan, serta apa sahaja daging haiwan hutan yang mereka buru. Buah jering pun mereka rebus dan makan bila kehabisan makanan lain. Sedap pula rasanya dan cukup memberi tenaga. Di samping apa-apa bahan makanan yang mereka rampas sekali sekala daripada pihak musuh semasa serangan hendap.
Di setiap kampung yang mereka lalui pula, penduduk kampung sering kali memberi sumbangan beras dan sayur-sayuran, malah haiwan ternak seperti ayam itik dan kambing lembu untuk dimakan dagingnya, kepada mereka dengan sepenuh rela hati.
Angkatan penjajah singgah untuk berehat di Setul beberapa hari. Ia tiba di Jala kira-kira seminggu kemudian. Sesampainya di situ, sesetengah daripada para panglima Aditya mengsyorkan supaya perjalanan diteruskan segera lebih jauh lagi masuk ke dalam wilayah Patani. Agar pihak Palembang-Chola Mandalam dapat memerangkap bala tentera pembela pimpinan Aryaputra yang sedang dalam perjalanan sebelum pihak itu dapat bersiap sedia sepenuhnya.
Maharaja Dharma Vira serta para panglima Palembang pula berpendapat bahawa lebih baik mereka berkampung di Jala seketika dan memperkemas serta memperkukuh kedudukan mereka terlebih dahulu. Akhirnya, Putera Aditya dan Maharaja Dharma Vira bersetuju dengan saranan pasukan Palembang.
Tentera gabungan Palembang-Chola Mandalam tidak dapat langsung meneka dengan tepat kedudukan dan pergerakan Aryaputra serta bala tentera pembela pimpinannya. Sebaliknya, para perisik Aryaputra yang kini berkeliaran bebas di setiap ceruk dan pelosok di Kedah Negara serta Patani tanpa diketahui peranan mereka oleh pihak musuh menyampaikan berita kepada Aryaputra sebaik sahaja pihak Palembang-Chola Mandalam berhenti berkampung di Jala.
Pilihan Jala sebagai pangkalan perhentian oleh pihak Palembang-Chola Mandalam memang kena tepat dengan cita rasa dan rancang cara perang Aryaputra. Kota kecil itu dikelilingi oleh tanah sawah padi yang terhampar luas saujana mata memandang. Dipagari pula dengan banjaran bukit yang tersergam tinggi digandingi dengan belahan bukau yang terbuka luas. Memang elok untuk berperang cara serang dan lari. Lebih-lebih lagi bila menentang musuh yang besar bilangannya namun agak lembap gaya pergerakannya seperti kelaziman tentera-tentera Palembang dan Chola Mandalam.
Serang dan lari! Serang dan lari! Serang dan lari! Itulah kata-kata ringkas tetapi saktiyang kini sudah berbulan-bulan menjadi mentera perang di kalangan tentera pembela. Diulangi tanpa jemu oleh Panglima Agung Aryaputra, para panglimanya yang lain serta setiap anggota bala tentera Angkatan Pantai Timur. Itulah juga cara utama mereka berlatih perang setiap selang sehari selama ini. Namun mereka tetap juga berlatih tempur dengan gaya perang lain yang berbeza-beza.
Lalu mereka juga sentiasa diasuh dan dididik supaya sentiasa bersiap sedia untuk mengubah gaya berperang pada bila-bila masa. Kerana itulah cirri-ciri perang yang sebenarnya di alam nyata. Para panglima sekadar mencipta rancang cara mengikut andaian dan jangka mereka sendiri tentang suasana yang mereka fikir bakal terhasil di medan perang. Namun suasana sebenar tidak semestinya tepat seperti ramalan mereka. Maka setiap pahlawan harus sentiasa mengingati hakikat itu. Dan bertindak balas seperti sewajarnya.
Seperti kata para panglima zaman silam, musuh yang paling sukar ditentang adalah musuh yang mampu berubah gaya tempurnya pada bila-bila masa sebagaimana tertuntut oleh suasana.
Asalnya, semasa bertolak dari Bukit Panau di Amdan Negara, bala tentera Angkatan Pantai Timur berjumlah hanya dua belas ribu orang pahlawan. Namun sepanjang perjalanannya ke kota Patani, dua ribu lima ratus orang lagi pejuang dari seluruh Patani serta Tambralingga dan Kedah Negara meminta untuk menyertainya. Kini, menjelang perang besar yang bakal berlangsung di Jala beberapa hari lagi, tentera pembela bertambah dua ribu orang lagi.
Baru tiga bulan yang lalu dirian pokok padi yang sedang masak padinya menghasilkan pemandangan yang begitu gilang-gemilang. Ia kelihatan seperti hamparan permaidani emas yang melanjut jauh hingga ke ufuk. Sebulan selepas itu padinya habis dituai semuanya. Kini tanahnya kering, pejal dan kejap. Sesuai benar untuk larian kuda perang tentera pembela, fikir Aryaputra.
Putera Aditya dan Maharaja Dharma Vira yang tidak tahu menahu tentang rancang cara tentera pembela memutuskan supaya tentera gabungan Palembang-Chola Mandalam berpecah tiga. Satu pasukan berteraskan pasukan Chola Mandalam akan menggempur kota Patani. Manakala satu pasukan lagi yang bertonggakkan pasukan Palembang bakal menyerang Singgora.
Sementara satu pasukan lagi yang menggabungkan pasukan Chola Mandalam, pasukan Palembang dan gerombolan pahlawan perantau pelbagai bangsa diperintahkan supaya menggempur Tambralingga. Maka rancang cara Putera Aditya dan Maharaja Dharma Vira itu dijangka menghasilkan tiga pasukan yang setiap satunya berjumlah kira-kira lapan ribu orang.
§
"Berperang secara berdepan, itu bererti sekadar beradu kekuatan jasmani. Ia semestinya memberi kelebihan kapada pihak yang lebih gagah. Pihak yang memiliki bala tentera yang lebih besar. Berperang cara demikian bererti kita hanya mengikut rentak musuh. Kita harus belajar bertempur cara baru. Menyerang bila tidak dijangka dan secara tidak terduga."
"Di kota dan kawasan bersekitar bala tentera penjajah pasti unggul, kerana di situ mereka terhimpun dan tersusun. Namun jauh darinya kita yang punya kelebihan. Hutan rimba, bukit bukau dan gunung ganang menjadi benteng kita. Alur, gaung, sungai, teluk dan muara menjadi perangkap kita. Kita berundur serta bersembunyi bila musuh bersiap siaga. Kita memanfaatkan kekuatan yang ada pada diri sendiri. Di setiap ceruk dan pelosok kita harus ada gerombolan pejuang, biar mereka menghambur dan memusnah musuh yang terpisah daripada pasukan utama mereka setiap kali bertembung. Setiap gerakan kita hendaklah selesa dan terencana namun sukar terjangka, manakala musuh bercelaru dan terpinga-pinga. Itulah namanya perang halimunan."
"Di kota dan kawasan bersekitar bala tentera penjajah pasti unggul, kerana di situ mereka terhimpun dan tersusun. Namun jauh darinya kita yang punya kelebihan. Hutan rimba, bukit bukau dan gunung ganang menjadi benteng kita. Alur, gaung, sungai, teluk dan muara menjadi perangkap kita. Kita berundur serta bersembunyi bila musuh bersiap siaga. Kita memanfaatkan kekuatan yang ada pada diri sendiri. Di setiap ceruk dan pelosok kita harus ada gerombolan pejuang, biar mereka menghambur dan memusnah musuh yang terpisah daripada pasukan utama mereka setiap kali bertembung. Setiap gerakan kita hendaklah selesa dan terencana namun sukar terjangka, manakala musuh bercelaru dan terpinga-pinga. Itulah namanya perang halimunan."
"Hakikatnya, berperang itu adalah membunuh. Maka, jika kita ingin beroleh kemenangan dalam menentang bala tentera musuh yang jauh lebih besar bilangannya, apakah yang perlu kita lakukan?"
"Ia bererti membunuh seramai mungkin bilangan pejuang musuh sambil ..." seorang pahlawan muda cuba menjawab.
"Sambil apa?" Aryaputra mengusul selanjutnya.
"Sambil berusaha sebaik-baiknya untuk memastikan kehilangan nyawa di pihak sendiri ... dikurangkan ke tahap sekecil-kecilnya," pahlawan muda itu menyambung jawapannya.
"Betulkah begitu?" tanya Aryaputra, meminta pengesahan.
"Betul!!! Setuju!!! Sokong!!!" pahlawan-pahlawan beramai-ramai berteriak, menyokong jawapan sahabat mereka.
"Maka, ia bererti, anggota bala tentera kita mesti memahirkan diri dalam seni tempur, meningkatkan kehandalan bertempur, hingga setiap pahlawan kita secara pukul rata mampu membunuh lima orang, sepuluh orang, malah lima belas atau dua puluh orang pejuang musuh."
"Betul!!! Setuju!!! Sokong!!!"
"Maka, bolehkah kita melakukan itu jika masih berdegil, masih meta, masih gedeber, untuk sentiasa bertempur dan berperang secara berdepan? Tidak kira waktu, musim atau suasana?"
"Tidak!!! Sukar!!! Mustahil!!!"
"Sekali sekala mungkin kita masih boleh melakukan itu. Sebaik-baiknya apabila pihak kita sudah jelas beroleh kemenangan. Sebagai acara penyudah. Agar sebahagian pihak musuh dapat merasai secara langsung sengatan berbisa pihak kita. Namun, selain itu, dari saat ini, bagaimanakah kita harus bertempur dan berperang?"
Mereka saling menoleh di antara sesama sendiri. Masing-masing cuba menjangka jawapan yang betul.
"Serang dan lari! Memanah dan membunuh dari jauh! Sama ada berada di bumi atau menonggang kuda. Maka setiap pahlawan kita wajib handal dalam memanah dan menonggang kuda."
§
Mengikut persetujuan di antara Putera Aditya dan Maharaja Dharma Vira, pasukan ketiga itu dipimpin oleh dua orang panglima. Panglima Narendra, seorang panglima muda Chola Mandalam yang sedang meningkat naik dengan pesatnya dan dikatakan tidak pernah kalah bertempur di medan perang. Dan Panglima Julang Bumi, seorang pahlawan bengis bertubuh tinggi besar berotot sasa dari Palembang.
Putera Aditya dan Maharaja Dharma Vira menjangka Tambralingga kini agak lemah kerana tekanan tanpa henti oleh Suryavarman I maharaja Angkor Kemboja. Maka mereka khuatir kalau-kalau dalam suasana kegawatan Tambralingga diserang dan ditakluk oleh sama ada Maharaja Suryavarman ataupun bala tentera kerajaan Arimadhana pimpinan Raja Anawrahta di Pagan. Raja orang Bhama itupun kini semakin hari seperti semakin gagah bala tenteranya hingga membuat Suryavarman maharaja Angkor Kemboja agak cuak. Maka rancang cara Putera Aditya dan Maharaja Dharma Vira itu bakal menghasilkan tiga pasukan yang setiap satunya berjumlah kira-kira lapan ribu orang.
Pasukan ketiga pimpinan Panglima Narendara dan Panglima Julang Bumi bergerak paling awal sekali. Mereka diperintahkan supaya menawan Tambralingga secepat mungkin. Supaya dengan itu dapat memperteguh kedudukan Palembang-Chola Mandalam di perbatasan utara Langkasuka. Mereka memilih laluan yang memingggir kota Patani. Kerana mereka bercadang membantu pasukan Chola Mandalam pimpinan Putera Aditya menawan kota itu dalam perjalanan pulang dari Ligor. Lalu mereka berfikir cara itu akan membolehkan mereka membuat tinjauan awal ke atas kota itu dan kawasan bersekitarnya.
§
Setibanya Narendra dan Julang Bumi di pinggir kota Patani, ketumbukan mereka dipintas dan dihalang di kawasan berbukit bukau oleh segerombolan pahlawan pemanah berkuda bersenjata ringan seramai kira-kira dua ribu orang. Gerombolan itu menonggang mengelilingi mereka dari jauh lalu menyerang mereka bertubi-tubi dengan panahan busar silang, busar panjang dan busar gabung.
Untuk beberapa ketika pasukan Narendra dan Julang Bumi sekadar bertahan dan berlindung dengan perisai dan menyerang balas dengan lontaran lembing dan tombak serta layangan panah. Mereka tidak begitu bimbang memandangkan pihak yang menyerang mereka tidak begitu ramai. Sejurus kemudian pasukan berkuda Narendra dan Julang Bumi mula bergerak dan menyerang balas. Mereka menggempur dan merempuh musuh mereka yang kelihatan mula beterabur dan kucar-kacir.
Gerombolan pahlawan pemanah yang menyerang tadi kelihatan tidak begitu utuh susunannya dan mula berpecah serta berundur ke dua arah bertentangan. Namun mereka terus di asak oleh pasukan Narendra dan Julang Bumi yang berhasrat mengepung mereka. Namun gerombolan penyerang itu bergerak agak pantas dan dapat meloloskan diri. Lalu mereka menonggang laju menuju ke kawasan bukau di antara dua buah bukit. Mereka dikejar oleh pasukan Narendra dan Julang Bumi yang naik semangatnya membuak-buak. Yang juga percaya musuh mereka kini bakal terperangkap di kawasan bukau itu.
Sejurus selepas keseluruhan pasukan Narendra dan Julang Bumi habis memasuki kawasan bukau di antara dua lereng bukit, mereka di asak oleh sepasukan pahlawan berkuda yang muncul dengan tak semena-mena dari belakang mereka. Mereka lalu berpaling arah untuk menghadapi penyerang-penyerang mereka yang bertindak pantas dan tangkas, menggempur dan merempuh, membuat mereka berpecah-pecah berselerak bertaburan.
Belumpun sempat mereka dapat menyusun kembali kedudukan mereka, sepasukan pahlawan berkuda lain pula tiba-tiba muncul dari arah bukau yang bertentangan, iaitu arah yang ditujui mereka mula-mula tadi. Sekali lagi mereka terpaksa berpaling hala untuk menghadapi pasukan penyerang baru itu, manakala pasukan penyerang pertama lenyap menghilang diri. Lalu kedudukan mereka semakin bertambah kucar-kacir.
Demikianlah keadaannnya, kejadian serupa berulang lagi beberapa kali, maka beberapa kali lagi mereka terpaksa bertukar arah, setiap kali ia berlaku semakin porak peranda susunan mereka. Hingga ada di antara pejuang mereka yang, akibat geram serta putus asa, berpakat saling membunuh supaya tidak ditawan oleh musuh mereka, iaitu bala tentera pimpinan Aryaputra, yang kini seolah-olah mempermain-mainkan mereka sebagaimana kucing mempermainkan tikus yang tidak dapat lari lagi.
Akhir sekali, sebagai gerak penyudah oleh pasukan Aryaputra, mereka disembur bertubi-tubi dengan ribuan panah dari arah lereng bukit di kiri dan kanan mereka. Kali ini semuanya panah besar yang dibidik dari busar panjang. Panah perkasa yang menembusi walau topi logam dan baju perisai yang melindungi kepala dan tubuh mereka. Panahannya juga jauh lebih bertenaga daripada biasa kerana layangannya berhala menurun dari tempat yang tinggi. Rupa-rupanya mereka sendiri yang telah termakan umpan dan termasuk perangkap musuh mereka.
Detik demi detik keadaan pasukan Narendra dan Julang Bumi semakin genting. Hendak lari ke atas bukit adalah perkara mustahil kerana itu pergerakan sebegitu bererti menongkah arus layangan panah. Hendak tak hendak, mereka terpaksa terus bertahan di bawah, di kawasan bukau, di tengah-tengah hujan panah yang terus menerus turun melintang tanpa henti dari dua sisi di lereng bukit.
Tiba-tiba ... dalam mereka terus terkial-kial berjuang dalam kebingungan, dua gerombolan besar pahlawan bengis berkuda gergasi muncul dari arah hadapan dan belakang mereka. Lalu menyergap mereka dengan sepenuh kekuatannya. Kuda-kuda pasukan baru itu lebih dua kali ganda lebih besar daripada kuda-kuda serang curi yang ditonggang oleh pasukan penyerang di peringkat awal tadi. Keadaan semakin runcing. Orang-orang Narendra dan Julang Bumi semakin lama semakin ramai yang gugur ... tumbang ... tersungkur ... rebah bergelimpangan menyembah bumi.
Narendra dan Julang Bumi memerintahkan orang-orang mereka berpatah hala dan berundur keluar semula dari kawasan bukau. Tidak sampai beberapa beberapa langkah mereka bergerak, segerombolan tiga ribu orang pahlawan pejalan kaki pula muncul entah dari mana menghalang laluan keluar. Manakala di belakang gerombolan itu kelihatan satu lagi gerombolan besar dua ribu pahlawan bengis berkuda gergasi menunggu untuk membuat gempuran penyudah. Pasukan Narendra dan Julang Bumi kini terkepung sepenuhnyanya dari setiap hala. Dari depa, dari belakang serta dari kedua lereng bukit di sisi kiri dan kanan mereka.
Akhirnya, pasukan Narendara dan Julang Bumi dihancurkan sepenuhnya oleh Angkatan Pantai Timur. Julang Bumi sendiri terbelah dua kepalanya oleh Aryaputra dalam pertempuran satu lawan satu di tengah-tengah kesengitan perang. Manakala Narendra menemui ajalnya di tangan Anuyatha sahabat baik Aryaputra sejak zaman kecil di Gunung Jerai.
§
Angkatan Pantai Timur pimpinan Panglima Agung Aryaputra dan timbalannya Panglima Anuyatha menghalang pasukan Narendra dan Julang Bumi semasa melalui kawasan pinggir kota Patani. Mereka disokong pula oleh beberapa gerombolan pahlawan dari Tambralingga, Singgora dan Patani berjumlah dua ribu lima ratus orang.
Sungguhpun di antara pasukan pembela dan pasukan penjajah yang bertempur itu hampir sama ramai jumlah pejuangnya, pasukan penjajah yang terkepung di kawasan yang sempit begitu terbantut dan tidak dapat bergerak dengan selancar dan sebebas yang perlu. Dalam kegawatan itu, susunan mereka menjadi begitu kucar-kacir. Akhirnya, pasukan Narendara dan Julang Bumi dihancurkan sepenuhnya oleh Angkatan Pantai Timur. Julang Bumi sendiri terbelah dua kepalanya oleh Aryaputra dalam pertempuran satu lawan satu di tengah-tengah kesengitan perang. Manakala Narendra menemui ajalnya di tangan Anuyatha sahabat baik Aryaputra sejak zaman kecil di Gunung Jerai.
§
Berita kemenangan gemilang Angkatan Pantai Timur di Patani bergerak pantas seperti terbang bersayap ke seluruh ceruk rantau dan segenap pelosok di Tambralingga, Patani, Amdan Negara dan Kedah Negara. Ia segera merebak ke Gangga Negara, Terengganu, Pahang Negara dan Gelanggi, malah hingga ke Angkor Kemboja dan negeri Arima Dhana. Lalu menjadi tajuk perbualan hangat di kalangan orang-orang di sana. Ia sampai ke pendengaran Putera Aditya dan Maharaja Dharma Vira ketika mereka berada di Setul. Berita itu membuat anggota kedua pasukan pimpinan mereka masing-masing mula merasa agak cuak.
dibahagi kepada tiga sayap.
dipimpin dua orang panglima. Gerombolan Palembang
§
Kekalahan pasukan pimpinan Narendra dan Julang Bumi kini mula menggugat keyakinan anggota bala tentera Palembang-Chola Mandalam. Kerana sebelumnya mereka tidak pernah terbayang kemungkinan bangkitnya sebuah angkatan Langkasuka yang mampu menggoncang keutuhan bala tentera gabungan Palembang-Chola Mandalam. Bala tentera yang sehingga kini mereka anggap kebal di bumi Langkasuka, malah di seluruh Semenanjung Melayu.
Namun, sebagai pemimpin, Putera Aditya dan Maharaja Dharma Vira masing-masing terpaksa menyembunyikan kebimbangan diri sendiri di sebalik wajah ceria yang palsu.
Maka Putera Aditya dan Maharaja Dharma Vira mempercepatkan pergerakan bala tentera pimpinan mereka ke arah Jala. Oleh kerana terlalu tergesa-gesa, mereka mengurangkan rehat dan tidur bagi anggota bala tentera supaya lebih cepat sampai. Sesampainya mereka di Jala, mereka menawan kota kecil itu dengan mudah kerana tidak menerima tentangan begitu kuat. Namun anggota bala tentera mereka jelas semakin hari semakin lesu.
Aryaputra menghantar segerombolan pemanah berkudanya ke kota Jala untuk menyerang balas angkatan Palembang-Chola Mandalam. Namun serangan itu lebih bertujuan sekadar menguji kekuatan angkatan Palembang-Chola Mandalam. Di samping mengganggu gugat rancang cara dan keutuhan serta merosakkan keselesaan mereka.
Gerombolan penyerang pihak Aryaputra segera beredar selepas membuat serangan mengejut dan lari bersembunyi di kawasan bukit bukau di kalangan gerombolan utama Angkatan Pantai Timur. Begitupun layangan panah mereka yang begitu jitu sambil menonggang tetap berjaya membunuh beberapa ratus orang tentera pihak musuh tanpa pihak mereka sendiri mengalami banyak kecederaan. Keampuhan seni perang gaya serang dan lari terbukti lagi.
Akibat serangan itu, anggota bala tentera Palembang-Chola Mandalam yang mengambil kedudukan bertahan semakin bertambah lesu. Sedikit demi sedikit semangat anggota bala tentera Palembang-Chola Mandalam semakin bertambah luntur.
Berbeza pula dengan Angkatan Pantai Timur. Sepanjang perjalanan mereka Panglima Aryaputra sentiasa memastikan bala tenteranya mendapat rehat, tidur dan makan minum yang secukupnya setiap hari. Dia mahu setiap para pahlawannya memulakan peperangan dalam keadaan segar bugar dan cukup bertenaga.
Gerombolan pahlawan perantau Jawa dalam angkatan Palembang-Chola Mandalam pula bertelingkah dengan Putera Aditya dan Maharaja Dharma Vira berhubung kadar ganjaran yang dibayar kepada mereka. Pemimpin mereka Banyujaga mendakwa ganjaran itu terlalu murah dan tidak sepadan dengan kehandalan musuh yang bakal mereka hadapi. Akhirnya mereka mengambil keputusan meninggalkan angkatan Palembang-Chola Mandalam lantas belayar pulang ke Pulau Jawa.
Tiga hari sebelum perang sebenar di Jala bakal berlangsung, para pahlawan perantau Mon, Khmer dan Siam daripada angkatan Palembang-Chola Mandalam bersua dengan saudara sebangsa mereka masing-masing yang berkhidmat di pihak Angkatan Pantai Timur. Mereka berjaya dihasut supaya berpaling tadah dan menyertai Angkatan Pantai Timur. Kebetulan mereka sendiripun sudah mula menerima hakikat bahawa kedudukan kerajaan penjajah di bumi Langkasuka kini menghampiri hari-hari penghujungnya. Mereka juga dijanjikan ganjaran yang lebih berbaloi berserta sebidang tanah bagi setiap orang daripada mereka jika ingin terus menetap di bumi Langkasuka.
Keesokan harinya, Anuyama panglima gerombolan pahlawan perantau Bhama pula yang memimpin orang-orangnya pulang ke negeri mereka Arima Dhana. Mereka hilang keyakinan dengan angkatan Palembang-Chola Mandalam yang semakin hari semakin bercelaru kawal tadbirnya. Maka mereka tidak berminat lagi untuk berperang di pihak yang pada pengamatan mereka semakin goyah peluangnya untuk beroleh kemenangan.
§
Dalam litupan kegelapan malam, Angkatan Pantai Timur menjelanak dari kawasan hutan ke arah pinggiran kota Jala.

No comments:
Post a Comment