Monday, March 19, 2012

Bab 2: Raja Perkasa Bijaksana

Merbuk bijak, merpati pun bijak
Merbah lari menghela kenari
Ranggi kedidi meniti kawi

Merajuk tidak, menyepi pun tidak
Apa tah lagi membawa diri
Pergi ku ini demi pertiwi

Melayani jiwa kecewa, mengenang nasib diri yang dirundung malang, seisi keluarganya kini berterabur bagaikan padi hampa ditiup angin, Sanjaya beransur-ansur bergerak meninggalkan Kedah Negara. Hendak balik menetap di kampung halamannya di Bukit Panau, terasa hanya bakal mengundang kenangan detik-detik bahagia bersama anak isteri di waktu dahulu, yang kini terasa begitu pedih menusuk jiwa.

Kali terakhir dia ternampak Nirmala Ratna dari jauh, bekas isteri tercintanya itu kelihatan seperti sudah sarat berbadan dua. Sungguhpun telah dikahwini secara paksa oleh Daman Lela, mungkinkah cintanya kini sudah beralih kepada sahabat rapat mereka berdua di zaman awal remaja itu yang telah mengkhianatinya, Sanjaya terfikir, membuat bertambah luluh lagi hatinya.

Begitupun, tentang Aryaputra pula, entah mengapa Sanjaya berasa agak yakin bahawa sahabatnya Wulan Sari akan menjaga dan melindungi anaknya itu dengan sebaiknya. Akhirnya dia tekad hati untuk menghala beransur-ansur ke arah bumi Bhanggala, negeri asal salah seorang moyangnya, Putera Prabhava.

Tersemat juga di lubuk hatinya untuk suatu hari nanti, kiranya tiada aral melintang, merantau lebih jauh lagi ke hala barat, merentas bumi Antalya hingga ke pinggiran utaranya, ke kota gemilang Konstantinople yang menjangkau dua benua, tempat pertama kali bertemu di antara bapanya Ozalan, datuknya Shakranta dan neneknya Isabelle, kira-kira setengah abad yang lalu.

Kisah-kisah yang didengarinya tentang keindahan kota itu daripada mereka bertiga memang sejak zaman kecilnya lagi sentiasa membuat hatinya teruja. Sedikit sebanyak bahasa Oghuz dan bahasa Sakhsun, masing-masing diajarkan kepadanya oleh bapanya dan neneknya, sering membuatnya tertanya-tanya diri sendiri bilakah agaknya dia berpeluang bertutur kedua bahasa itu dengan petutur asalnya di bumi asing.

Dua bulan Sanjaya belayar menyusur pantai bermula di Kedah Negara, melewati bumi Tanah Seri yang dipanggil oleh kalangan penduduk desanya Tenasserim, kemudian Hamsa Vati dan seterusnya Sudharma Vati. Beberapa ketika dia singgah di Pegu, ibu negeri Hamsa Vati. Akhirnya dia sampai di kota pelabuhan bernama Thaton, ibu negeri Sudharma Vati, negeri orang Mon yang kini sudah menjadi taklukan Anawrahta, raja orang Bhama yang bersemayam di pusat negeri mereka di kota Pagan.

§
"Kamu kelihatan hampir seiras dengan seorang saudagar yang pernah datang bertemu denganku beberapa tahun yang lalu," ujar Anawrahta. "Namun dia bukannya orang asal dari rantau ini. Namanya Uz ... eh ... payah pulak nak ku ingat nama itu."

Sanjaya terdiam seketika. "Dia juga adalah seorang panglima," raja itu meneruskan celotehnya, "di sebuah negeri di bumi Langkasuka. Isterinya pula adalah ratu memerintah di negeri itu. Nama negerinya ... Ama ... Amadan ..."

"Amdan Negara?" Sanjaya menjangka.

"Ya, tepat sekali."

"Mungkinkah ... Ozalan?" Sanjaya kini pasti.

"Ya, Ozalan," tingkah raja itu. "Itulah dia namanya. Hebat dan tampan orangnya. Gagah perkasa pula gayanya. Katanya, dia berasal dari sebuah negeri yang amat jauh dari rantau Suvarna Bhumi ini."

"Dia adalah bapaku."

"Oh, patutlah," sambung Anawrahta. "Kamu bakal belayar jauh?"

"Umm ... buat masa ini hamba hanya teringat untuk ke negeri Bhanggala. Selebihnya ... hamba tengok dulu bagaimana perkembangan keadaan."

"Kamu ada kenalan di sana?"

"Salah seorang moyang hamba memang berasal dari sana. Jadi hamba punya kaum kerabat di sana, sungguhpun hamba belum pernah bertemu dengan mereka."

"Mungkinkah keluarganya punya hubungan baik dengan golongan istana di sana?"

"Mengikut ibu hamba Ratu Chinta Kirana, datuknya Prabhava, iaitu moyang hamba, juga memang daripada golongan bangsawan. Dia seorang putera, dan bapanya sendiri pula Putera Prakasha pernah memegang jawatan Maha Senapati bagi pasukan berkuda dalam bala tentera kerajaan Wangsa Pala pada zamannya."

"Bagus tu. Kalau kamu tidak keberatan, aku ingin berkirim sesuatu kepada Rama Pala, raja negeri Bhanggala. Boleh kiranya kamu datang ke kediamanku besok?"

"Umm ... hamba rasa itu tidak menjadi masalah."

"Bagus. Kebetulan pula, puteraku yang ketiga ada di sini. Dialah salah seorang panglima yang memimpin bala tentera Bhama menyerang kota ini beberapa tahun dulu. Kyanzittha namanya, ku kira hampir tepat sebaya denganmu usianya. Akan ku perkenalkan kamu kepadanya nanti."

"Bagus tu. Tuanku punya istana juga di sini?"

"Hanya sebuah istana hinggap di pinggir kota. Cukup untuk aku berehat dan bermalam ketika berkunjung ke sini."

§
Pulang dari berburu bersama di pinggir rimba, Putera Kyanzittha minta diri untuk balik ke kediamannya untuk berehat seketika. Manakala Sanjaya pula menuju ke kediaman Raja Anwrahta untuk singgah di sana sebentar.

Dilihatnya Anawrahta sedang menabur padi kepada seekor ayam jantan muda, wajahnya seperti merenung jauh.

"Ehem," Sanjaya berdehem membersihkan tekaknya.

"Sanjaya!", raja itu berpaling ke arahnya.

"Kyanzittha di mana?"

"Dia terus ke kediamannya, Tuanku. Katanya hendak bersiram dan berehat sebentar."

Anawrahta terdiam sejenak.

"Maaf, Tuanku. Bukannya hamba ingin menyibuk, tapi Tuanku seperti sedang asyik berfikirkan sesuatu."

"Umm, memang betul tu. Ada seorang sahabat baik ku berkirim utusan kepadaku. Dia seorang raja di Pulau Singhala. Dia sedang gigih berjuang untuk membebaskan negerinya yang masih ditakluk penjajah, dari sebuah negeri seberang bernama Chola Mandalam. Maka dia memohon bantuan daripadaku."

"Bantuan pahlawan?"

"Ya."

"Tuanku mahu menunaikan permintaannya?"

"Memang di lubuk hatiku ada hasrat begitu. Kerana dia seorang sahabat. Tapi malangnya, negeriku sendiripun sering menghadapi ancaman dan serangan oleh musuh-musuhku dari hala timur. Orang-orang Khmer dari Kemboja Negara yang semakin lama semakin rakus menyerang dan merampas bumi yang dulunya dimiliki dan didiami oleh orang-orang Mon, di Dvara Vati dan di Hariphun Jaya. Tamak haloba mereka kini seperti tidak terbataskan lagi. Maka diriku memerlukan setiap panglima dan pahlawan berwibawa yang ada pada bala tenteraku."

"Bagaimana kalau ada seorang yang sanggup memimpin sepasukan pahlawan bantuan kepada sahabat tuan itu?"

"Apa maksudmu?"

"Kalau Tuanku boleh mengumpulkan sepasukan pahlawan dari negeri Tuan, hamba ingin menawarkan diri untuk memimpin mereka. Di samping itu juga, boleh hamba usahakan sepasukan pahlawan tambahan dari bumi Langkasuka."

"Kamu ingin menyabung nyawa untuk membela negeri seorang raja yang belum kamu kenali? Mengapa begitu?"

"Kalau tiada aral melintang, hamba ingin benar berkenal dan bersahabat dengan sahabat tuan di Pulau Singhala itu. Bumi Langkasuka, tanah air hamba, juga masih terjajah oleh orang-orang Chola Mandalam. Bererti di antara kami, sungguhpun saling tidak mengenali, menghadapi musuh yang sama. Maka hamba sepenuh rela ingin membantunya, di samping menimba pengalaman berperang menentang bala tentera Chola Mandalam berhampiran bumi mereka sendiri."

No comments:

Post a Comment