Monday, March 19, 2012

Penyisip





Raja Vijaya Bahu, raja negeri Singhala dan sahabat baik Sanjaya, menghadiri majlis pelancaran pembentukan semula Persekutuan Agung Langkasuka Adhi Negara atas jemputan Raja Ayudhika yang bakal ditabal dengan persetujuan sebulat suara menjadi Raja Agung pertama seluruh persekutuan. Hadir bersama di majlis gilang-gemilang itu, Raja Vikrama Aditya dari negeri Chalukya Barat, Raja Mahi Pala dari negeri Bhanggala, Raja Kyanzittha dari negeri Arima Dhana yang berpusat di Pagan, Raja Udaya Aditya Varman dari Kemboja Negara, serta raja-raja negeri Kediri, Jambi Malayu Dharmasraya dan Champa Negara.

Vijaya Bahu datangnya diiringi oleh seorang puteranya bernama Mahendra. Tidak disangka atau diduga, kunjungan mereka menghasilkan bibit-bibit sebuah cinta indah antara dua benua. Putera Mahendra jatuh hati dengan Puspa Kencana, puteri sulung Raja Ayudhika. Kasih berpaut, sayang bertaut, akhirnya Vijaya Bahu menghantar rombongan untuk meminang Puspa Kencana untuk diperisterikan oleh puteranya Mahendra.

Ditakdirkan Pencipta, Putera Mahendra kesudahannya direstui golongan pembesar negeri menaiki takhta Kedah Negara selepas kemangkatan mertuanya Raja Ayudhika yang tidak punya sebarang putera. Ditabal menjadi rajanya yang baru dengan gelaran Maharaja Durbar Raja.


Puteri Nirmala Ratna pula membesar menjadi seorang gadis yang cantik rupawan. Dirinya menjadi idaman begitu ramai anak bangsawan serta putera raja di bumi Langkasuka dan kawasan serantau. Begitupun, dia sentiasa diasuh dan dididik oleh Aryaputra dan Yeung Myo dalam pelbagai gaya seni tempur, agar mampu dia membela diri dalam apa jua keadaan. Maklum sahaja, dia seorang puteri Wangsa Dharma Kusuma, bakal penyambung zuriat keluarga pewaris takhta Amdan Negara di kemudian hari.

Kesudahannya dia bertemu jodoh dan berkahwin dengan putera ketiga kepada Maharaja Srimath Trailokya Raja Mauli Bhusana Warma Dewa, raja negeri Jambi Malayu Dharmasraya yang juga sahabat baik Aryaputra. Perkahwinan itu akhirnya menghasilkan seorang putera, diberi nama Dharma Putra.

Perkahwinan Aryaputra dengan Mardunisa pula menghasilkan puteri kedua Aryaputra, diberi nama Rima Anggraini oleh Mardunisa. Tiba usianya dua puluh dua tahun, Puteri Rima Anggraini bertemu jodoh dengan cucunda bongsu Raja Ayudhika, raja negeri Kedah Negara yang juga sahabat akrab Raja Sanjaya. Perkahwinan mereka pula menghasilkan seorang puteri, di beri nama Kusuma Ratna.

Masa bergerak bagaikan terbang. Dua puluh tiga tahun berlalu, terasa seperti hanya dua puluh tiga bulan. Manusia cuma merancang, namun hanya Pencipta jua yang menentukan. KetentuanNya tiada siapapun yang terdugakan. Aryaputra akhirnya naik takhta menjadi raja baru negeri Amdan Negara, menggantikan ayahandanya Sanjaya.

Yeung Myo dan Mardunisa kedua-duanya diangkat menjadi permaisuri yang sama tinggi darjatnya. Yeung Myo diberi gelaran Ratu Permaisuri Seri Dharma Perdana Amdan Negara. Mardunisa pula bergelar Ratu Permaisuri Seri Dharma Utama Amdan Negara.

Dua tahun kemudian, dua orang saudara sepupu, keduanya cucu kepada Raja Aryaputra, bertemu jodoh antara mereka. Di antara Putera Dharma Putra dan Puteri Kusuma Ratna, keduanya bersahabat akrab sedari kecil hingga ke zaman dewasa, akhirnya saling jatuh cinta hingga naik ke jinjang pelamin. Pengorbanan cinta agung antara Mardunisa dan Puteri Yeung Myo lima puluh tahun yang lalu kesudahannya melahirkan hikmat terhebat, iaitu kelangsungan Wangsa Dharma Kusuma sebagai wangsa raja paling berdaulat di takhta negeri Amdan Negara.

Raja Kulo Thungga Chola akhirnya meninggalkan Palembang, pulang ke kota tempat asalnya, Nagapattinam, untuk menaiki takhta Chola Mandalam selepas kemangkatan bapa saudaranya Raja Vira Rajendra Chola yang tidak punya sebrang putera. Negerinya kini semakin lama semakin sengit diasak di setiap sisi oleh negeri-negeri berjiran, termasuk Chalukya Barat yang dirajai oleh Vikrama Aditya, negeri Pandya dan negeri Hoysala. Tidak lagi berdaya upaya Chola Mandalam untuk menguasai Selat Saberkas dan menjadi kerajaan tuan di Rantau Negara, kerana di kawasan sendiripun kedudukannya semakin hari semakin goyang.

Demikian berakhir kisah Dharma Kusuma, Pembela Langkasuka. Seribu tahun di hari muka, pelbagailah bari yang bakal tercipta oleh golongan pencipta bari berhubung dengannya, ditokok dan ditambah mengikut cita rasa agar tambah menambat hati pendengarnya.
 


No comments:

Post a Comment