Andai jelata terus teraniaya dek penjajahan,
Jika rakyat lama terbeban oleh penindasan,
Nurani mula membesi, menuntut kepada Ketentuan,
Hingga akhirnya tertunai setulus permintaan,
Tiba waktu kan beroleh hak sepanjang zaman.
Hukum alam sedia termaktub pada segala,
Andai mandala tidak dapat menamat sengsara,
Jika penjajah masih menghukum tanpa bicara,
Kalau semua usaha dan bujuk tidak berjaya,
Hanya tinggal satu caranya — hunus senjata.1087 Masihi, di negeri Pagan.
Raja Kyanzittha, raja orang Bhama di negeri Pagan, menyerang negeri Lavo. Namun, bala tentera Lavo pimpinan Raja Narai (Naresuan) berjaya mematahkan serangan bala tentera Kyanzittha. Negeri Lavo yang asalnya didiami orang Mon dan orang Wa, kini mula menjadi tempat penghijrahan orang T'ai. Lavo bertambah kukuh dan berupaya menangkis tekanan dan serangan orang Bhama mahupun Khmer. Raja Narai akhirnya berpindah ke pusat pemerintahan yang baru di Ayutthaya.
§
Kerajaan Chola Mandalam kini diasak di kiri, kanan dan tengah. Di bumi Langkasuka mereka mengalami kekalahan demi kekalahan. Setiap rombongan penggempur yang mereka hantar untuk menyerang dan menundukkan sebarang negeri atau wilayah yang memberontak dihancurkan oleh bala tentera Angkatan Seluruh Langkasuka yang pasti muncul membantu. Angkatan Seluruh Langkasuka yang telah berkembang membesar asalnya daripada Angkatan Pantai Timur. Dan ia terus berkembang.
Di negeri Bhanggala, angkatan penjajah dari Chola Mandalam akhirnya telah ditewaskan oleh bala tentera Raja Rama Pala. Manakala di Singhala Dvipa, angkatan Chola Mandalam pimpinan Vira Rajendra Chola sendiri telah ditewaskan pertama kalinya lapan belas tahun yang lalu oleh bala tentera Singhala pimpinan Raja Vijaya Bahu. Bala tentera Singhala yang telah juga mendapat bantuan beberapa gerombolan pahlawan Langkasuka pimpinan seorang panglima hebat yang tidak diketahui pasti namanya. Panglima itu juga dikatakan telah mengusahakan sumbangan beberapa puluh buah kapal perang buatan Langkasuka kepada Raja Vijaya Bahu.
Wilayah di pulau Singhala Dvipa itu yang masih berada dalam genggaman Chola Mandalam semakin lama semakin mengecut. Hingga akhirnya Kulo Thungga Chola, raja baru Chola Mandalam yang mewarisi takhta Vira Rajendra Chola, terpaksa akur dengan kenyataan dan tiada pilihan lain selain membuat janji damai dengan Raja Vijaya Bahu.
§
§
Penduduk biasa berundur jauh ke dalam hutan, membawa sebanyak mana bekalan yang terbawa, diiringi oleh sepasukan kecil pahlawan tetap Angkatan Utara untuk melindungi mereka. Agar mereka tidak mungkin diserang dan dianiaya oleh bala tentera penjajah bila perang bermula di kota dan kawasan bersekitar, kerana itulah rancang cara biasa bala tentera musuh untuk meraih kemenangan mudah setiap kali berperang. Semakin hari semakin ramai pula daripada mereka yang minta untuk menyertai bala tentera pembela.
Manakala semakin ramai pula daripada pihak musuh yang terpesona dengan semangat setiapertiwi rakyat tempatan, mula benci dengan sikap dan perilaku bala tentera kaum sendiri yang sering kali bertindak liar ganas terhadap penduduk tempatan yang tidak berdosa. Maka, seperti Maheshvara, mereka bulat hati meninggalkan bala tentera Chola Mandalam, berpindah taat setia kepada Kedah Negara.
§
"Rakyat jelata Beta sekalian,” Putera Ayudhika, raja negeri Kedah Negara Dalam Buangan, bertitah beberapa malam sebelum pertempuran terbesar dalam sejarah seluruh bumi Langkasuka. "Setelah dua puluh tahun kita menunggu ... menunggu dalam bertabah ... menanggung kecewa daripada hasrat yang terhalang ... impian yang tidak kesampaian … bayangan indah yang menghilang … kita kini berada di saat terbaik untuk bangkit semula berjuang ... berjuang menumpaskan penjajahan dan penindasan ... berjuang membersihkan keaiban ... berjuang menebus maruah pertiwi tercinta yang telah ternoda!”
"Dirgahayu Ayudhika!!!” bergema tempikan lantang para hadirin daripada kalangan rakyat Kedah Negara berjumlah lebih lima ribu orang yang membanjiri kawasan tanah bendang berhampiran kubu Angkatan Seluruh Semenanjung di kaki bukit. “Hidup Kedah Negara!!! Hidup Langkasuka Adhi Negara!!!”
"Dua puluh tahun yang lalu, cita-cita seluruh rakyat Kedah Negara begitu hampir tertunai. Namun, akibat petualang yang membelot, duri dalam daging, gunting dalam lipatan, hasrat murni itu akhirnya terbantut, seterusnya hancur berkecai. Kata orang, harapan yang tertunda, impian yang tergendala, lazimnya membuat hati gulana. Namun, rakyat Kedah Negara ternyata bukannya insan sembarangan. Jiwa mereka tetap tabah, sukma mereka kekal gigih, kalbu mereka masih gagah, hingga ke hari ini.”
"Hidup Kedah Negara!!!” tempikan bersemangat bergema lagi.
"Hidup Sanjaya!!!” sekali lagi tempikan bergemuruh para hadirin bergema nyaring menepuk lereng bukit yang gagah membenteng kota Kedah Negara.
"Apa yang baiknya, Sanjaya juga membawa pulang bersamanya beberapa ketumbukan pahlawan anak bumi Langkasuka, yang kini sudah begitu masak dan tegar dengan pengalaman berjuang menentang bala tentera Chola Mandalam. Hasil daripada lebih lima belas tahun mereka berkhidmat, bersama Sanjaya di bumi Singhala Dvipa, sebagai pahlawan perantau dengan bala tentera seorang sahabat Beta, Raja Vijaya Bahu.”
"Bala tentera Baginda, dengan berkat sokongan seluruh rakyat jelata Singhala Nagara, lapan belas tahun yang lalu telah membuktikan bahawa bala tentera Chola Mandalam tidaklah sekebal mana. Seperti yang kita semua bimbangkan selama ini. Sementara lapan tahun yang lalu, seorang lagi sahabat Beta, Raja Rama Pala, telah berjaya mengusir bala tentera Chola Mandalam dari bumi Bhanggala.”
"Manakala perkembangan terkini, Kulo Thungga Chola, raja baru negeri Chola Mandalam, baru saja Beta dengar terpaksa memeterai janji damai dengan Raja Vijaya Bahu. Untuk mengelakkan daripada saki baki bala tentera Chola Mandalam yang masih ada di bumi Singhala di sembelih sepenuhnya oleh bala tentera Singhala Nagara. Disamping meredakan semangat Raja Vijaya Bahu agar Baginda tidak meneruskan hasratnya untuk terus masuk melanggar bumi Chola Mandalam bersama musuh-musuh Chola Mandalam yang lain dari arah timur, utara dan barat. Termasuk salah seorang daripada mereka Raja Vikrama Bahu VI, raja negeri Chalukya, iaitu sahabat baik Raja Vijaya Bahu.”
"Kerajaan Chola Mandalam kini diasak kiri, kanan dan tengah. Di bumi Langkasuka mereka mengalami kekalahan demi kekalahan. Setiap rombongan penggempur yang mereka hantar untuk menyerang dan menundukkan sebarang negeri atau wilayah yang memberontak dihancurkan oleh bala tentera Angkatan Seluruh Langkasuka yang pasti muncul membantu. Angkatan Seluruh Langkasuka yang telah berkembang membesar asalnya daripada Angkatan Pantai Timur. Dan ia terus berkembang."
"Di negeri Bhanggala, angkatan penjajah dari Chola Mandalam akhirnya telah ditewaskan oleh bala tentera Raja Rama Pala. Manakala di Singhala Dvipa, angkatan Chola Mandalam pimpinan Vira Rajendra Chola sendiri telah ditewaskan pertama kalinya lapan belas tahun yang lalu oleh bala tentera Singhala pimpinan Raja Vijaya Bahu. Bala tentera Singhala yang telah juga mendapat bantuan beberapa gerombolan pahlawan Langkasuka pimpinan seorang panglima hebat yang tidak diketahui pasti namanya. Panglima itu juga dikatakan telah mengusahakan sumbangan beberapa puluh buah kapal perang buatan Langkasuka kepada Raja Vijaya Bahu."
"Wilayah di pulau Singhala Dvipa itu yang masih berada dalam genggaman Chola Mandalam semakin lama semakin mengecut. Hingga akhirnya Kulo Thungga Chola, raja Chola Mandalam yang mewarisi takhta Vira Rajendra Chola, terpaksa akur dengan kenyataan dan tiada pilihan lain selain membuat perjanjian damai dengan Raja Vijaya Bahu."
"Sementara di bumi mereka sendiri, di Chola Mandalam, mereka terus di asak oleh kerajaan Chalukya Barat di sebelah barat, kerajaan Hoysala dan Kerala di arah utara dan kerajaan Pandya di timur. Hanya samudera luas di penghujung selatan Benua Hindi yang tidak memusuhi mereka. Chalukya Barat pula kini berada di ambang kegemilangan dan dijangka orang bakal menumbangkan seteru mereka kerajaan Chola Mandalam sedikit masa lagi."
"Zaman kegemilangan kerajaan Chola Mandalam sudah menghampiri peringkat terakhir. Walau mereka sendiri mengakuinya atau tidak, mereka kini berada di ambang zaman kemunduran. Di ambang zaman keruntuhan. Itulah hakikatnya."
"Begitu juga dengan kerajaan Palembang. Kedudukannya sebagai teraju kerajaan Srivijaya semakin hari semakin dipertikai dan diperlekeh. Semakin ramai orang di hampir seluruh kepulauan Suvarna Dvipa dan sesetengah tempat di tanah besar Suvarna Bhumi yang hilang sabar dan naik meta.
"Kata mereka, kalaulah Palembang sendiri tidak mampu mempertahankan sebarang wilayah dan negeri naungannya dari serangan ganas bala tentera Chola Mandalam, apa gunanya lagi mereka terus bernaung di bawah payung kebesaran raja Palembang? Lebih baik raja lain yang lebih berwibawa dari negeri lain yang mengambil alih teraju kekuasaan. Malah ada yang secara terbuka berkata mereka bersedia untuk mengisytihar merdeka sepenuhnya daripada Palembang."
"Sebaliknya, zaman kemalapan bumi Langkasuka sudah menjelang tamat. Yang bakal mendatang adalah zaman kebangkitan semula. Maka titik pemulanya adalah ... perjuangan menuntut kemerdekaan ... kemerdekaan yang sepenuhnya bagi seluruh bumi Langkasuka. Perjuangan yang hanya akan berakhir secara mutlak, mutakhir dan muktamad dengan sebuah pertempuran besar ... ibu segala pertempuran ... iaitu ... Pertempuran Agung Menempa Merdeka!"
"Wahai seluruh rakyat jelata. Di setiap negeri dalam Persekutuan Langkasuka Adhi Negara. Marilah kita semua bangkit ... bangkit menentang penjajahan, penindasan dan kekerasan dan penghinaan. Agar suatu hari nanti ... dari gunung hingga ke tanah rata ... dari sungai hingga ke samudera ... seluruh Langkasuka akan merdeka."
"Hidup Langkasuka Adhi Negara!!!" seluruh khalayak bertempik lagi.
"Begitupun ... tidak ada sebarang negeri di waktu ini ... dalam Persekutuan Langkasuka ini ... yang cukup kuat untuk menentang pihak musuh sebesar bala tentera Palembang mahupun Chola Mandalam ... dengan puluhan ribu pahlawan mereka dan ribuan gajah perang mereka ... secara bersendirian,” ujar Putera Ayudhika. “Maka kita hanya punya peluang untuk menang ... jika kita semua berpadu usaha dan bersatu tenaga ... di antara seluruh rakyat jelata Persekutuan Agung Langkasuka Adhi Negara.”
"Bagaimanapun,” selit Panglima Sanjaya. “Bukankah tentera kita sendiri dari kalangan pahlawan Kedah Negara, yang pernah membantu Raja Samara Vijaya, raja Kediri berdarah Srivijaya, menumbangkan bala tentera kerajaan boneka Raja Suran Padshah di Manjung dua puluh tahun yang lalu? Sebelum angkatan Chola Mandalam tiba dengan tak semena-mena untuk membantu pihak Raja Suran Padshah. Demikian juga, Amdan Negara pimpinan Raja Shakranta, pernah menumpaskan bala tentera Chola Mandalam yang datang menyerangnya, enam puluh tiga tahun yang lalu. Maka, tidak bererti musuh-musuh kita itu begitu kebal, baik Palembang mahupun Chola Mandalam. Juga tidak bererti bahawa kita sendiri begitu lemah, ataupun tidak berkemampuan.”
"Baik Palembang mahupun Chola Mandalam kini hanya hidup segar bermaya dengan menghisap darah Langkasuka," Ayudhika meneruskan. "Sudah berabad-abad negeri-negeri di bumi Langkasuka berada di bawah telunjuk negeri lain yang lebih perkasa. Kini tiba masanya untuk seluruh bumi Langkasuka bangkit penuh berwibawa. Bangkit berdiri dengan kekuatan sendiri. Mengawal segala hasil mahsul bumi sendiri serta ganjaran usaha rakyat sendiri. Memerintah diri sendiri."
§
Tidak sampai seratus depapun jarak yang kini memisahkan dua bala tentera yang bakal bertempur. Dengan tempik perang yang bengis garang, barisan hadapan angkatan Chola Mandalam menghenjut gajah-gajah perang mereka, memacu haiwan-haiwan besar itu ke arah musuh mereka yang menanti mereka di hadapan.
Pasukan pemanah berkuda Angkatan Seluruh Langkasuka membidik jitu dengan busar silang, busar panjang dan busar gabung yang dilengkapi dengan sama ada panah api ataupun panah berbisa. Digandingi oleh pasukan pengendali jentera pelontar. Menanti masa yang tepat dan terbaik, dua arahan terakhir oleh Panglima Agung, untuk melontar gumpalan minyak dan gumpalan bahan peletup, dan untuk melayangkan seribu panah setiap layangan.
Berpuluh gumpalan minyak dan gumpalan bahan peletup terbang di udara, melayang menuju ke arah angkatan bergajah Chola Mandalam. Para gembala gajah terpinga-pinga, tidak pasti apa yang harus dibuat, manakala gajah-gajah mereka terus mara ke hadapan, tanpa mempedulikan hentakan gumpalan-gumpalan yang sedikitpun tidak terasa pada kulitnya yang begitu keras dan tebal itu.
"Satu! Dua! Layang!!!” tempik Aryaputra.
Seribu tali busar menyanyi berdendang, seribu panah berdebus melayang. Mencari sasaran. Mengena, menghunjam, menembusi.
"Satu! Dua! Layang!!!” tempik Anuyatha pula.
Seribu lagi busar bersiul, seribu lagi panah terbang. Mencari sasaran lagi, dan mengena lagi.
"Satu! Dua! Layang!!!” “Satu! Dua! Layang!!!” “Satu! Dua! Layang!!!”
Bahan peletup meletup berdentum dentam di sana sini. Minyak yang terkena api menyala dan menyambar seperti kilat. Ada gajah dan gembala gajah yang disambar api atau letupan sebahagian tubuh mereka. Beratus lidah api yang bermula kecil semakin membesar, ada di antaranya bergabung menjadi lidah api besar, dan berkembang seterusnya menjadi lidah api raksaksa. Mencelarukan dan mengganggu gugat ketersusunan mereka. Merintang dan menghalang kemaraan mereka ke hadapan.
Sesetengah daripada gajah-gajah itu mula kelihatan gugup dan kebingungan. Ada yang bertempik selantang-lantangnya, namun tidak pasti pula tempiknya itu tempik marah ataupun tempik cuak, gajah pemimpin kini entah di mana.
Dengan setiap tempikan seribu busar silang bersiul, seribu lagi panah melayang. Mencari sasaran lagi, dan mengena lagi. Kali ini panah berbisa pula yang disasarkan khas kepada gajah-gajah sahaja.
"Satu! Dua! Layang!!!”
§
Selang tidak beberapa lama, gajah-gajah yang terkena panah berbisa itu kini sudah mula kelihatan huyung-hayang. Bahan bisa campuran, hasil ciptaan Panglima Muda Anuyatha, menggabungkan rumusan Orang Darat di bumi Langkasuka dan orang Mon dari negeri Sudharma Vati, ternyata begitu hebat penangannya.
"Satu! Dua! Layang!!!” tempik Aryaputra lagi. Kini giliran seribu busar panjang dan seribu busar gabung pula untuk bersiul, dan seribu lagi panah melayang. Mencari sasaran lagi, dan mengena lagi. Kali ini panah besar, panah penyudah, setelah panah berbisa memainkan peranannya untuk melemahkan dan melesukan haiwan-haiwan gagah itu.
§
Sebahagian daripada pasukan bergajah itu entah bagaimana masih terlepas daripada hujan panah yang menyiraminya. Lalu terus mara kedepan. Menuju Angkatan pantai Timur yang kini telah berkembang menjadi Angkatan Seluruh Langkasuka. Sejurus kemudian, beberapa ekor daripadanya kedengaran bertempik nyaring senyaringnya. Diikuti seterusnya oleh gajah-gajah lain di belakangnya. Dan seterusnya lagi. Tempik itu seperti tempik marah bercampur sakit.
Rupanya, gajah-gajah itu terpijak ranjau besi yang diletak berselerak supaya merintangi laluan mereka. Ranjau cacak, ranjau mata parut, ranjau mata satu dan ranjau mata tiga, semuanya ada. Manakala ranjau reka cipta terbaru yang di bawa pulang oleh Panglima Sanjaya dari Byzantium, ranjau mata empat, dilihat buat pertama kalinya di bumi Langkasuka. Ranjau besi besar bertubuhkan bebola besi bulat yang mempunyai empat mata pada arah berbeza. Ia boleh diletak, atau digelek mahupun hanya dicampak. Namun ia kesudahannya akan berdiri pada tiga daripada matanya yang menjadi kaki manakala mata yang satu lagi mencacak ke arah atas. Lantas menusuk dan menembusi barang siapa atau haiwan apa yang memijaknya ataupun rebah keatasnya.
§
Daripada seribu ekor gajah perang Chola Mandalam, hampir sembilan ratus ekor berserta gembala-gembala mereka sekali gugur sebelum dapat menghampiri barisan pemanah berkuda Langkasuka. Di antara gajah-gajah itu ada yang naik berang bercampur mabuk lalu berpatah hala dan merempuh, memijak-mijak dan memenyek-menyek pejuang Chola Mandalam sendiri, sebelum ia sendiri yang tumbang rebah tersungkur menyembah bumi. Yang seratus ekor lagi lari lintang pukang ataupun bingung biul seterusnya hilang diri entah ke mana.
Orang-orang Tamil Chola itu kini marah mereka membuak-buak. Mereka seperti hilang akal. Mereka meluru ke hadapan sekali lagi. Tapi kali ini tanpa disokong dan dilindungi oleh gajah-gajah perang mereka yang menggerunkan itu. Haiwan perkasa yang menjadi tonggak kekuatan bala tentera mereka selama ini.
§
Angkatan Seluruh Langkasuka, kini dipimpin bersama oleh Panglima Sanjaya dan anaknya Panglima Agung Aryaputra, meluru balas dengan tempik perang mereka sendiri ke arah musuh-musuh mereka yang berbaju besi. Debu dan habuk di bumi naik berterbangan hingga berkepul-kepul seperti asap di udara apabila dua pasukan berkuda yang bertentangan saling memacu haiwan tonggangan mereka di antara satu sama lain.
Sebatang busar panjang gergasi bersiul ... ketua gerombolan pejuang Chola Mandalam yang membuat luruan pertama jatuh terpelanting dari pelananya ... sebatang panah besar kelihatan terpacak di kepalanya ... menembusi kepingan logam topi besinya.
Sebatang lagi panah menyusuli panah pertama ... dan sebatang lagi ... dan sebatang lagi. Setiap satu daripadanya menumbangkan seorang pejuang Tamil Chola Mandalam daripada kuda tonggangannya.
Di zaman kanak-kanaknya Aryaputra seorang anak manja yang terlalu rapat dengan ibunya Nirmala Ratna. Namun, pengalaman getir hidupnya seterusnya, tercetus mulanya oleh kepetualangan durjana Daman Lela, sebelum itu sahabat baik Sanjaya.
Kehilangan kedua ibu bapanya sebagai tempat berpaut suatu hari, hidupnya yang selesa bahagia hancur lebur dalam sekelip mata, memaksa Aryaputra belajar hidup berdikari dengan mendadak. Sesudahnya beransur-ansur menempa dan membentuk jiwa raganya hingga menjadi seorang pahlawan hebat dan gagah perkasa. Sebagai seorang bapa, kejayaan anaknya mengatasi segala dugaan dan panca roba yang datang melanda tiba-tiba dalam hidupnya membuat Sanjaya sungguh bangga bahagia.
Gaya dan susuk tubuh Aryaputra pula mengingatkan Sanjaya kepada Shakranta, datuk Sanjaya, sungguhpun pada rupanya Aryaputra memiliki gabungan iras wajah Sanjaya dan Nirmala Ratna.
"Ayah! Awas!" Aryaputra berteriak nyaring. "Panah mendatang!"
Tersentak daripada lamunan singkatnya, Sanjaya melayang pantas merebahkan diri ke tanah. Sebatang panah berdebus terbang di sekitar paras kepala tepat di tempat dia berdiri sebentar tadi. Mungkin telah menghunjam kepalanya atau tengkuknya jika dia tidak bergerak segera sebaik mendengar pekikan anaknya.
Aryaputra menghapuskan lima belas orang pahlawan musuh, sebelum mencampakkan busar panjangnya bersama kelongsong panah lengkap dengan isi-isinya serta baju perisainya, lalu bertempik tempikan yang bergema lantang dan mengerikan, berkumandang di seluruh hamparan bendang. Tanpa berat senjata dan baju perisai yang tiada lagi pada tubuhnya itu, Aryaputra kini dapat memecut Garuda dengan lebih selesa dan deras lagi, membolehkannya menyelinap memintas baik kawan mahupun lawan dengan begitu mudah sekali.
Dia menghunus kedua-dua bilah pedangnya dan menghambur barisan musuh dengan libasan mata pedang yang begitu pantas pergerakannya bagaikan tiupan angin puting beliung. Dua senjatanya itu tampak seperti layangan samar kepingan keluli berkilat yang gemerlap menyilau ... berputar, mencalar, menghiris dan membelah baik sebahagian tubuh musuh, atau cebisan kain mahupun logam yang mereka pakai, dengan setiap rembatan.
Tujuh belas belas orang pejuang musuh gugur dari kuda mereka dengan tujuh belas libasan kilat Aryaputra. Membuat pihak musuh agak hilang tumpuan, manakala rakan dan taulan mereka yang lain menjadi cuak oleh hamburan pahlawan Langkasuka yang mengamuk menggila seperti haiwan pemangsa yang tangkas dan ganas serta langsung tidak kenal gentar itu.
Pedang, keris, golok, kelewang, tombak, trisula, cipan dan cokmar melibas, menusuk, menebas, menghayun dan merembat dari pelbagai hala ke arah Aryaputra, namun tiada yang dapat menyentuh tubuhnya. Mengemudi kudanya Garuda, haiwan gergasi megah hebat berwarna putih semerdanta yang bengis bengkeng sama seperti tuannya itu, dengan sungguh cekap, hanya menggunakan geselan dan gertakan betis serta kakinya, dia begitu mudah mengelak dan menepis sebarang serangan musuh. Manakala setiap serang balasnya pasti menghiris sebatang lengan, leher atau betis, ataupun menusuk merobek sebarang bahagian anggota tubuh musuh yang terdedah.
Pergerakannya begitu kemas sejadi. Seperti air yang mengalir lancar. Sama ada merempuh, mengatasi, menghindari atau melolosi setiap rintangan. Manakala dirinya sendiri langsung tidak terhalangkan oleh sesiapa. Memang tepatlah dua gelaran yang diberikan kepadanya oleh segelintir pahlawan perantau yang berkhidmat setia dengannya: Amitra Gatha ... Pemusnah Musuh ... dan Vikrama Aditya ... Gagahnya Bagai Matahari.
Maka pahlawan Langkasuka yang lainpun turut terangsang semangat mereka oleh kelincahan dan ketangkasan Aryaputra yang kini liar ganas, memusnah dan membunuh segala, bagaikan Dewa Perang yang naik murka. Lalu setiap seorang daripada merekapun mula turut menghambur mana-mana pejuang Tamil Chola Mandalam yang paling terdekat, yang terperangkap berpusu-pusu di tengah-tengah medan perang itu kerana jumlah mereka yang teralu ramai di tempat yang sempit.
§
Sumpah Merdeka
Di gunung-ganang, di bukit-bukau
Di tanah besar mahupun di pulau
Di sungai, di laut, juga di pantai
Di seluruh semenanjung nan damai
Hanya putera bumi yang akan gah
Tidak kan berjaya sebarang penjajah
Segala ancaman akan dikekang
Setiap ugutan bakal ditentang
Musuh yang gasar pasti kan tewas
Petualang busuk tentu kan tumpas
Biar Langkasuka terus mandiri
Teguh berdiri kekal abadi
Agar di seluruh semenanjung nan agung
Hanya pribumi yang terus disanjung
One day, our Langkasukan Federation will match both Palembang Srivijaya and Chola Mandalam, in wealth as well as power. We will do that not by pillaging and plundering the lands of others, for we have neither the strength nor the brutality, but by befriending their people and trading with them. That will be our way.
Thus King Ayudhika outlined his vision for his Langkasukan motherland.
§
Bala tentera negeri Malayu Jambi pimpinan Putera Surya Narayana menewaskan angkatan Palembang dan menyingkirkan Maharaja Dharma Vira daripada takhta kerajaan Palembang Srivijaya. Surya Narayana ditabal menjadi raja baru dengan gelaran Sri Maharaja Trailokyaraja Mauli Varma Deva. Baginda lalu membina sebuah kota pemerintahan baru di wilayah hulu Sungai Batang Hari, dinamakannya Dharmasraya Negara. Maka negeri barunya pula digelar Malayu Dharmasraya.
Namun kota lama Jambi, di muara Sungai Jambi, tetap kekal sebagai kota pelabuhan utama. Demikian berakhirnya Wangsa Srivijaya, maka bangkitlah pula Wangsa Mauli Varma Deva. Begitupun, kebanyakan perantau dan saudagar asing masih selesa menggelar kerajaan Malayu Dharmasraya itu serta seluruh jajahan takluknya di Pulau Sumatra sebagai kerajaan Srivijaya. Kerana nama Srivijaya itu sudah begitu lama meniti di bibir orang, maka kedengaran lebih sejadi bila disebut.





No comments:
Post a Comment