§
Untuk beberapa lama selepas tiba di Jambi, Aryaputra tidak pernah pergi jauh dari rumah Wulan Sari. Dia membantu Wulan Sari menjalankan urusan yang berkaitan perniagaannya. Selain itu dia bermain-main dengan ayam jaguhnya si Jalak yang dibawanya bersama dari Bukit Panau. Walaupun hanya seekor ayam, si Jalak sedikit sebanyak membantu melegakan kerinduannya kepada kampung halaman, selain berperanan seolah-olah sebagai seorang teman.
Sesudah beberapa lama baru Aryaputra mula terasa untuk menjelajahi ke tempat yang lebih jauh dari kawasan rumah Wulan Sari. Suatu hari, Aryaputra keluar bersiar-siar untuk melihat-lihat dan meninjau-ninjau kota Jambi dan kawasan sekitarnya. Dalam perjalanannya ke kota dia ternampak dari jauh dua orang anak muda yang kelihatan seperti mahu bergaduh. Mereka kelihatan hampir sebaya dengannya. Seorang dari mereka baru saja menghunus kerisnya. Yang seorang lagi kelihatan sedang melibaskan-libaskan goloknya, mempamerkannya kemahirannya bermain senjata. Anak muda itu memang kelihatan agak cekap dengan golok itu.
§
Surya seorang anak tempatan yang tinggal tidak jauh dari kota, berhampiran tempat bertemunya Sungai Malayu dengan Sungai Batang Hari. Suatu hari, dalam perjalanan menuju ke kota dia ternampak seorang anak muda Jawa yang tidak pernah terlihat olehnya sebelum ini, berjalan dari arah bertentangan dengannya. Orangnya kelihatan agak rendah, namun bertubuh tegap dan sasa. Mukanya seperti seperti terlalu megah, fikir Surya. Dia meneruskan perjalanannya tanpa mempedulikan orang itu lagi.
Uthama sudah berada di Jambi beberapa bulan. Dia anak seorang pendekar Jawa yang pernah berkhidmat dengan Raja Air Langga. Bapanya kini sudah menjadi seorang saudagar dan berhijrah ke Jambi bersama seisi keluarganya. Mereka telah mendirikan rumah berhampiran muara Sungai Batang Hari, tidak berapa jauh dari pelabuhan. Suatu hari dalam perjalan pulang dari kota dia terpandang seorang anak muda tempatan yang tidak dikenalinya, berjalan dari arah berlawanan dengannya. Dia meneruskan perjalanannya sambil tunduk memandang ke tanah.
Tiba-tiba kedua-dua mereka berlanggar bahu, bahu kanan Uthama mengenai bahu kanan Surya. Kedua-dua mereka tersentak.
"Hei! Awas kamu!” tempik Surya. “Berjalan sampai tak nampak orang! Seperti orang buta!” herdiknya lagi.
"Kamu yang sengaja melanggarku! jawab Uthama,” jawab Uthama. “Dari jauh-jauh lagi tadi aku sudah menyimpang cukup jauh ke tepi!” sambungnya.
"Dasar Jawa bangsat!” sergah Surya lagi. “Kucing kurap! Datang merempat di negeri orang!” sambungnya.
"Tutup mulutmu, anjing Malayu!” jawab Uthama. Telinganya mula terasa panas. "Suatu hari nanti seluruh pulau Sumatra ini akan dijajah oleh kaumku," ujarnya lagi dengan nada semakin membengis.
"Jawa biadap!" jerkah Surya. "Ayuh! Kita lihat siapa yang lebih jantan!” Surya menghunus goloknya.
"Baiklah,” jawab Uthama. “Kalau Malayu nekad menjual, pantang Jawa tidak membeli,” sambungnya sambil menghunus kerisnya.
"Tunggu!” Aryaputra bersuara lantang sambil menerpa menghampiri mereka berdua, membuat keduanya tersentak. “Hentikan perbuatan bodoh ini!” sergahnya lagi.
"Siapa kamu?” tanya Surya. “Jangan kau campuri urusanku. Kelak padah yang menimpa nanti,” dia menjergil.
"Sabar dulu, kalian berdua,” pujuk Aryaputra. “Bukannya aku ingin menjaga tepi kain orang. Namun tidakku ingin kalian berdua bertumpah darah kerana perkara begitu kecil,” sambungnya. Surya dan Uthama kedua-duanya terdiam sejenak.
"Dengar dulu kataku,” Aryaputra terus menyambung. “Bergaduh atau berdamai adalah pilihan kalian. Kalau kalian pilih bergaduh, mungkin salah seorang dari kalian, atau tidak mustahil juga kedua-duanya, bakal melihat dunia ini buat kali terakhir, dan tidak akan pulang ke rumah petang ini. Lalu pertemuan kita bertiga berakhir di sini saja hari ini."
Surya dan Uthama terus membisu seribu bahasa.
"Tapi kalau kalian pilih berdamai," Aryaputra meneruskan, "kita bertiga boleh bersahabat, hidup jauh lebih lama lagi, berkhidmat bakti kepada tanah air sebagai pahlawan, berkahwin dengan gadis pilihan sendiri, hidup bahagia dan beroleh ramai anak di hari muka. Ingatlah dulu kedua orang tua kalian, sekaligus adik-beradik kalian, yang semuanya pasti amat menyayangi kalian,” Aryaputra membebel panjang.
"Ayuh!” Aryaputra segera mengajum apabila melihat Surya dan Uthama termenung seketika sambil menyarungkan kembali senjata mereka masing-masing. “Lupakan saja perkara remeh itu. Mari kalian berjabat tangan,” ajumnya.
"Ada benarnya katamu itu, sahabat,” ujar Uthama kepada Aryaputra. “Damai?” Dia menghulurkan tangannya ke arah Surya.
"Damai,” Surya menjabat tangan Uthama.
"Aku Aryaputra. Dari Amdan Negara, di bumi Langkasuka. Panggil saja aku Yaya,” ujar Aryaputra memperkenalkan dirinya sambil menghulurkan tangannya kepada Surya dan seterusnya Uthama.
"Aku Uthama. Dari Kediri, di bumi Mataram,” ujar Uthama. "Dipanggil juga Badak Megah"
"Kerana tubuhnya yang tegap dan sasa sungguhpun agak pendek itu,” Surya menyampuk.
"Jangan kamu menghina aku", balas Uthama, tapi kini dengan tersenyum.
"Kerana tubuhnya yang tegap dan sasa sungguhpun agak pendek itu,” Surya menyampuk.
"Jangan kamu menghina aku", balas Uthama, tapi kini dengan tersenyum.
"Aku Surya. Anak Jambi,” ujar Surya. “Bergelar Kuda Perkasa. Kerana amat pantas larianku."
"Di samping nafsumu juga yang mungkin agak besar,” Utama mencelah.
"Heh, bangsat kamu," herdek Surya, namun dengan nada ceria.
"Di samping nafsumu juga yang mungkin agak besar,” Utama mencelah.
"Heh, bangsat kamu," herdek Surya, namun dengan nada ceria.
"Waduuuuuh, hebat sekali namamu Yaya,” ujar Uthama. Mungkin daripada golongan ... orang atasan kok?”
"Ohh, tidak, biasa aja,” tingkah Aryaputra.
"Baiklah, Yaya,” sampuk Surya. “Nanti kami carikan suatu gelaran yang sesuai untukmu.
"Hebat!” ujar Aryaputra. “Sekarang, apa lagi? Ayuh! Apa kata kalau ... kita semua pergi bersiar-siar di kawasan pantai,” ajaknya.
No comments:
Post a Comment