Monday, March 19, 2012

Bab 4: Merdeka Akhirnya Singhala


§
Dua tahun Sanjaya belayar menyusur pantai, melewati bumi Tanah Seri yang dipanggil oleh kalangan penduduk desanya Tenasserim, kemudian Hamsa Vati dan seterusnya Sudharma Vati. Beberapa ketika dia singgah di Pegu, ibu negeri Hamsa Vati, kemudian di Thaton pula, ibu negeri Sudharma Vati, sebelum sampai di negeri Bhanggala, negeri asal salah seorang datuknya, Putera Prabhava. Di sana dia berhenti agak lama, berkenal mesra dengan kaum kerabatnya di sana.

Seterusnya dia menyusur pantai Benua Hindi, melewati dan menyinggahi negeri Kalingga, Tilanggana dan Andhra sebelum akhirnya sampai di Pulau Singhala. Dia langsung tidak menyinggahi bumi Chola Mandalam. Entah mengapa hatinya seperti terasa jelik ketika terfikir hendak berbuat begitu.

Sedari awalnya lagi memang hasrat hatinya ingin bertemu Vijaya Bahu, raja orang Singhala yang didengarinya semasa di Bhanggala sedang bergelut sengit menentang penjajahan Chola Mandalam ke atas tanah airnya, Singhala Nagara.

§
Kota Ruhuna, Pulau Singhala, 1052 Masihi.
"Bagaimana harapan kita, Panglima?" tanya Putera Moggallana.

"Mereka terlalu ramai, Tuanku," jawab Panglima Budal Samy. "Bala tentera mereka terlalu besar ... dan terlalu lengkap bersenjata. Mereka menawan kota Anuradha Pura sungguhpun bala tentera Singhala memberi tentangan sengit. Dengan jumlah pejuang yang ada di pihak kita ... kemaraan mereka ke kota ini tidak mungkin terhalangkan lagi oleh kita. Keadaannya begitu genting."

"Kalau begitu, tumpukan usahamu ke arah melindungi puteraku. Larikan dia ke mana saja yang paling sesuai mengikut penilaianmu ... asal saja dia terselamat daripada mereka. Bawa bersamamu seberapa ramai pahlawan kita yang kau perlukan untuk itu."

"Baiklah, Tuan Putera. Putera Keethi akan patik bela dengan nyawa patik jika perlu. Akan tetapi ... bagaimana pula dengan diri Tuan sendiri?"

"Aku akan terus berada di sini dengan beberapa orang pengawal."

"Tapi Tuan ..."

"Tiada tapinya lagi, Budal Samy," Moggallana bertegas. "Kalau umurku masih panjang ... aku akan ditawan dan ditahan sebagai tebusan ... sama seperti bapaku dulu. Kalau tidak ..."

Budal Samy tunduk, matanya terpaku ke lantai.

"Andai kita tidak bertemu lagi ... aku serahkan Keethi selama-lamanya kepadamu. Didiklah dia sebagaimana kau mendidik anakmu sendiri. Ku harap dia akan membesar menjadi seorang pahlawan cemerlang dalam asuhanmu. Agar dengan bantuanmu ... dia akan mampu memimpin seluruh rakyat Singhala Nagara ... bangkit menentang dan menumpas seluruh angkatan penjajah durjana dari Chola Mandalam itu suatu hari nanti."

"Tidak, Ayah!" tiba-tiba terdengar suara gemersik seorang anak muda awal belasan tahun usia. "Aku tidak akan meninggalkan Ayah sendirian di sini. Biar kita semua bersama menentang mereka. Hingga ke titisan darah yang akhir jika perlu, Ayah."

"Keethi, anakku," Moggallana mengusap-usap kepala anak muda itu. "Kau seorang putera berjiwa waja. Ayah amat bangga denganmu. Moga keberanianmu menghasilkan sesuatu yang gemilang bagi seluruh Pulau Singhala di hari muka. Namun hari ini kita harus berkorban. Biarlah di antara kita berdua berpisah. Perpisahan kita adalah pengorbanan kita. Demi memenangi semula kedaulatan bumi dan bangsa Singhala."

Tiga tahun berlalu ...
Bala tentera Chola Mandalam seperti tidak kunjung jemu dalam usaha mereka memburu dan menghapuskan saki baki titisan zuriat Raja Mahinda, raja Singhala Nagara yang telah mereka tawan bersama permaisuri dan puterinya tiga puluh tujuh tahun yang lalu, di zaman pemerintahan raja mereka Rajendra Chola. Namun, dengan kebijaksanaan Panglima Budal Samy yang hidup sentiasa bersembunyi dan berpindah-randah bersama pengikut setia Putera Moggallana di kawasan rimba sekitar wilayah Ruhuna, disertai sokongan padu penduduk tempatan yang padat terisi dengan semangat setiabangsa dan setiapertiwi, Putera Keethi terselamat daripada keganasan mereka.

Sungguhpun baru hampir mencecah enam belas tahun usia, berkerangka tinggi besar mewarisi susuk tubuh mendiang nendanya yang mangkat dalam tawanan, kehidupan di rimba yang sering getir mencabar sudah menjadi asam garam baginya, kini Keethi seorang pahlawan hebat dan pemimpin berwibawa yang dikagumi semua. Berbantukan ilmu dan pengalaman yang ada pada Budal Samy, Keethi menyerang kota Ruhuna dan menewaskan Raja Lokissara, raja wilayah Ruhuna. Keethi ditabal menjadi raja baru wilayah Ruhuna, lalu naik takhta dengan nama Raja Vijaya Bahu.

Kini Vijaya Bahu berusaha merangka rancang cara untuk menggempur dan menawan kota Polonnaruwa, kubu gagah angkatan penjajah di wilayah utara Pulau Singhala.

§
Sebelas tahun Vijaya Bahu mengambil masa untuk terus memperkukuh serta membuat persedian untuk menyerang Polonnaruwa. Kemudian dia membuat cubaan pertama untuk menumbangkan bala tentera Tamil Chola Mandalam di sana. Cubaannya membuahkan hasil memberangsangkan, dan dia berjaya menyingkirkan angkatan musuh dari kota itu.

Namun saki baki mereka berkumpul semula lalu berusaha mendapatkan bantuan dari Chola Mandalam. Mereka membuat serangan balas dan dapat menawan kembali Polonnaruwa, memaksa Vijaya Bahu dan bala tentera Singhala pimpinannya berundur seketika ke kota Wakiri Gala.

Tiga tahun berikutnya Vijaya Bahu terus berusaha memperkukuh kedudukannya Singhala di Wakiri Gala, sambil menangkis tentangan pelbagai pesaing yang juga mengidamkan takhta utama Singhala. Ketika tercetus perang saudara di bumi Chola Mandalam, negeri itu terjerumus ke dalam porak peranda dan kacau bilau, maka angkatan Tamil di Polonnaruwa terabai dan tersisih daripada perhatian negeri pertiwi mereka. Vijaya Bahu mengambil kesempatan untuk menyerang Polonnaruwa buat kali kedua.

Bermula dari kota Maha Naga Kula di kawasan selatan lembah Sungai Walawe, di wilayah selatan Pulau Singhala, Vijaya Bahu membahagikan bala tenteranya kepada tiga pasukan. Setiap satu pasukan bergerak ke utara untuk menyerang Polonnaruwa dari tiga hala berlainan.

Pasukan pertama terus menyusur pantai barat Pulau Singhala. Sebaik menghampiri kota Anuradha Pura, ia berpecah pula kepada dua ketumbukan. Satu ketumbukan terus membetung ke utara menghala ke kota pelabuhan Mahatittha untuk menghadapi sebarang angkatan bantuan Tamil yang mungkin tiba dari Chola Mandalam. Ketumbukan satu lagi berputar ke arah Anuradha Pura, lantas seterusnya berpusing balik menuju Polonnaruwa dari arah barat lautnya.

Pasukan kedua bergerak ke arah kota Magama, seterusnya menyusur pantai timur Pulau Singhala ke arah utara, akhirnya membetung ke Polonnaruwa dari hala tenggara. Pasukan ketiga pula, yang juga merupakan pasukan utama, dipimpin oleh Vijaya Bahu sendiri, membetung lurus ke utara, melalui kota Mahiyangana, untuk menggempur Polonnaruwa dari arah selatan.

Begitupun, angkatan musuh masih terlalu gagah dan cukup sukar hendak ditumbangkan. Ketiga pasukan Singhala bagaimanapun tetap cekal dan gigih, mengepung musuh mereka di kubu yang sungguh perkasa. Akhirnya, selepas tujuh bulan terkepung dari tiga penjuru, angkatan musuh hilang upaya untuk meneruskan tentangan, lalu bala tentera Vijaya Bahu memasuki kota Polonnaruwa sebagai angkatan pemerdeka.

No comments:

Post a Comment